Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG tubuh pusat khas kesihatan awam, pasukan nilai risiko agar lebih cekap tangani pandemik seterusnya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah pusat khas bagi kesihatan awam dan pasukan yang akan menjangka serta memantau risiko akan ditubuhkan untuk mempersiapkan Singapura dengan lebih baik bagi mengharungi pandemik seterusnya, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (20 Mac).

Ini selepas kertas putih, yang didedahkan pada awal bulan ini, memperincikan respons pemerintah terhadap pandemik COVID-19 dan mengenal pasti bidang-bidang yang boleh diperbaiki lagi.

Dalam ucapan pembukaannya bagi membahaskan mengenai kertas putih tersebut di Parlimen, Encik Wong menekankan betapa pentingnya untuk mengembangkan kepakaran dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan pandemik.
Langkah itu penting bagi mengesan patogen-patogen baru dengan lebih pantas dan membangunkan langkah-langkah untuk mengawal penularannya.

Walapun Singapura sudah mempunyai beberapa keupayaan itu, Encik Wong berkata ia hanya dimiliki oleh beberapa bahagian sistem penjagaan kesihatan termasuk Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Untuk mengukuhkan lagi keupayaan dan kepakaran tersebut, sebuah pusat khas bagi kesihatan awam, serupa dengan Pusat Kawalan Penyakit di negara-negara lain, akan ditubuhkan di Singapura, kata Encik Wong.

"Ia akan membolehkan kami untuk membangunkan kecekapan yang lebih kukuh dalam bidang kesihatan awam dan terus meningkatkan keupayaan ini," terangnya.

Ketika menarik perhatian tentang betapa COVID-19 memberi tekanan kepada keupayaan dan tenaga manusia dalam bidang jagaan kesihatan Singapura, Encik Wong berkata apa sahaja perancangan keupayaan masa depan yang dilakarkan sepanjang tempoh tiga tahun lalu bersaing dengan tuntutan operasi bagi smemperuntukkan sumber-sumber dan kesedaran awam untuk menangani "ancaman segera".

Daripada pengajaran yang ditimba, Singapura akan menubuhkan sebuah pasukan perancangan masa depan yang berdedikasi, dengan mempunyai keupayaan dan kemahiran untuk merancang buat masa hadapan, kata Encik wong.

Selain itu, tambahnya, Singapura juga perlu mengukuhkan daya bingkasnya sebagai satu negara.

Ini termasuk membangunkan penampan tambahan sebagai sandaran ketika berlakunya krisis serta keupayaan untuk mengerahkan aset dan sumber-sumber sedia ada secepat mungkin.

Encik Wong berkata, di mana mungkin, pemerintah akan mereka kemudahan-kemudahan serba guna supaya ia boleh diubah untuk memenuhi tujuan lain atau dikerahkan semula tatkala krisis melanda.

Encik Wong juga menekankan betapa pentingnya rizab kewangan Singapura sambil menambah bahawa ia adalah sumber "penting" yang membolehkan pemerintah untuk bertindak balas secara berkesan serta bangkit semula dengan pantas dalam pandemik ini.

"Ia melindungi ekonomi dan rakyat kita daripada kesan paling teruk pandemik. Ia kekal sebagai pelindung terbaik kita dalam sebarang krisis," kata Encik Wong.

"Lantas, ia merupakan tanggungjawab kami untuk memastikan rizab tersebut digunakan secara berhemat dan bijak agar generasi-generasi akan datang boleh terus meraih kemaslahatan daripadanya."

Berucap di Parlimen, Encik Wong memperakui bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki pemerintah dan menambah bahawa tindak balasnya terhadap COVID-19 "tidaklah sempurna sama sekali".

"Kita tidak melakukan setiap perkara dengan tepat. Kami kesal terhadap kesulitan dan kekecewaan yang dilalui warga Singapura serta semua orang di Singapura, apabila ia berlaku," ujar Encik Wong.

"Pada masa yang sama, kita berterima kasih atas ketabahan dan kesabaran yang dipaparkan semua orang apabila kami perlu melaksakan langkah-langkah yang sukar dan juga apabila terdapat kekurangan serta kesilapan dalam dasar-dasar dan pelaksanaan langkah-langkah kami."

Dalam ucapannya, Encik Wong juga memberi penghargaan kepada mereka yang menyumbang dalam usaha untuk menentang COVID-19. Mereka termasuk para pekerja dan kesatuan sekerja, para pegawai perkhidmatan awam, kakitangan jagaan kesihatan serta pekerja barisan hadapan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan