Skip to main content

Singapura

SG ubah ramalan pertumbuhan GDP 2024 kepada 2-3%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Aug 2024 10:12AM Dikemas Kini : 13 Aug 2024 09:19PM
SINGAPURA: Pemerintah telah mengubah ramalan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) bagi 2024 kepada antara 2 hingga 3 peratus.

Dalam kenyataannya pada Selasa (13 Ogos), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengatakan perubahan itu dibuat menyusuli prestasi lebih baik daripada jangkaan, yang dicatat pada separuh pertama tahun ini.

Unjuran pertumbuhan sebelum ini ialah antara 1 sehingga 3 peratus.

Purata pertumbuhan GDP Singapura ialah 3 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Menurut MTI ekonomi Singapura berkembang 2.9 peratus pada suku kedua, sejajar dengan ramalan awal yang dikeluarkan bulan lalu, dan rendah sedikit daripada 3 peratus yang dicatat pada suku pertama. Pakar ekonomi dalam tinjauan Reuters meramalkan pertumbuhan 2.7 peratus pada suku kedua.

Pertumbuhan dalam suku kedua tersebut dipacu terutamanya oleh prestasi baik dalam kegiatan dagangan borong, kewangan dan insurans serta maklumat dan perhubungan, menurut MTI.

Sebaliknya, kegiatan pengilangan menguncup, sebahagian besarnya kerana kemerosotan pengeluaran dalam kelompok bio-perubatan, di mana terdapat penurunan mendadak dalam pengeluaran farmaseutikal. Ia mengimbangi pertumbuhan dalam kelompok elektronik, yang didorong permintaan kukuh bagi telefon bimbit bijak, komputer peribadi dan cip berkaitan kecerdasan buatan.

Mengikut penyesuaian musiman dari suku ke suku, ekonomi berkembang sebanyak 0.4 peratus, sejajar dengan kenaikan 0.4 peratus pada suku pertama.

Pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama Singapura juga kebanyakannya sejajar dengan jangkaan sejak Tinjauan Ekonomi Singapura pada Mei lalu, tambah MTI.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita