Skip to main content

Singapura

SG umum langkah baru redakan pasaran hartanah; cukai Setem Pembeli Tambahan warga asing naik seganda kepada 60%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Apr 2023 07:18AM Dikemas Kini : 27 Apr 2023 09:22PM

SINGAPURA: Pemerintah mengumumkan beberapa langkah untuk meredakan pasaran hartanah.

Antaranya, warga asing yang membeli sebarang hartanah kediaman di Singapura perlu membayar 60 peratus Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), iaitu dinaikkan seganda berbanding 30 peratus ABSD sebelum ini.

Ia sebahagian daripada langkah kawal pasaran hartanah yang diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) lewat Rabu malam (26 Apr).

MND menjelaskan jika dibiarkan, harga hartanah boleh meningkat menjangkaui asas ekonomi dengan risiko kenaikan harga berterusan berbanding dengan pendapatan.

Perkembangan itu diumumkan di tengah-tengah minat yang meningkat dalam kalangan pelabur setempat dan asing terhadap pasaran hartanah, serta permintaan kukuh daripada penduduk setempat untuk membeli rumah untuk didiami.

Di bawah langkah-langkah penyejukan yang baru, warga Singapura yang membeli hartanah kediaman kedua kini perlu membayar 20 peratus ABSD, berbanding 17 peratus sebelum ini.

Kadar ABSD bagi pembelian hartanah ketiga dan seterusnya pula adalah 30 peratus, berbanding 25 peratus sebelum ini.

Bagi Penduduk Tetap, kadar ABSD yang dikenakan pula lebih tinggi iaitu sebanyak 30 peratus untuk pembelian hartanah yang kedua.

Ini berbanding 25 peratus sebelumnya.

Untuk pembelian hartanah yang ketiga dan seterusnya, mereka perlu membayar 35 peratus ABSD, naik daripada 30 peratus sebelumnya.

Kadar ABSD yang disemak itu adalah bagi semua hartanah yang diperolehi pada atau selepas 27 April.

Ini adalah pusingan ketiga langkah penyejukan yang diumumkan sejak Disember 2021.

Peningkatan dalam ABSD adalah untuk "menggalakkan pasaran hartanah yang mampan dan mengutamakan perumahan untuk diduduki pemilik", kata Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu mana.

Menurutnya pusingan awal langkah penyejukan pada Disember 2021 dan September 2022 telah memberi "kesan sederhana" ke atas pasaran. Bagaimanapun, harga hartanah pada suku pertama 2023 menunjukkan "tanda-tanda lonjakan yang baru di tengah-tengah permintaan yang berdaya tahan".

"Permintaan daripada penduduk tempatan untuk membeli rumah untuk didiami sebagai pemilik amat kuat. Terdapat juga minat baru daripada pelabur tempatan dan asing dalam pasran hartanah kediaman kita".  
Berdasarkan data 2022, kenaikan kadar ABSD akan menjejas kira-kira 10 peratus daripada urus niaga hartanah kediaman.

Kadar ABSD untuk warga Singapura dan penduduk tetap yang membeli hartanah kediaman pertama mereka - yang membentuk kira-kira 90 peratus daripada urus niaga hartanah kediaman berdasarkan data 2022 - akan kekal pada 0 peratus dan 5 peratus masing-masing.

Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita