Skip to main content

Singapura

SG tunggu jawapan Malaysia berhubung saranan beli tanah bagi bangunkan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura sedang menunggu respons Malaysia berhubung pembelian dua bidang tanah yang akan membantu memudahkan pembangunan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan pada Khamis (22 Feb) bahawa Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Malaysia memiliki dua "bidang tanah yang kecil" berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands.

"Bidang tanah tersebut, yang buat masa ini tidak digunakan, terletak di tengah-tengah kawasan tersebut yang merangkumi Pusat Pemeriksaan Woodlands yang akan dibangunkan semula," jelas ICA.

"Tanpa bidang tanah tersebut, kita tidak akan dapat mengoptimumkan pembangunan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands, yang kami merancang untuk mempertingkatkan pengalaman pelepasan imigresen bagi para pelawat Singapura dan Malaysia yang menggunakan Koswe."

Menurut ICA, Singapura sudah mengirimkan surat kepada Malaysia sebanyak dua kali - pada Mei 2022 dan November 2023 - untuk mengusulkan pembelian tanah itu.

Perkara itu juga dibangkitkan di mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia pada Julai 2023 dan Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 pada Oktober 2023, ketika kedua-dua pihak komited untuk melancarkan keadaan trafik di Seberang Tambak, jelas ICA.

"Kami sedang menunggu jawapan Malaysia mengenai usulan tersebut," tambah ICA.

Agensi berita Malaysia, Bernama melaporkan pada 18 Feb lalu bahawa pihak berkuasa Malaysia masih mempertimbangkan penjualan tanah tersebut.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Dr Azfar Mohamad Mustafar dipetik sebagai berkata bahawa meskipun ia adalah logik bagi Singapura untuk membeli tanah tersebut, Malaysia masih belum memutuskan sama ada untuk menjual kedua-dua bidang tanah itu atau memeterai perjanjian pertukaran tanah seperti yang dilakukan pada 2010.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita