Skip to main content

Singapura

SG usul kepada PBB rangka kerja perlindungan global terhadap AI

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Sep 2026 01:12PM Dikemas Kini : 05 Nov 2026 09:55PM
Singapore puts forward a motion to the UN for a global protection framework against AI
  • Singapore, through Dr Vivian Balakrishnan, proposed that the UN explore a framework convention on AI safety to address the risks posed by autonomous systems, dangerous weapons and social disruption.
  • He suggested scientific cooperation, proportionate testing, cross-border incident reporting and human control, while ensuring that all countries are meaningfully involved.
  • Dr Balakrishnan also stressed the importance of the United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), the issue of the Strait of Hormuz and reforms to multilateral institutions, saying rule stability is important to global trade and shipping.
  • He welcomed the Trump-Xi meeting, cautioned that US-China problems remain unresolved, and said Singapore will strengthen ASEAN integration when it becomes chairman next year.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Singapura mengusulkan satu konvensyen rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perlindungan kecerdasan buatan (AI), sedang pemerintah di seluruh dunia berdepan risiko, daripada sistem autonomi yang hilang kawalan hingga penggunaan AI untuk menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran.

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata pada Ahad (27 Sep) bahawa PBB harus memainkan peranan utama dalam menyatukan negara-negara untuk membentuk peraturan bersama mengenai AI kerana ia satu-satunya institusi antarabangsa peringkat tertinggi dengan keanggotaan sejagat.

“Kita mesti meneroka semua pilihan, termasuk idea konvensyen rangka kerja PBB mengenai perlindungan AI,” kata Dr Balakrishnan semasa menyampaikan Kenyataan Singapura pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB di New York.

Beliau berkata negara-negara juga mungkin memerlukan sebuah institusi antarabangsa bagi AI yang menjalankan sebahagian fungsi seperti badan dalam bidang-bidang lain, termasuk Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), yang menetapkan piawai teknikal, dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang menjalankan pengesahan.

Dr Balakrishnan mengenal pasti tiga kategori risiko utama: manusia kehilangan kawalan terhadap sistem autonomi; pihak tidak bertanggungjawab menggunakan AI untuk menghasilkan senjata biologi atau senjata lain yang mampu menyebabkan kemusnahan atau gangguan besar-besaran; serta pergolakan ekonomi, sosial dan politik.

Pendekatan Singapura termasuk menjalankan ujian dan penilaian ketat sebelum sistem AI digunakan, menetapkan had terhadap tindakan yang dibenarkan bagi sistem autonomi serta menyediakan mekanisme untuk campur tangan manusia apabila sistem bertindak di luar jangkaan.

“Paling penting, manusia akhirnya mesti kekal memegang kawalan dan bertanggungjawab,” kata Dr Balakrishnan.

Pendekatan global diperlukan kerana risiko AI boleh merentasi sempadan negara. Namun, usaha membentuk perlindungan bersama berdepan masalah asas, iaitu kurangnya kepercayaan antara negara sedang teknologi canggih semakin menjadi medan persaingan strategik.

Menurut Dr Balakrishnan, sebarang aturan antarabangsa perlu memberi semua negara peranan bermakna dan tidak hanya dibentuk oleh negara yang mempunyai model AI paling canggih, sumber kewangan terbesar atau keupayaan ketenteraan paling kukuh.

Satu titik permulaan ialah meningkatkan kerjasama saintifik meskipun pemerintah berbeza pandangan mengenai bagaimana AI akhirnya harus ditadbir.

Negara-negara boleh berusaha mencapai pemahaman bersama mengenai keupayaan dan risiko AI, membangunkan kaedah ujian serta penilaian yang boleh dibandingkan dan mewujudkan cara untuk melaporkan insiden AI serius dengan pantas merentasi sempadan.

Inisiatif PBB sedia ada boleh menjadi asas bagi kerjasama tersebut. Dr Balakrishnan merujuk kepada Panel Saintifik Bebas Antarabangsa PBB mengenai AI, Dialog Global mengenai Tadbir Urus AI dan Suruhanjaya Global AI for Good ITU.

PEMBAHARUAN APABILA DIPERLUKAN

Dr Balakrishnan berkata usaha berbilang hala kekal penting dalam dunia yang semakin berpecah belah akibat persaingan kuasa besar, peperangan, hambatan perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan perubahan iklim.

Beliau mengulangi gesaan Singapura supaya negara-negara mematuhi undang-undang antarabangsa sedia ada, sambil merujuk kepada penutupan Selat Hormuz di tengah-tengah perang di Teluk Parsi, yang menurutnya memberi “ujian tekanan yang berat” kepada Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

“Hak laluan transit melalui selat yang digunakan bagi pelayaran antarabangsa adalah hak kita semua. Ia bukan satu keistimewaan yang tertakluk kepada bayaran dan tol, dan ini merupakan undang-undang antarabangsa, yang bermakna ia mengikat semua negara, sama ada mereka menganggap diri mereka pihak kepada konvensyen itu atau tidak.”

Cara dunia menangani keadaan di Selat Hormuz akan membawa implikasi terhadap hak dan kebebasan pelayaran di seluruh dunia, katanya.

Gangguan di Selat Hormuz, yang sebelum ini menjadi laluan bagi sekitar seperlima bekalan minyak global, menyebabkan harga tenaga meningkat, rantaian bekalan terganggu dan pelaut terkandas.

“Inilah sebabnya peraturan bersama seperti UNCLOS penting. Mempertahankannya bukan sekadar soal prinsip atau perbahasan; ia demi kepentingan bersama kita. Ekonomi terbesar bergantung kepada laluan laut terbuka sama seperti ekonomi terkecil,” katanya.

Dr Balakrishnan turut menggesa pembaharuan institusi berbilang hala sedia ada, termasuk sistem perdagangan global dan PBB sendiri.

“Kita memerlukan gabungan negara dan rakan kongsi yang lebih fleksibel, yang bersedia dan mampu bergerak ke hadapan, sambil terus terbuka kepada pihak lain untuk menyertainya apabila mereka bersedia,” katanya.

SINGAPURA PERLU KEKAL KONSISTEN, MEMBINA

Bercakap kepada media tempatan secara online dari New York selepas menyampaikan Kenyataan Singapura, Dr Balakrishnan berkata terdapat “minat yang besar” tahun ini terhadap potensi dan risiko AI serta cara menanganinya.

Walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada konvensyen rangka kerja PBB mengenai keselamatan AI diperlukan, “sekurang-kurangnya perbincangan sudah bermula”, katanya.

Dr Balakrishnan berkata beliau pulang dengan rasa “lebih yakin”, meskipun dunia kini melalui fasa penuh gangguan dan berpotensi berbahaya, dengan isu-isu seperti perang Amerika-Iran masih belum diselesaikan.

“Anda tidak akan dapat menyelesaikan semua ini dalam seminggu, malah secara terus terang, dalam setahun sekalipun. Hakikatnya, perbincangan sudah bermula, pilihan sudah dikemukakan, implikasinya sedang dikaji dan pihak-pihak sedang menilai batas, garis merah, kebimbangan serta cita-cita masing-masing, merupakan langkah yang sangat berguna,” katanya.

Singapura akan terus memantau keadaan di Selat Hormuz dan menyatakan pendiriannya “bukan secara sewenang-wenangnya atau provokatif, tetapi dengan berhati-hati, penuh pertimbangan dan tegas”, tambah beliau.

PBB sendiri sedang melalui tempoh perubahan dengan seorang Setiausaha Agung baharu bakal dipilih, kata Dr Balakrishnan. Beliau sudah bertemu beberapa calon dan mendapati mereka berpengalaman serta komited untuk melakukan pembaharuan.

“Dari sudut Singapura, kita sebuah negara kecil. Kita hanya satu anggota dalam sebuah pertubuhan yang mempunyai lebih 193 negara anggota. Kita perlu kekal konsisten, membina, membantu dan relevan, dan itulah yang sentiasa cuba dilakukan Singapura sepanjang 61 tahun kita berada di sini.”

Sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan, Singapura memerlukan dunia yang stabil dan boleh diramal, dengan peraturan dipatuhi, kontrak dihormati dan negara bertindak sewajarnya, katanya lagi.

PERTEMUAN TRUMP-XI

Ditanya mengenai hasil pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping, Dr Balakrishnan berkata: “Saya gembira mereka mengadakan pertemuan.”

“Hubungan antara China dengan Amerika Syarikat adalah yang paling penting bagi kedua-duanya, sudah tentu, tetapi juga bagi kita semua di dunia. Mereka merupakan dua kuasa besar utama,” katanya.

“Persoalan perang dan keamanan, norma yang digunakan dalam persaingan mereka serta kesannya terhadap rantaian bekalan, perdagangan dan tarif, sebahagian besarnya bergantung kepada bagaimana mereka mengurus hubungan tersebut.”

Pertemuan itu dan hubungan peribadi yang kelihatan baik antara kedua-dua pemimpin membantu, tetapi tidak bermakna masalah antara kedua-dua negara tiba-tiba selesai, katanya.

KEUPAYAAN ASEAN MENGHIMPUNKAN NEGARA

Sedang Singapura mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, ia akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integrasi blok tersebut sambil memperluaskan hubungan dengan rakan-rakan luar, kata Dr Balakrishnan.

ASEAN masih berkeupayaan untuk menghimpunkan negara, katanya, seperti yang dapat dilihat daripada tahap kehadiran dalam mesyuaratnya.

“Pemimpin asing dari dekat dan jauh berusaha menghadiri mesyuarat ASEAN kerana mereka tahu mereka boleh berinteraksi dengan sekumpulan pemimpin yang serius. Ada urusan yang boleh dilakukan. Ada mesyuarat sampingan dan manfaat lain daripadanya.”

Gabungan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 11 negara anggota ASEAN menjadikan blok itu ekonomi kelima terbesar dunia, katanya lagi, sesuatu yang “tidak boleh dipandang ringan”.

Negara-negara anggota perlu terus mempererat hubungan antara ekonomi masing-masing, dengan mengurangkan hambatan tarif dan bukan tarif, katanya lagi.
 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita