Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SGT3 Al-Luqman, CI(1) Tarmizi antara 111 pegawai Home Team terima tajaan pendidikan, biasiswa MHA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pegawai Home Team boleh menjangkakan lebih banyak sokongan dalam pembangunan profesional dan peribadi, peluang peningkatan akademik serta pembangunan kerjaya yang bermakna.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling berkata lebih banyak akan dilaburkan untuk membangunkan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan para pegawai untuk menjalankan peranan mereka dengan baik.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian Biasiswa dan Tajaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Rabu (24 Jul).

"Pertama, kita akan melabur lebih banyak lagi dalam pertumbuhan dan pembangunan profesional dan peribadi pegawai. Adalah penting bagi pegawai kami memperoleh dan membangunkan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk menjalankan peranan mereka dengan baik. Untuk menyokong pegawai, kami memberi tumpuan kepada mereka bentuk program dan inisiatif latihan yang bertujuan dan berstruktur.

"Kami juga ada Skim Pembelajaran dan Pembangunan (LDS) untuk menyokong para pegawai dalam pembangunan profesional mereka di luar waktu kerja. Para pegawai boleh mendapat sehingga S$700 setiap tahun. Saya gembira untuk berkongsi bahawa kami akan meningkatkan lagi LDS tahun ini untuk memberikan para pegawai fleksibiliti sepenuhnya untuk menggunakan S$700 itu dalam apa-apa cara yang menyokong pembangunan profesional, perkembangan peribadi dan kesejahteraan mereka," kata Cik Sun yang juga Menteri Negara bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga.

111 PEGAWAI HOME TEAM TERIMA BIASISWA, TAJAAN & ANUGERAH PENDIDIKAN MHA

CI(1) Tarmizi bersama Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling. (Gambar: MHA)

Upacara itu menyaksikan seramai 111 pegawai Home Team yang menerima biasiswa, tajaan dan anugerah pendidikan MHA.

Ia bagi para pegawai melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah atau pos-siswazah dalam pelbagai disiplin di universiti tempatan dan luar negara.

Antara pegawai yang menerima biasiswa ijazah MHA itu termasuk Inspektor Pusat Pemeriksaan, CI (1) Ahmad Tarmizi Mohamed Tahir dari Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA).
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah memang sudah menjadi impian lama CI(1) Tarmizi sejak beliau menamatkan pengajian di politeknik 10 tahun yang lalu.

CI(1) Tarmizi, 32 tahun berkata beliau ingin mengikut jejak langkah abangnya yang menerima biasiswa serupa baru-baru ini.

"Selepas saya menamatkan pelajaran di Politeknik dahulu, saya memang sudah berniat untuk melanjutkan pelajaran. Ibu saya selalu berpesan ada ruang untuk penambahbaikan dari segi kerja ataupun pendidikan," kongsi CI(1) Tarmizi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Baru-baru ini, abang saya, yang juga seorang pegawai imigrasi, telah diberikan juga biasiswa yang sama. Beliau adalah pedoman hidup buat saya untuk memperbaiki diri saya selama ini," tambahnya.

SUDAH BERKHIDMAT 8 TAHUN DI ICA TAPI INGIN TERUS PERBAIKI DIRI

Gambar: ICA

CI(1) Tarmizi bertugas di Pusat Operasi Bersepadu Tuas.

"Antara tugas saya ialah untuk memantau situasi trafik di Pusat Pemeriksaan Tuas dan juga saya akan memberi arahan untuk mengerah kembali sumber-sumber tenaga manusia kepada zon-zon yang memerlukan lebih banyak sokongan," ujar CI(1) Tarmizi.

Meskipun sudah lapan tahun berkhidmat di ICA, CI(1) Tarmizi percaya masih ada ruang untuk memperbaiki diri dan bersyukur diberikan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah.

Beliau akan melanjutkan pengajian dalam Keselamatan dan Keselamatan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) mulai Ogos ini dan berharap dapat menyumbang kembali kepada ICA selepas tamat pengajian.

"Ini akan meningkatkan pemahaman saya dalam pengurusan krisis dan juga penilaian risiko dari segi konteks Singapura dan juga global. Ia akan membolehkan saya melakukan kerja saya sebagai pegawai di ICA dengan lebih (baik) lagi.

"Saya berharap dapat menyampaikan apa yang saya pelajari dari pengajian ini kepada rakan-rakan sekerja saya menerusi pementoran dan juga latihan untuk mereka agar mereka dapat menjadi versi yang terbaik untuk diri mereka sendiri," tambah beliau.

Beliau akan melanjutkan pengajian dalam Keselamatan dan Keselamatan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang dijangka akan bermula pada Ogos ini.

MOTIVASI UNTUK CEMERLANG DALAM KERJAYA DAN PENGAJIAN

Gambar: MHA

Seorang lagi yang menerima Tajaan Ijazah MHA ialah Sarjan 3 (SGT3) Muhammad Al-Luqman Kamaruzaman, 28 tahun, dari Biro Narkotik Pusat (CNB).

SGT3 Al-Luqman merupakan sebahagian daripada Pasukan Operasi Penguatkuasaan CNB dengan tumpuan utama kepada penguatkuasaan berkaitan dadah.

Selain itu, beliau juga terlibat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dadah serta kesannya kepada individu dan keluarga mereka.

"Saya berasa gembira dan bersyukur kerana mendapat tajaan ini. Bagi saya, ini adalah satu pengiktirafan untuk dedikasi, pencapaian dan juga kerja keras saya kepada CNB. Saya bermotivasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dari segi aspek akademik dan juga kerjaya saya," kata SGT3 Al-Luqman kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Peluang untuk melanjutkan saya dalam peringkat ijazah, bukan sahaja membolehkan saya menimba ilmu baharu malah juga membuka pintu baharu dalam kerjaya saya," tambahnya.

INGIN KONGSI ILMU DENGAN RAKAN KERJA, SUMBANG KEPADA SG YANG BEBAS DADAH

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut SGT3 Al-Luqman, program Sarjana Muda dalam Keselamatan Awam dan Keselamatan di SUSS itu akan membantu dalam peningkatan kerjayanya.

"Topik-topik seperti Jenayah dan Hukuman dan keselamatan siber dapat membantu saya dalam meningkatkan pengetahuan saya dan melengkapkan saya dengan kemas kini bagi teknologi dan juga jenayah siber. Ini sangat penting dalam kerja saya kerana jenayah yang berkaitan dengan dadah dilakukan secara online. Oleh itu, apa yang saya pelajari akan membantu saya mengikuti ancaman dadah yang berkembang," kata SGT3 Al-Luqman.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Pegawai dengan pengalaman empat tahun pengalaman bersama CNB itu juga berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi pengalaman yang akan diraih.

"Saya berharap dapat menyumbang kembali dengan bekerja dengan lebih berkesan dan mencapai misi biro saya iaitu menjadikan Singapura bebas daripada dadah. Saya juga berharap akan berkongsi semua pengalaman dan pengetahuan saya kepada rakan-rakan kerja saya supaya kita boleh mendekati masyarakat awam dengan lebih berkesan lagi," tambah beliau.

Lagi sembilan pegawai Home Team yang mengikuti pengajian ijazah sepenuh masa turut menerima hadiah buku untuk pencapaian akademik cemerlang mereka dalam program Keselamatan Awam dan Keselamatan di SUSS.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan