Skip to main content

Singapura

SG usul rangka kerja undang-undang antarabangsa bagi tangani perubahan iklim

Anggaran Waktu Membaca:
SG usul rangka kerja undang-undang antarabangsa bagi tangani perubahan iklim

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). (Gambar: Nick Gammon / AFP)

Diterbitkan : 12 Dec 2024 06:23PM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 06:25PM
SINGAPURA: Singapura pada Rabu (11 Dis) menyeru ketelusan yang lebih jelas mengenai rangka kerja undang-undang antarabangsa berhubung tindakan iklim.

Semasa perbicaraan awam di The Hague yang diadakan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Duta Singapura bagi Undang-Undang Antarabangsa Rena Lee menarik perhatian kepada kerentanan Singapura dan menggesa tindak balas global yang bersatu padu terhadap perubahan iklim.

Walaupun Singapura telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, Cik Lee berkata, saiz Singapura dan kekurangan ciri-ciri seperti angin kencang, sumber geoterma berhampiran permukaan bumi dan sistem sungai utama bermakna Singapura berada pada tahap yang kurang baik berhubung tenaga alternatif.

"Oleh itu, keupayaan kami untuk mencapai sasaran rendah karboni akan bergantung kepada kematangan teknologi dan kerjasama antarabangsa yang berkesan, seperti melalui kerjasama dengan negara-negara lain dalam perdagangan tenaga bersih, grid tenaga serantau, dan peluang penyimpanan karbon. Kami juga berharap agar semua negara akan memenuhi tanggungjawab masing-masing berhubung perubahan iklim," kata Cik Lee.

"Lantaran itu, Singapura meminta pihak Mahkamah untuk memberikan panduan kritikal mengenai keadaan semasa undang-undang antarabangsa dan untuk memberikan dorongan kepada tindakan iklim selanjutnya oleh semua negara."

ISU UTAMA

Walaupun Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Perjanjian Paris menjadi "tunggak utama" kewajipan perubahan iklim negara, Cik Lee berkata bahawa perjanjian itu tidak mengecualikan pelaksanaan tanggungjawab antarabangsa yang lain.

"Tiada apa-apa dalam Perjanjian UNFCCC atau Paris yang menunjukkan bahawa ia bertujuan untuk bersifat eksklusif. Kewajipan negara-negara untuk melindungi sistem iklim daripada pelepasan gas rumah hijau boleh juga timbul di bawah undang-undang antarabangsa dan perjanjian lain," katanya.

Singapura menyokong tanggungjawab menyelaraskan tindakan berhubung perubahan iklim, dengan menekankan bahawa Perjanjian UNFCCC dan Paris harus memaklumkan tafsiran dan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dan perjanjian-perjanjian berkaitan, kata Cik Lee.

Satu lagi isu ialah bagaimana kewajipan penilaian kesan alam sekitar dalam perubahan iklim memerlukan penilaian kegiatan pelepasan gas rumah hijau yang dirancang dan kesannya ke atas usaha mencapai sasaran iklim nasional.

"Peserta secara amnya bersetuju bahawa prinsip pencegahan termasuk kewajipan prosedur untuk menjalankan penilaian kesan alam sekitar terhadap aktiviti yang dirancang yang berpotensi menimbulkan kesan buruk yang ketara terhadap alam sekitar," kata Cik Lee.

Beliau menambah bahawa walaupun Singapura bersetuju dengan kesimpulan itu, ICJ harus menjelaskan bagaimana kewajipan itu dilaksanakan dari segi "praktikal".

"Ini kerana, dalam konteks perubahan iklim, hanya pada masa yang jarang berlaku bahawa satu aktiviti yang dirancang, apabila diukur kesan kumulatif yang disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau antropogenik secara global, boleh menghasilkan kesan alam sekitar yang cukup ketara untuk membuat perbezaan kepada paras gas rumah hijau secara keseluruhannya."

Isu ketiga yang dibangkitkan oleh Cik Lee ialah negara-negara bertanggungjawab untuk bekerjasama bagi melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar daripada kesan pelepasan gas rumah hijau.

Walaupun undang-undang antarabangsa dan peruntukan perjanjian mengenai kerjasama tersebut mungkin menangani objektif tertentu, beliau menyatakan bahawa terdapat kewajipan bersama mengenai cara untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, terutama sekali berkaitan dengan perubahan iklim.

"Kerjasama mesti diteruskan, bermakna dan dengan niat baik... walaupun kewajipan untuk bekerjasama bukanlah kewajipan berdasarkan hasil, niat baik terletak di tengah-tengah kewajipan ini. Negara-negara mesti berkelakuan baik dalam proses perundingan dan kerjasama yang relevan. "

Isu terakhir yang dibangkitkan ialah skop tanggungjawab dan keupayaan yang sama tetapi berbeza, dengan mengambil kira keadaan negara, dan sama ada ia meliputi tanggungjawab sejarah berhubung pelepasan gas rumah hijau.

Cik Lee berkata terdapat "perbezaan yang besar" antara peserta mengenai tanggungjawab bersama tetapi dibezakan (CBDR) dalam Perjanjian UNFCCC dan Paris.

"Sesetengah peserta berhujah bahawa tanggungjawab berdasarkan sejarah tidak pernah menjadi asas CBDR. Yang lain berpendapat bahawa dengan penambahan kepada CBDR perkataan 'keupayaan masing-masing' dan 'berdasarkan keadaan negara yang berbeza', Perjanjian UNFCCC dan Paris berpindah dari tanggungjawab sejarah.

"Pemasukan istilah tambahan 'keupayaan masing-masing' dan 'berdasarkan keadaan negara yang berbeza' oleh itu tidak boleh ditafsirkan sebagai mengecualikan tanggungjawab sejarah.

"Sebaliknya, kemasukan mereka menjelaskan bahawa pertimbangan selain tanggungjawab sejarah juga diambil kira dalam menentukan kewajipan yang berkaitan," katanya lagi.

Perbicaraan awam di The Hague diadakan selepas penyertaan Singapura dalam sekumpulan negara yang menyediakan resolusi meminta pendapat dan nasihat daripada ICJ mengenai kewajipan berhubung perubahan iklim pada Mac 2023, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dalam satu kenyataan pada Rabu (11 Dis).

Pada Mac tahun berikutnya, Singapura membentangkan kenyataan bertulis kepada ICJ mengenai soalan yang dikemukakan kepada mahkamah tersebut, bersama 90 kenyataan bertulis daripada negara dan pertubuhan lain.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita