Skip to main content

Singapura

SG wajibkan pemeriksaan suhu harian pekerja hijrahan baharu dari negara terjejas virus Nipah

Anggaran Waktu Membaca:
SG wajibkan pemeriksaan suhu harian pekerja hijrahan baharu dari negara terjejas virus Nipah
Pekerja higrahan bawa basikal. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 03 Feb 2026 07:55PM Dikemas Kini : 03 Feb 2026 08:09PM
  • Kementerian Tenaga Manusia Singapura memperketat langkah pemantauan kesihatan pekerja hijrahan yang baru tiba dari Benggala Barat susulan wabak virus Nipah di India.
  • Pekerja diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan harian di pusat orientasi dan memantau simptom selama 14 hari selepas ketibaan.
  • Mereka yang menunjukkan simptom atau mempunyai sejarah perjalanan ke Benggala Barat akan diasingkan dan dinilai oleh karyawan perubatan.
  • Pihak dormitori dan majikan turut diberi panduan serta makluman dalam bahasa ibunda pekerja, sementara standard pengasingan di dormitori telah dipertingkatkan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pekerja hijrahan yang baru tiba di Singapura dan pernah melakukan perjalanan ke Benggala Barat diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan harian semasa berada di pusat orientasi pekerja hijrahan (onboard centre) di Singapura, serta terus memantau suhu badan dan simptom mereka sendiri selama 14 hari dari tarikh ketibaan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberikan butiran ini pada Selasa (3 Feb) sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp selepas Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengumumkan langkah awal menyusuli wabak virus Nipah di India.

Dua kes virus Nipah yang membawa maut disahkan di wilayah Benggala Barat, India, sejak Disember lalu.

Tiada kes baharu dilaporkan di Singapura.

Virus zoonotik ini merebak daripada haiwan kepada manusia, dan kebanyakannya ditularkan melalui pendedahan kepada kelawar serta pengambilan nira kurma atau buah-buahan yang tercemar oleh kelawar.

Penularan daripada manusia ke manusia jarang berlaku tetapi masih berkemungkinan terjadi.

“Bilangan yang agak kecil” pekerja hijrahan dari Benggala Barat tiba di Singapura setiap bulan, kata jurucakap MOM.

Langkah pemantauan di pusat orientasi pekerja hijrahan dan dormitori sudah diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga, tambah jurucakap itu.

Pusat orientasi pekerja hijrahan ialah tempat pemegang permit kerja dalam sektor binaan, limbungan kapal marin dan proses menjalani program suai kenal.

Tempoh penginapan biasa selama tiga hari termasuk pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi.

Di bawah proses sedia ada di pusat tersebut, semua pekerja hijrahan yang baru tiba perlu membersihkan tangan, memakai pelitup pembedahan dan menjalani pemeriksaan suhu badan semasa ketibaan.

Mereka juga diwajibkan menjawab soalan mengenai kesihatan bagi mengesan gejala seperti demam, batuk, ruam dan selesema.

Sebagai sebahagian daripada langkah pemantauan yang diperketatkan, simptom sakit kepala ditambah ke dalam senarai soalan kesihatan, selaras dengan gejala virus Nipah yang dilaporkan, kata jurucakap MOM.

Pekerja hijrahan baharu itu juga diminta mengisytiharkan sama ada mereka telah melakukan perjalanan ke Benggala Barat, dan mereka yang berbuat demikian perlu menjalani pemeriksaan suhu badan harian di pusat orientasi tersebut.

Mereka yang mempunyai simptom serta sejarah perjalanan ke Benggala Barat akan diasingkan dan dinilai lanjut oleh karyawan perubatan untuk rawatan yang sesuai.

Pekerja yang pernah ke Benggala Barat juga perlu terus memantau suhu badan dan gejala mereka selama 14 hari selepas tiba di Singapura, dan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami sebarang simptom, kata jurucakap itu.

Bagi pekerja hijrahan yang sudah menetap di Singapura, aturan penjagaan kesihatan sedia ada kekal melalui pusat perubatan penjagaan utama MOM bagi mereka yang tidak sihat, kata jurucakap kementerian.

MOM juga menasihatkan penyedia penjagaan utama supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap pekerja hijrahan yang menunjukkan simptom “seakan-akan Nipah” atau yang baru pulang dari Benggala Barat.

Pekerja hijrahan turut diingatkan agar mengekalkan amalan kebersihan diri yang baik seperti mencuci tangan dan memakai pelitup muka apabila tidak sihat, kata jurucakap MOM.

Pengendali utama yang dilantik MOM memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sudah mengambil langkah untuk meningkatkan kewaspadaan menyusuli kes virus Nipah di India.

Jurucakap MOM menambah bahawa makluman sudah diberikan kepada pekerja hijrahan dalam bahasa ibunda mereka melalui aplikasi FWMOMCare, serta kepada majikan.

Pengendali dormitori juga diberi panduan mengenai pengendalian kes disyaki virus Nipah, termasuk pelaporan segera dan pengasingan sebelum pesakit dibawa ke kemudahan perubatan.

Dormitori pekerja hijrahan pernah menjadi lokasi penularan virus semasa pandemik COVID-19, dengan jangkitan merebak dalam kalangan berpuluh-puluh ribu pekerja yang tinggal dalam keadaan sesak.

Sejak itu, standard dormitori dipertingkatkan, termasuk keperluan yang lebih ketat bagi kemudahan pengasingan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita