Skip to main content

Singapura

SG umum laluan pas pekerja hijrahan baharu, pengecualian cukai bagi industri pengurusan aset

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Aug 2026 04:07PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 09:38PM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (19 Ogos) mengumumkan beberapa langkah untuk mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab pengurusan aset, termasuk laluan baharu bagi pas pekerja hijrahan untuk menarik golongan karyawan kanan dalam industri tersebut.

Laluan Pengurusan Pelaburan yang baharu, di bawah rangka kerja Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara (ONE Pass), disasarkan kepada para pemimpin global dan karyawan pelaburan kanan yang berpotensi menyumbang, atau sudah pun memberikan sumbangan besar, kepada industri pengurusan aset Singapura, menurut MAS dalam kenyataan medianya.

Industri pengurusan aset membentuk sekitar 15 peratus daripada pengeluaran sektor kewangan Singapura dan 13 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam sektor tersebut.

Bercakap kepada media pada Rabu, Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat, yang juga timbalan pengerusi MAS, berkata langkah-langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Singapura untuk memperkukuh nilai daya tarikan negara dan memastikan ia kekal sebagai “hab kewangan yang diyakini, dinamik dan berdaya saing di peringkat global”.

Industri itu berkembang pada kadar purata 7.5 peratus setahun sepanjang lima tahun lalu, dengan aset di bawah pengurusan mencecah hampir S$7 trilion. Encik Chee menarik perhatian industri tersebut menyediakan 25,000 pekerjaan, dengan 80 peratus daripadanya disandang warga tempatan.

“Kami mahu mengembangkan lagi industri ini sebagai sebahagian daripada rancangan kami untuk memperkukuh kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa,” katanya.

PENGECUALIAN CUKAI, PELABURAN DANA LINDUNGI NILAI

Di bawah Laluan Pengurusan Pelaburan yang baharu, pihak berkuasa mungkin memperhalusi penilaian gaji agar lebih mencerminkan struktur pampasan dalam industri tersebut, termasuk pulangan yang dikaitkan dengan prestasi pelaburan dan hasil dana.

Pulangan sedemikian membentuk sebahagian besar dan komponen pampasan berulang daripada mereka yang menyediakan khidmat pengurusan dana khusus, selain gaji bulanan tetap mereka.

MAS dan Kementerian Kewangan (MOF) juga merancang untuk memperkenalkan pengecualian cukai bagi pulangan berkaitan keuntungan daripada khidmat pengurusan dana yang disediakan kepada dana yang layak.

Pengecualian cukai itu akan dikuatkuasakan ke atas sebahagian daripada keuntungan pelaburan yang diperolehi pengurus dana dan karyawan pelaburan apabila mereka menghasilkan pulangan yang kukuh bagi para pelabur dalam dana yang layak.

Menurut MAS, pengecualian itu tidak merangkumi gaji biasa, bonus atau bentuk bayaran lain kepada pekerja.

“Dana sedemikian sudah pun diwajibkan bagi memenuhi syarat-syarat berkaitan kegiatan ekonomi sebenar, termasuk bilangan minimum kakitangan. Pengecualian cukai ini disasarkan dan bertujuan meningkatkan daya saing global Singapura sebagai hab pengurusan aset,” menurut bank pusat itu.

Pengecualian cukai tersebut akan mengambil kira aturan komersial pengurusan dana yang diamalkan ketika ini dan dijangka berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2027. Butiran lanjut akan diumumkan semasa Belanjawan 2027.

Selain itu, MAS akan memperkenalkan program pelaburan dana lindungi nilai baharu untuk melabur bersama pengurus dana lindungi nilai yang komited untuk memulakan atau memperluaskan kehadiran mereka di Singapura.

Menurut MAS, program itu akan menyokong pertumbuhan ekosistem pelaburan dana lindungi nilai Singapura, termasuk penyedia khidmat sokongan dan broker utama, selain menarik dan mengekalkan pengurus dana lindungi nilai global dan serantau serta bakat pelaburan di Singapura.

“Rangkaian langkah ini memanfaatkan momentum pertumbuhan positif industri dan akan membantu mengekalkan kegiatan pengurusan aset bernilai tinggi di Singapura, memperkukuh keupayaan industri serta menarik bakat terbaik dalam bidang pengurusan aset, di tengah-tengah persaingan antarabangsa yang semakin sengit,” tambah bank pusat itu.

Semasa ditanya sama ada langkah tersebut diambil sebagai respons terhadap persaingan daripada Hong Kong, Encik Chee berkata Singapura tidak melihat persaingan dari Hong Kong sebagai "sesuatu yang hanya menguntungkan satu pihak”.

“Kami percaya rantau ini cukup besar. Terdapat ruang yang mencukupi untuk kedua-dua bandar berkembang sebagai pusat kewangan. Kami perlu melihat perkembangan dalam landskap global apabila menyemak dan menyesuaikan dasar kami sendiri.

"Kami tidak berpendapat daya saingan hanya bergantung pada satu faktor, misalnya cukai, tetapi ia merupakan sebahagian daripada pertimbangan keseluruhan,” katanya.

Beliau menambah pertumbuhan industri itu akan membantu “menyebarkan manfaat pertumbuhan ekonomi kepada kelompok masyarakat yang lebih luas”.

“Apabila ekonomi menunjukkan prestasi yang baik dan kita dapat mengembangkan ekonomi, sumber yang dapat kita kumpulkan akan membolehkan kita melakukan lebih banyak lagi, melabur dalam rakyat kita, melabur dalam prasarana kita dan menjaga mereka dalam golongan lebih rentan,” katanya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita