Skip to main content

Singapura

SG, Vietnam meterai perjanjian dagang beras yang mampan, stabil

Singapura dan Vietnam memeterai perjanjian pada Khamis (30 Okt) di mana Vietnam akan menyokong eksport beras tanpa halangan dalam jumlah yang dipersetujui bersama ke Singapura berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui apabila diminta oleh pemerintah.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Oct 2025 10:28AM Dikemas Kini : 30 Oct 2025 10:46PM
GYEONGJU, Korea Selatan: Singapura dan Vietnam memeterai perjanjian pada Khamis (30 Okt) di mana Vietnam akan menyokong eksport beras tanpa halangan dalam jumlah yang dipersetujui bersama ke Singapura berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui apabila diminta oleh pemerintah.

Memorandum kerjasama mengenai perdagangan beras itu dimeterai di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dalam satu kenyataan media bersama, kementerian berkaitan daripada kedua-dua negara menyatakan memorandum kerjasama itu meletakkan "asas kukuh" bagi mempromosikan perdagangan beras yang stabil dan mampan.

Ini dapat bantu mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan dua hala dengan mengelakkan sebarang sekatan perdagangan yang tidak wajar.

Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Grace Fu dan Menteri Perusahaan dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien.

"Ini adalah memorandum kerjasama pertama Singapura mengenai perdagangan beras yang dimeterai dengan rakan kongsi perdagangan, dan kami berbesar hati dapat melakukannya dengan Vietnam, yang merupakan salah satu negara sumber beras terbesar untuk Singapura," kata Cik Fu.

Singapura mengimport beras daripada kira-kira 30 negara.

Beliau menarik perhatian bahawa Singapura mengimport sebahagian besar makanannya dan ia tidak terkecuali daripada gangguan bekalan makanan global.

"Menjamin perkongsian global dan serantau adalah penting untuk memastikan bekalan beras yang stabil bagi Singapura," katanya.

Encik Dien berkata perjanjian itu mengukuhkan kesalinghubungan antara Singapura dengan Vietnam, dan menetapkan peringkat kerjasama stabil di tengah-tengah "perkembangan pasaran global yang sukar diramalkan".

Beliau berkata mempertingkatkan kerjasama perdagangan global menunjukkan usaha bersama bagi memastikan keandalan rantaian bekalan dan keterjaminan bekalan makanan dalam ASEAN.

"Pada masa hadapan, kami berharap pihak berkuasa dari kedua-dua pihak akan terus bekerjasama rapat untuk meluaskan lagi bekalan produk pertanian dan makanan Vietnam yang berprestij, bermutu tinggi ke pasaran Singapura," katanya.

Encik Dien menambah perjanjian itu menandakan langkah kukuh dalam melaksanakan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) antara Singapura dengan Vietnam.

Hubungan antara kedua-dua negara dinaik taraf kepada CSP pada Mac lalu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita