Skip to main content

Singapura

SG usul pinda undang-undang iktiraf secara rasmi e-sukan, catur dan "bridge" sebagai sukan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Nov 2025 04:50PM Dikemas Kini : 11 Nov 2025 04:03PM
SINGAPURA: Sukan minda seperti catur dan "bridge", bersama dengan e-sukan, akan diiktiraf secara rasmi sebagai sukan jika satu Rang Undang-Undang yang diperkenalkan di parlimen pada Selasa (4 Nov), dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Rang Undang-Undang (Pindaan) Majlis Sukan Singapura dibentangkan bagi bacaan pertama oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo, dan bertujuan untuk mengemas kini peranan dan fungsi Sport Singapore (SportSG) untuk menyokong aspirasi sukan rakyat Singapura yang rencam dengan lebih baik lagi.

Langkah tersebut mencerminkan "kepelbagaian dan aspirasi rakyat Singapura yang semakin menyerlah dalam landskap sukan kita", menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan media pada Selasa (4 Nov).

Rang Undang-Undang itu bermatlamat untuk meminda Akta Majlis Sukan Singapura yang ada sekarang.

Kedua-dua sukan minda dan e-sukan sudahpun menyaksikan minat yang kian meningkat di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Di Gamescom Asia 2024, Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata bahawa pasaran permainan video dan e-sukan masing-masing dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 13.3 peratus dan 9.2 peratus.

Singapura menjadi tuan rumah beberapa acara e-sukan antarabangsa yang diadakan secara besar-besaran, termasuk The International 2022 – kejohanan global terbesar bagi permainan online berbilang pemain Dota 2. Singapura juga bahkan, merupakan negara Asia Tenggara pertama yang menjadi tuan rumah bagi acara tersebut.

Pada 2023 pula, Singapura menjadi tuan rumah Minggu E-sukan Olimpik yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Sukan minda seperti catur juga menyaksikan lonjakan populariti.

Di peringkat belia, seramai 1,606 pemain berentap dalam Kejohanan Catur Individu Sekolah Nasional ke-75 pada 2024 – peningkatan hampir 20 peratus berbanding 2022. Tahun lalu, Singapura menjadi tuan rumah Kejohanan Catur Dunia buat julung-julung kalinya.

PINDAAN LAIN

Selain sukan minda, Rang Undang-Undang itu juga mengusulkan penamaan Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC), seperti Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), sebagai salah satu rakan kongsi utama SportSG dalam menganjurkan acara dan pertandingan sukan.

Ini menunjukkan sokongan pemerintah yang "kukuh dan berterusan terhadap sukan orang kurang upaya dan inklusiviti", jelas MCCY.

Di bawah pindaan-pindaan yang dicadangkan, peranan SportSG juga akan diperluaskan untuk merangkumi usaha menggalakkan aktiviti kecergasan jasmani, bukan sahaja dari segi sukan, tetapi juga menggalakkan rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif.

SportSG juga akan mewujudkan dan mengekalkan kod-kod amalan bagi kejurulatihan dan untuk peralatan, barangan dan kemudahan sukan dan kecergasan fizikal.

Di bawah Rang Undang-Undang itu, jika diluluskan, SportSG akan berupaya menubuhkan institusi-institusi bagi membangunkan dan melatih atlet peringkat nasional, dengan menyelia kegiatan sukan dan kurikulum institusi-institusi tersebut.

"Ini mencerminkan pendekatan holistik pemerintah dalam menyokong atlet Team Singapore melalui pelbagai peringkat pendidikan dan kerjaya sukan mereka," menurut MCCY.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita