SG, Vietnam perluas kerjasama teknologi dan pengilangan
Singapura dan Vietnam sedang mempertingkatkan kerjasama dalam bidang-bidang seperti pengilangan termaju dan inovasi, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains dan Teknologi Tan See Leng pada Jumaat (29 Mei).
- Singapura dan Vietnam memperkukuh kerjasama dalam pengilangan termaju, inovasi, serta sains dan teknologi melalui beberapa inisiatif baharu.
- Pusat Penyelidikan Pengilangan Termaju akan ditubuhkan di Vietnam hasil kerjasama A*STAR Singapura dan Becamex IDC, menyediakan platform untuk syarikat tempatan.
- Beberapa memorandum persefahaman dimeterai sempena lawatan Presiden Vietnam To Lam ke Singapura, menegaskan komitmen terhadap rantaian bekalan, jaminan makanan dan perdagangan terbuka.
- Kedua-dua negara menekankan pentingnya perpaduan serantau dan kestabilan ekonomi di tengah konflik global, serta mengelak sekatan perdagangan tidak perlu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, sebuah pusat penyelidikan baharu akan ditubuhkan di Vietnam, kata Dr Tan dalam ucapannya di Inisiatif Vietnam-Singapore Tech Connect yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City.
Projek tersebut merupakan antara beberapa inisiatif yang diumumkan sempena lawatan negara Presiden Vietnam To Lam ke Singapura.
Pada Jumaat, Encik Lam bertemu dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong. Kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MOU), manakala para menteri dari kedua-dua negara mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan semula komitmen mereka terhadap daya tahan rantaian bekalan, jaminan makanan dan aliran perdagangan yang terbuka di tengah-tengah konflik di Timur Tengah.
Lawatan Encik Lam berlangsung hanya lebih setahun selepas hubungan Singapura-Vietnam dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh.
Singapura kekal sebagai sumber terbesar aliran masuk pelaburan langsung asing Vietnam sejak 2020.
Satu MOU dimeterai antara Pusat Pengilangan Semula dan Teknologi Termaju (ARTC) A*STAR Singapura dengan pemaju taman perindustrian Vietnam, Becamex IDC, bagi menubuhkan Pusat Penyelidikan Pengilangan Termaju Vietnam.
Terletak dalam ekosistem Taman Perindustrian Vietnam-Singapura, pusat tersebut akan menyediakan platform bagi syarikat-syarikat di Vietnam untuk menterjemahkan penyelidikan kepada "hasil yang nyata" untuk industri mereka menerusi percubaan dan pelaksanaan penghuraian pengilangan termaju dalam persekitaran perindustrian sebenar, kata Dr Tan.
Dr Tan turut menarik perhatian kepada pelaburan dan komitmen kedua-dua pihak terhadap ekosistem masing-masing.
Di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030 Singapura, sekitar S$37 bilion akan dilaburkan dalam tempoh lima tahun akan datang dalam beberapa bidang termasuk kecerdasan buatan (AI), data, pengilangan termaju dan semikonduktor, dengan tumpuan kepada usaha-usaha untuk menterjemahkan penyelidikan kepada hasil ekonomi dan sosial yang nyata.
Menurut beliau, Resolusi No. 57 Politburo Vietnam mencerminkan komitmen besar negara itu untuk memanfaatkan sains, teknologi, inovasi dan transformasi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
"Kami menyaksikan momentum yang kukuh dalam pembangunan keupayaan kecerdasan buatan Vietnam, di samping usahanya membangunkan ekosistem semikonduktor dan asas pengilangan termaju," tambah Dr Tan.
Dalam kenyataan bersama itu, Dr Tan dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam Le Manh Hung turut menyuarakan "kebimbangan serius" terhadap situasi yang berterusan di Timur Tengah serta implikasinya terhadap keamanan dan kestabilan global.
Singapura dan Vietnam bersama-sama menegaskan semula pentingnya memastikan laluan perkapalan dan perdagangan kekal terbuka, kata Dr Tan dan Dr Le.
Kedua-dua menteri menekankan komitmen mereka untuk memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara-negara ASEAN serta ketersambungan rantaian bekalan, selain memastikan pasaran masing-masing kekal terbuka dan saling terhubung.
Kedua-dua negara "akan memastikan lapangan terbang, pelabuhan dan infrastruktur perdagangan kritikal kami terus beroperasi bagi meminimumkan gangguan terhadap aliran perdagangan", kata Dr Tan dan Dr Le.
Kedua-dua menteri juga berikrar untuk mempertingkat kerjasama dalam aspek jaminan makanan, termasuk pelaksanaan perjanjian kerjasama perdagangan beras.
"Kami mengiktiraf kepentingan mengelakkan langkah sekatan yang tidak diperlukan bagi menggalakkan perdagangan beras, yang merupakan suatu komoditi penting.
"Dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kami kekal teguh dalam komitmen kami untuk bekerjasama menerusi perpaduan demi mengekalkan kestabilan serantau, memperkukuh daya tahan ekonomi dan menggalakkan sebuah aturan antarabangsa yang berasaskan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Dr Tan dan Dr Le.
Pemimpin Vietnam Encik Lam akan memulakan Dialog Shangri-La menerusi ucaptamanya pada lewat Jumaat.
Para wakil dan pegawai kanan pertahanan dari 44 negara akan menghadiri edisi terbaharu forum pertahanan dan keselamatan utama Asia itu, termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth, yang dijadual berucap pada Sabtu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.