Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG umum projek 5G baru dalam pengeluaran EV, pembersihan sungai

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Feb 2023 10:12PM Dikemas Kini : 28 Feb 2023 10:53PM


SINGAPURA: Singapura akan menyaksikan tiga penggunaan baru bagi teknologi 5G tahun ini, di mana dua daripadanya melibatkan pengeluaran kenderaan elektrik dan pembersihan sungai.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Janil Puthucheary di Parlimen pada Selasa (28 Feb).

Dr Puthucheary berkata mengikut kiraan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), dua rangkaian kendiri 5G pertama di Singapura sudah mencapai 95 peratus liputan di merata negara sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan untuk 2025.

"Dengan langkah yang diperkenalkan mencapai kemajuan lebih cepat daripada yang dijadualkan, tumpuan kami kini adalah untuk menyokong industri itu dalam memanfaatkan keupayaan 5G dalam mempertingkatkan operasi dan khidmat yang ditawarkan," katanya.

Dalam satu projek, lebih 100 robot yang menggunakan 5G ditempatkan di kilang Pusat Inovasi Kumpulan Hyundai Motor di Singapura bagi mengangkut bahan ke unit pembuatan kenderaan.

Menurut Dr Puthucheary, teknologi 5G itu akan membolehkan penghantaran data dalam masa nyata antara sistem kawalan automasi dan robot tersebut. Ia akan mengurangkan kegiatan menggunakan tenaga buruh yang intensif, meningkatkan keselamatan pekerja dan membolehkan mereka memainkan peranan nilai lebih tinggi.

Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) malah, menggambarkan kerjasama IMDA dan Hyundai sebagai "kilang kenderaan elektrik bina ikut tempahan 5G yang pertama di dunia".


KAPAL MEMBERSIH SUNGAI

Dalam satu lagi projek baru, hasil kerjasama antara IMDA dan Weston Robot, kapal elektrik tanpa pemandu akan digunakan untuk membersihkan dan memeriksa sungai.

Buat masa ini, kegiatan pembersihan sungai dilakukan secara manual dengan bot-bot yang menggunakan petrol.
Setiap bot menghasilkan sehingga 20 tan karbon setahun dan menelan belanja antara S$6,000 hingga S$12,000 untuk diselenggara.

Kapal elektrik boleh beroperasi tanpa pemandu dan menggunakan analisis video untuk mengesan dan membersihkan sampah di luar laluan yang sudah ditetapkan. Ia juga akan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 80 peratus berbanding bot yang menggunakan petrol.

Menyifatkan projek itu sebagai "yang pertama" dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), MCI menambah bahawa ia akan berusaha untuk mendorong penggunaan kapal elektrik dan teknologi analisis video bagi pengesanan sampah di Singapura dan rantau ini.

Projek ketiga melibatkan kerjasama antara IMDA dengan Mind PointEye untuk membangunkan robot pengawal dan kenderaan peronda kecerdasan buatan (AI). Para pengawal keselamatan akan dapat memantau lokasi dari jarak jauh menggunakan analisis video yang memberikan pemberitahuan berhubung sebarang ancaman dalam masa nyata.

IMDA melancarkan Program Inovasi 5G bernilai S$30 juta pada 2021 untuk mempercepat penggunaan 5G dalam huraian dan memasarkannya secara komersil.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan