Skip to main content

Singapura

SG yakin capai 'kemajuan ketara' hurai isu 2 hala dengan M'sia, kata Dr Vivian Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:
SG yakin capai 'kemajuan ketara' hurai isu 2 hala dengan M'sia, kata Dr Vivian Balakrishnan

Perdana Menteri M'sia Anwar Ibrahim bertemu dengan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan di Kuala Lumpur pada 17 Jan 2023. (Gambar: MFA)

KUALA LUMPUR: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan melahirkan keyakinan "kemajuan ketara" boleh dicapai dalam menyelesaikan isu-isu dua hala dengan Malaysia yang masih tertunggak.

Menurut beliau, rundingan yang bakal diadakan antara pemimpin dari kedua-dua negara mungkin akan merangkumi isu-isu dua hala yang sejak sekian lama belum dihuraikan yang "kami rasa sudah tiba masanya untuk menyelesaikannya".

Dr Balakrishnan berkata demikian semasa bercakap dengan para wartawan di luar lawatannya selama empat hari ke Malaysia. Ia sekali gus merupakan lawatan rasmi Dr Balakrishnan yang pertama ke Malaysia sejak Encik Anwar Ibrahim menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November tahun lalu.

Beliau turut ditanya mengenai apa yang bakal disertakan dalam agenda lawatan rasmi Encik Anwar pada hujung Januari nanti termasuk pandangan Pemerintah Singapura terhadap kenyataan Encik Anwar baru-baru ini berhubung isu Pedra Branca.

Pada 14 Disember lalu, Encik Anwar mengatakan bahawa beliau sudah mengarahkan Peguam Negara Malaysia untuk menjelaskan tuntutan Malaysia ke atas Pedra Branca, yang diberikan kepada Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008.

Dr Balakrishnan berkata pada Selasa (17 Jan): "Banyak rundingan balik tabir akan diadakan, maka itu saya tidak akan memberikan perinciannya buat masa ini. Namun, apa yang saya boleh katakan adalah kita mempunyai pemimpin dari kedua-dua pihak yang sangat berpengetahuan mengenai latar belakang sejarah dan mengapa kita harus menyelesaikannya dan bergerak maju ke hadapan."

"Dalam pada itu, saya yakin bahawa dalam masa beberapa minggu dan bulan akan datang, anda akan dapat menyaksikan kemajuan yang ketara. Saya tidak dapat memberikan sebarang perincian berhubung rundingan tersebut kecuali setakat mengatakan bahawa saya berharap kita akan mencapai kemajuan dan objektifnya adalah untuk meraih kemajuan sebanyak mungkin dan tidak membiarkan kita terikat dengan sejarah silam ... Dan memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan, dengan niat yang baik dan saling menyokong satu sama lain."

LAWATAN PM ANWAR KE SINGAPURA

Menurut Dr Balakrishnan, Singapura mengalu-alukan lawatan Encik Anwar ke Singapura.
"Saya rasa rundingan penting bakal diadakan, menetapkan agenda dan jadual bagi setiap menteri untuk mengambil tindakan susulan," kata beliau kepada para wartawan.

TIADA RUNDINGAN MENGENAI PENYAMBUNGAN SEMULA HSR

Dr Balakrishnan juga ditanya sama ada beliau mengadakan sebarang rundingan berhubung penyambungan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang sudah sudah dibatalkan.
Dr Balakrishnan berkata pada Selasa: "Tidak, kami tidak berbincang mengenai isu tersebut. Kami menumpukan perhatian kepada RTS Link yang akan menghubungkan Johor dengan Singapura.
Ia akan menjadi rangsangan yang ketara bagi penduduk dan pekerja dari kedua-dua pihak di Selat Johor ... Setakat ini, berdasarkan rundingan antara saya dengan menteri-menteri di Malaysia, mereka sudahpun memberikan jaminan kepada saya bahawa mereka akan melakukan sedaya-upaya untuk memastikan kita akan mencapai sasaran untuk menamatkan projek itu menjelang hujung 2026."

"Bagi projek-projek lain, kita akan menunggu saranan-saranan dari Malaysia. Kami sentiasa bersikap terbuka (kepada saranan-saranan yang bakal diusulkan)," menurut Dr Balakrishnan.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita