Skip to main content

Singapura

SG tubuh kumpulan kerja baharu rangsang kadar kesuburan, laporan penuh dibentang awal 2027

Sebuah kumpulan kerja baharu bagi merangsang kadar kesuburan di Singapura yang merosot akan menerbitkan dapatannya menjelang awal tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Apr 2026 07:08PM Dikemas Kini : 08 May 2026 02:07PM
  • Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan & Keibubapaan ditubuhkan di Singapura untuk menangani kadar kesuburan yang semakin menurun.
  • Kumpulan ini diketuai oleh Menteri Indranee Rajah bersama lapan pemegang jawatan politik dari pelbagai kementerian.
  • Mereka meneliti isu seperti kos hidup, perumahan, penjagaan anak, pendidikan dan sokongan tempat kerja, serta akan melibatkan majikan dan masyarakat.
  • Laporan awal dijangka awal tahun depan, dengan fokus kepada perubahan dasar, norma masyarakat dan amalan kerja yang lebih menyokong keluarga.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah kumpulan kerja baharu bagi merangsang kadar kesuburan di Singapura yang merosot akan menerbitkan dapatannya menjelang awal tahun depan.

Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan & Keibubapaan akan meneliti faktor-faktor yang menjejas perkahwinan dan keibubapaan di Singapura.

Ini seperti kos kewangan, sokongan kehidupan-pekerjaan, khidmat penjagaan, perumahan, jagaan kesihatan, prasekolah dan pendidikan, menurut Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam kenyataan medianya pada Rabu (29 Apr).

Kumpulan kerja itu pertama kali diumumkan semasa perbahasan Belanjawan 2026 pada Februari lalu.

Ia juga akan mendampingi para majikan, syarikat perniagaan, pertubuhan masyarakat dan rakyat Singapura untuk menggalakkan norma-norma masyarakat dan amalan-amalan di tempat kerja yang lebih menyokong perkahwinan dan keibubapaan.

Kumpulan kerja itu dijangka akan membentangkan saranan-saranan awal sebelum laporan penuh diterbitkan.

Selaku pengerusi kumpulan kerja itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berkata ia merupakan satu isu yang 'sangat peribadi' yang melibatkan anjakan minda, perubahan sikap, nilai, matlamat peribadi dan cita-cita rakyat Singapura.

"Terdapat kecenderungan untuk bertanya: 'Jadi apakah yang dilakukan oleh pemerintah?' - Dan jangkaannya adalah ia akan membawa kepada perubahan dasar. Anda boleh melakukannya bagi sesetengah perkara, tetapi tidak jika ia melibatkan perkara tidak ketara seperti ini," katanya dalam satu wawancara bersama wartawan di bangunan The Treasury.

Masyarakat secara keseluruhannya - majikan, pertubuhan keagamaan, saudara-mara dan pempengaruh - harus memainkan peranan masing-masing, kata Cik Indranee yang juga Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara.

Selain Cik Indranee, kumpulan kerja itu dianggotai oleh lapan pemegang jawatan politik, di mana empat daripadanya berkhidmat untuk penggal pertama.

Mereka mewakili Pejabat Perdana Menteri dan lapan kementerian lain:

- Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Kewangan merangkap Negara

- Low Yen Ling, Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan

- Rahayu Mahzam, Menteri Negara Kesihatan

- Dinesh Vasu Dash, Menteri Negara Tenaga Manusia

- Jasmin Lau, Menteri Negara Pendidikan

- Goh Pei Ming, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga

- Zhulkarnain Abdul Rahim, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga

- Shawn Huang, Setiausaha Parlimen Kanan Tenaga Manusia

- Goh Hanyan, Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia

Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) Singapura merosot ke paras terendah iaitu 0.87 pada tahun lalu, berbanding 0.97 pada tahun sebelumnya.

Cik Indranee berkata ia membawa "kesan ketara" terhadap Singapura jika perkara itu tidak ditangani.

Beliau mengenal pasti perumahan, penjagaan dan pendidikan prasekolah sebagai tiga bidang di mana perubahan boleh dilaksanakan lebih awal berbanding yang lain.

Apabila diminta untuk mendedahkan sasaran kadar kesuburan, Cik Indranee enggan menetapkan sasarannya.

"Apa yang benar, benar baik adalah jika kita mempunyai lebih banyak kelahiran bayi berbanding tahun lalu, dan jika angka TFR kita lebih baik berbanding tahun lalu," katanya.

BAGAIMANA RUPA KEJAYAAN

Cik Indranee turut menyenaraikan enam ukuran kejayaan bagi kumpulan kerja itu.

Pertama adalah bagi golongan muda mempunyai peluang menjalin hubungan dan berpotensi mencari pasangan hidup.

Beliau berkata ramai anak muda Singapura mendapati sukar untuk bertemu dengan orang lain sebaik sahaja mereka melangkah ke dunia pekerjaan, dan ada yang kurang pasti tentang siapa yang mereka bakal bertemu melalui aplikasi cari jodoh.

Kedua adalah supaya orang ramai kurang mengaitkan keibubapaan dengan kebimbangan mengenai "persaingan, tekanan dan kisah-kisah menakutkan", sebaliknya ia dikaitkan lebih dengan kebahagiaan membesarkan anak-anak dan sokongan yang disediakan.

Ketiga adalah pengurangan ketara terhadap stigma mengenai rawatan kesuburan, di samping lebih banyak amalan progresif di tempat kerja bagi menyokong para pekerja yang sedang menjalaninya.

Keempat adalah untuk mengurangkan 'hukuman bersalin' yang dihadapi oleh kaum wanita. Cik Indranee mengusulkan konsep "lencongan" - iaitu mengubah persepsi bahawa ia sesuatu yang biasa bagi kaum wanita untuk berhenti bekerja selama dua atau tiga tahun untuk membesarkan anak, dengan jaminan majikan akan memberi sokongan apabila mereka kembali bekerja.

Kelima adalah peralihan terhadap budaya di tempat kerja supaya matlamat pekerjaan dan keluarga dilihat sebagai seiring dan bukan saling bersaing.

"Sekarang ini, kelihatan seolah-olah perbualannya bersifat binari. Apabila anda bercakap dengan para majikan dan pekerja, ia kelihatan seolah-olah jika saya mempunyai masa untuk diluangkan bersama keluarga, pekerjaan terpaksa dikorbankan, atau jika melakukan pekerjaan, maka keluarga yang menanggung padahnya. Sejujurnya, ia tidak seharusnya begitu," kata Cik Indranee.

Para pekerja juga seharusnya boleh meninggalkan tempat kerja sebelum waktu malam untuk meluangkan masa bersama keluarga mereka dan menikmati masa pada hujung minggu dan cuti umum tanpa sebarang gangguan pekerjaan kecuali berlaku kecemasan, katanya.

Yang keenam ialah amalan sumber manusia dan reka bentuk kerja yang lebih baik dan progresif, dengan sesetengah norma sedia ada mungkin sudah tidak lagi relevan.

"Sekarang pekerjaan kini lebih fleksibel. Anda boleh bekerja secara online, anda boleh menyelesaikan tugas menggunakan komputer, anda boleh memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam tugas anda," katanya, sambil mengiktiraf bahawa tahap fleksibiliti itu bergantung kepada setiap sektor.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita