SG uji kenderaan tanpa pemandu di Punggol mulai Q4 2025
Seawal hujung tahun ini, penduduk Punggol mungkin boleh mula menaiki bas ulang alik tanpa pemandu untuk ke tempat-tempat berdekatan kediaman mereka seperti stesen MRT.
Punggol menjadi estet pertama yang dipilih untuk memperkenalkan kenderaan tanpa pemandu seperti itu.
Ini merupakan langkah besar ke arah usaha nasional menggunakan pengangkutan sedemikian bagi melengkapi sistem pengangkutan awam.
Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow mengumumkan perkembangan itu semasa lawatannya ke China untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang kenderaan tanpa pemandu.
Punggol dipilih untuk menggunakan bas ulang alik awam tanpa pemandu antara lain kerana jalan raya yang cukup lebar, pusat perhentian yang jelas, dan data untuk menunjukkan laluan-laluan popular di estet itu.
"Pada tempoh permulaan, kami mungkin mengendalikannya tanpa penumpang, supaya orang ramai tahu bahawa ada kenderaan itu di jalan raya, untuk menyesuaikan diri dengan kenderaan tersebut sebelum kami mula menerima penumpang. Jika kami berjaya, kami memulakan khidmat itu di Punggol, kami akan mengendalikan beberapa laluan menjelang hujung tahun ini, memperkenalkan kenderaan-kenderaan tersebut dan pada hujung tahun, menimbangkan tempat-tempat lain," kata Encik Siow.
Rancangannya adalah untuk mengetahui bagaimana kenderaan-kenderaan itu boleh dikerahkan, berupaya mengatasi masalah-masalah yang muncul, dan kemudian memperkenalkannya di estet-estet HDB lain seperti Tengah.
Encik Siow membuat pengumuman itu semasa menggulung lawatannya ke Guangzhou, di mana beliau mengunjungi beberapa kemudahan dan menguji kenderaan-kenderaan tanpa pemandu.
Beliau diiringi oleh Menteri Negara Kanan Pengangkutan Sun Xueling.
Walaupun penggunaan bas tanpa pemandu di kawasan kejiranan adalah sesuatu yang baharu, ia sudahpun diuji di beberapa tempat seperti taman teknologi one-north.
WeRide antara syarikat yang sudah melakukan ujian di kawasan tersebut, dan kini menyediakan khidmatnya di Resorts World Sentosa.
Pengurus Besar WeRide Singapore, Kerry Xu berkata: "Sepanjang 12 bulan mengendalikan khidmat di RWS, kami tidak mengalami sebarang kemalangan atau insiden, rekod prestasi yang sangat baik.
"Kami sudah menguji kenderaan kami di tempat-tempat yang sangat pelbagai di Singapura dan saya fikir ia juga membantu meningkatkan tahap keyakinan kami untuk mengerahkannya di lebih banyak tempat, dengan keselamatan sentiasa terjamin."
Encik Siow berkata butiran lanjut mengenai operasinya di Punggol masih dibincangkan.
Ini termasuk kekerapan dan jumlah bas ulang alik yang akan disediakan.
Namun beliau berkata pelaksanaannya adalah langkah pertama dalam meringankan beban tenaga manusia dan mengatasi kekurangan bekalan dalam industri tersebut.
Tambang bas juga belum ditetapkan.
Namun menurut beliau, kosnya dijangka antara tambang pengangkutan awam dengan khidmat kereta sewa privet.
Sementara itu, Encik Siow berkata pemerintah akan menyemak peraturan untuk menyokong pengerahan bas sedemikian dengan lebih baik lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.