SG wajibkan Meta laksana langkah tangani penipuan penyamaran Facebook
Singapura akan mewajibkan Meta untuk melaksanakan langkah-langkah bagi mengekang penipuan penyamaran pegawai pemerintah (GOIS) menerusi Facebook.
Paparan yang menunjukkan halaman daftar masuk Facebook. (Gambar fail: iStock)
Ini merupakan arahan pertama seumpamanya di bawah Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA), kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming pada Rabu (3 Sep).
Beliau mengumumkan perkara itu pada hari kedua Sidang Puncak Antipenipuan Global Asia 2025 yang dianjurkan di Singapura oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA), yang berusaha melindungi pengguna di seluruh dunia daripada penipuan.
Meta dikehendaki melaksanakan langkah-langkah untuk menangani iklan, akaun, profil dan laman perniagaan palsu yang menyamar sebagai pegawai kanan pemerintah di Facebook, sebagai sebahagian daripada langkah dipertingkat pemerintah terhadap skim penipuan sedemikian.
“Kami mengeluarkan arahan ini kepada Meta kerana Facebook adalah platform utama yang digunakan oleh penipu bagi penipuan penyamaran seperti ini, dan pihak polis menilai bahawa tindakan lebih tegas diperlukan untuk mengekang penipuan tersebut,” kata Encik Goh.
Langkah itu diumumkan selepas penipuan GOIS melonjak sekitar 200 peratus dari tahun ke tahun pada separuh pertama tahun ini kepada lebih 1,760 kes.
Kerugian akibat penipuan tersebut turut meningkat 90 peratus kepada sekitar S$126 juta.
Secara purata, setiap penipuan GOIS menyebabkan kerugian sekitar S$72,000.
“Bagi sesetengah mangsa, ia mungkin keseluruhan simpanan mereka, dan pada umumnya menjejas rancangan persaraan mereka,” kata Encik Goh.
Meta boleh dikenakan denda sehingga S$1 juta jika ia gagal mematuhi arahan tersebut.
“Kami akan terus bekerja rapat dengan Meta untuk memerangi GOIS sebagai sebahagian daripada pelbagai kerjasama yang dijalankan bersama MHA dan polis berhubung inisiatif antipenipuan lain,” tambah Encik Goh.
Arahan itu adalah sebahagian daripada strategi antipenipuan Singapura yang berasaskan empat tonggak - pencegahan awal dan sekatan, pelaporan dan pengesanan, tindakan tegas terhadap penipu serta pendidikan awam.
Di bawah tonggak pertama, pemerintah juga akan terus mengkaji keberkesanan syarat antipenipuan yang dikenakan ke atas platform online.
Encik Goh turut menarik perhatian bahawa jumlah kes penipuan di TikTok meningkat 240 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Platform itu kini ditetapkan oleh pihak polis sebagai perkhidmatan online yang diwartakan berkuat kuasa 1 September, kata Encik Goh.
Ini bermakna TikTok perlu mematuhi Kod Amalan Perkhidmatan Komunikasi Online menjelang 28 Februari 2026, termasuk melaksanakan sistem, proses dan langkah-langkah yang sesuai untuk membendung penipuan secara proaktif.
"PENDEKATAN SELURUH MASYARAKAT”
Menghadapi ancaman seperti penipuan memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, kata Encik Goh.
Sebagai contoh, pemerintah sudah memperkenalkan pengelas (classifer) yang dikuasai kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis, mengesan dan menghapuskan laman penipuan yang berbahaya sebagai sebahagian daripada pelaburannya dalam AI bagi mempercepatkan tindak balas terhadap penipuan.
“Ini mengurangkan keperluan untuk menapis maklumat secara manual dan membolehkan campur tangan lebih pantas bagi menutup laman penipuan,” kata beliau.
Tindakan tegas juga diambil terhadap para penipu, dengan hukuman berat kini dikenakan terhadap keldai wang dan Singpass selepas garis panduan hukuman mencadangkan hukuman penjara bagi pesalah sedemikian, tambah beliau.
Daripada 230 keldai wang yang didakwa antara Ogos 2024 hingga Mac 2025, semua pesalah dewasa dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan.
“Jadi mesejnya jelas - jika anda membantu dalam penipuan, walaupun secara tidak langsung, tindakan akan diambil terhadap anda, dan anda akan berdepan dengan undang-undang dengan sepenuhnya,” kata Encik Goh.
Pendidikan awam, termasuk menerusi kempen Add, Check, Tell dan program Hack for Good, turut membantu dalam membendung penipuan, kata beliau.
Jumlah penipuan menurun 26 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, sementara kerugian juga berkurangan 13 peratus.
Namun, Encik Goh memberi amaran bahawa para penipu akan terus mencari cara untuk mengelak langkah-langkah antipenipuan.
“Mereka sentiasa mencari kelemahan baharu untuk dieksploitasi. Justeru, kita juga mesti sentiasa berfikir ke hadapan dan bertindak secara proaktif untuk mencegah penipuan daripada berlaku,” kata beliau.
“Pemerintah, sektor swasta dan masyarakat mesti bekerjasama rapat.”
Entiti swasta seperti institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan platform online juga memainkan peranan penting dalam menafikan para penipu daripada menggunakan alat yang diperlukan bagi tujuan penipuan, kata Encik Goh.
KERJASAMA ANTARABANGSA
Selain inisiatif domestik, kerjasama antarabangsa juga menjadi tonggak utama dalam usaha Singapura menentang penipuan, kata Encik Goh.
Sebagai contoh, Projek FRONTIER+ yang dilancarkan pada Oktober 2024 menghubungkan pasukan antipenipuan dari pelbagai negara bagi berkongsi maklumat masa nyata dan menyelaras operasi bersama.
“Ini meningkatkan keupayaan pemulihan aset rentas sempadan dan mengurangkan keuntungan sindiket penipuan,” katanya.
Antara Mei dan Jun 2025, bidang kuasa yang terlibat dalam projek tersebut melaksanakan operasi rentas sempadan dengan membekukan lebih 32,000 akaun bank serta memulihkan sekitar S$26 juta.
Singapura juga menggesa negara lain agar menubuhkan unit antipenipuan pusat masing-masing - hanya dengan cara itulah nilai penuh kepimpinan antipenipuan Singapura dapat dimanfaatkan melalui penyelarasan rentas sempadan yang lebih berkesan, kata Encik Goh.
“Singapura adalah sasaran penipuan yang sangat menarik. Median kemampuan orang dewasa di sini lebih tinggi daripada median global, menjadikan kita sasaran yang menguntungkan,” kata Encik Goh.
Tahap penembusan digital dan akses internet yang tinggi, selain sifat masyarakat yang berasaskan kepercayaan, juga memudahkan para penipu untuk mendekati mangsa dan memperdayakan mereka, tambah beliau.
“Penipu kini menjalankan operasi jenayah yang sangat profesional dan canggih,” kata Encik Goh.
“Kita mesti mengubah percaturan mereka, dan pada masa yang sama mencari cara yang paling pantas, berkesan dan inovatif untuk mengekang cubaan mereka.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.