Skip to main content

Singapura

SG tubuh rangkaian teknologi kewangan global, lantik mantan ketua MAS Ravi Menon sebagai pengerusi

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membangunkan satu rangkaian global bagi mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab teknologi kewangan (fintech) dan mengeratkan hubungannya dengan negara-negara lain.

Anggaran Waktu Membaca:
SG tubuh rangkaian teknologi kewangan global, lantik mantan ketua MAS Ravi Menon sebagai pengerusi

(Gambar: GFTN)

Diterbitkan : 30 Oct 2024 05:33PM Dikemas Kini : 30 Oct 2024 05:36PM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membangunkan satu rangkaian global bagi mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab teknologi kewangan (fintech) dan mengeratkan hubungannya dengan negara-negara lain.

Rangkaian Teknologi dan Kewangan Global (GFTN) akan menyokong usaha pusat bank itu dalam membangunkan dan mengembangkan ekosistem teknologi kewangan Singapura, menurut MAS pada Rabu (30 Okt).

Matlamat rangkaian itu adalah untuk "memanfaatkan teknologi dan memupuk inovasi menerusi kerjasama global".

Mantan pengarah urusan MAS Ravi Menon akan menjadi pengerusi lembaga pengarah GFTN.

Apabila ditanya mengapa beliau dilantik ke lembaga GFTN dan bagaimana ia berkaitan dengan peranannya sebagai Duta bagi Tindakan Iklim Singapura, Encik Menon berkata peranan sebagai duta itu masih tugas utamanya.

"Namun sebagai seorang pesara, saya masih ada keupayaan, jadi saya boleh lakukan ini," katanya di satu taklimat pada Rabu.

Encik Menon berkata hubungan yang beliau jalin sewaktu berkhidmat di MAS telah mendorong pelantikannya terhadap kedua-dua peranan dan beliau tetap mempunyai minat terhadap teknologi.

"Kedua-duanya sebenarnya adalah isu yang dekat di hati saya - kemampanan dan inovasi, bumi dan manusia," katanya.

GFTN menggantikan Elevandi, iaitu sebuah pertubuhan bukan mengaut keuntungan yang ditubuhkan oleh MAS bagi menggalakkan dialog berkaitan teknologi kewangan.

Ia telah menganjurkan persidangan teknologi kewangan di beberapa negara, termasuk Jepun, Switzerland dan Ghana.

Kakitangan Elevandi dan aset-asetnya akan dipindahkan ke GFTN, di mana tugas-tugasnya akan dipertingkatkan, kata Encik Menon.

Selain menganjurkan forum, GFTN juga akan menawarkan khidmat nasihat, kerjasama dengan wadah-wadah digital serta pelaburan dalam syarikat pemula tekologi dengan potensi mencetuskan impak sosial atau sekitaran yang positif.

"Kami akan menyediakan portfolio ini kepada syarikat-syarikat yang mempunyai modal pelaburan jangka panjang, namun paling penting sekali, akses kepada rangkaian global rakan-rakan kongsi, pembeli dan pembekal berpotensi menerusi wadah-wadah kami yang sedia ada," kata Encik Menon.

Menurutnya, forum perniagaan Elevandi mencatatkan prestasi baik, dan ia menerima lebih banyak undangan daripada yang dapat ditampung.

Pada masa yang sama, Elevandi juga mula melakukan beberapa tugas 'sampingan' kerana orang ramai mula meminta nasihat mengenai infrastruktur digital.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita