Skip to main content

Singapura

SG tubuhkan pasukan bertindak baharu lindungi infrastruktur digital negara

Singapura menubuhkan sebuah pasukan bertindak baharu untuk melindungi infrastruktur digital negara dan memastikan ia kekal berdaya tahan terhadap sebarang ancaman.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura menubuhkan sebuah pasukan bertindak baharu untuk melindungi infrastruktur digital negara dan memastikan ia kekal berdaya tahan terhadap sebarang ancaman.

Pasukan bertindak baharu itu akan menilai semula risiko-risiko keselamatan siber yang kian berubah-ubah dan menyarankan langkah-langkah untuk melindungi negara daripada risiko-risiko tersebut.

Ia juga akan mengkaji sama ada undang-undang atau peraturan perlu diperkenalkan.

Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo menegaskan bahawa ia juga bagi memastikan sistem digital Pemerintah kekal selamat.

"Ia tentu sekali perlu meneliti infrastruktur dan khidmat digital Pemerintah, tetapi ia juga perlu melihat lebih daripada itu kerana Pemerintah Singapura juga mendapatkan khidmat para pembekal utama untuk menawarkan khidmat tersebut.

"Justeru apakah keperluan tambahan yang perlu dipenuhi oleh para pembekal, penyedia khidmat infrastruktur digital supaya mereka bukan sahaja cekap tetapi juga berdaya tahan dan selamat? Ini adalah perkara-perkara yang akan kami teliti," kata Cik Teo.

Matlamat utama pasukan bertindak berbilang agensi itu adalah untuk memastikan orang ramai mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap ruang digital Singapura.

Menurut Cik Teo, pasukan bertindak berbilang agensi itu akan memainkan peranan dalam membantu orang ramai berasa selamat daripada sebarang penipuan digital.

Cik Teo turut menegaskan bahawa sungguhpun pasukan-pasukan khas seperti Pusat Antipenipuan telah ditubuhkan, ia masih belum mencukupi.

"Tetapi anda tidak boleh cepat berpuas hati dan setakat berpeluk tubuh sahaja? Yang pertama, anda perlu mencegahnya dengan sentiasa mempertingkatkan diri. Kami juga perlu campur tangan di pelbagai peringkat untuk mencuba dan memastikan aspek pencegahan dijaga dengan lebih baik lagi," tegas Cik Teo.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita