Skip to main content

Singapura

SG tolak kemasukan aktivis Hong Kong Nathan Law; kehadirannya bukan untuk kepentingan negara

Anggaran Waktu Membaca:
SG tolak kemasukan aktivis Hong Kong Nathan Law; kehadirannya bukan untuk kepentingan negara

Dalam gambar yang diambil pada 18 Ogos 2023, mantan ahli parlimen Hong Kong dan aktivis pro-demokrasi Nathan Law bergambar di London. (Gambar fail: AFP/Henry Nicholls)

Diterbitkan : 29 Sep 2025 03:20PM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 03:21PM
SINGAPURA/BEIJING: Seorang aktivis Hong Kong dari luar negara dinafikan kemasukan ke Singapura kerana kehadirannya bukan untuk kepentingan negara, menurut Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) pada Isnin (29 Sep).

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, MHA menyatakan Nathan Law tiba di Lapangan Terbang Changi dari San Francisco pada Sabtu (26 Sep) dan dibawa untuk disoal siasat, penilaian imigresen dan keselamatan.

Beliau kemudiannya dinafikan kemasukan dan diletakkan dalam penerbangan seterusnya ke San Francisco pada Ahad.

Law adalah seorang aktivis politik Hong Kong yang melarikan diri dari bandar tersebut pada 2020. Polis Hong Kong mengeluarkan waran tangkap terhadapnya atas kesalahan di bawah Undang-undang Keselamatan Negara Hong Kong, menurut MHA.

"Kemasukan dan kehadiran Law di negara ini tidak sesuai dengan kepentingan negara Singapura," tambah kementerian tersebut.

"Pemegang visa masih tertakluk kepada pemeriksaan lanjut di pintu masuk negara. Itulah yang berlaku terhadap Nathan Law."

Satu laporan oleh agensi berita Associated Press memetik Law sebagai berkata beliau ditahan di Lapangan Terbang Changi pada malam Sabtu dan dimaklumkan empat jam kemudian bahawa beliau dinafikan kemasukan.

Beliau sepatutnya menghadiri sebuah acara tertutup yang hanya boleh dihadiri melalui undangan, katanya dalam satu kenyataan, tanpa memberi penjelasan lanjut.

Law, yang berpangkalan di London, adalah salah seorang daripada beberapa aktivis yang melarikan diri dari Hong Kong dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyusuli pengenalan Undang-Undang Keselamatan Negara yang menyebabkan sebilangan individu di Hong Kong dipenjara.

Beliau katakan bahawa beliau menerima visa dari Singapura untuk menghadiri acara tersebut dan berlepas dengan menaiki penerbangan dari San Francisco.

Tiada sebab diberikan atas penolakan tersebut, katanya, dan beliau menaiki pesawat pulang ke San Francisco pada Ahad selepas berada sekitar 14 jam di Singapura.

"Saya fikir keputusan untuk menafikan kemasukan saya bersifat politik, walaupun saya tidak pasti sama ada kuasa luar, seperti PRC, terlibat, secara langsung atau tidak langsung," katanya sambil, merujuk kepada China dengan akronim bagi nama rasminya, Republik China.

Hong Kong adalah wilayah China, tetapi mempunyai undang-undang dan peraturan sendiri.

Pemerintah pusat di Beijing mengambil tindakan keras menyusuli tunjuk perasaan anti-pemerintah besar-besaran pada 2019, di mana ia bertindak mengenakan Undang-Undang Keselamatan Negara ke atas Hong Kong pada tahun berikutnya.

Pada 2023, polis Hong Kong menawarkan ganjaran HK$1 juta (S$165,700) bagi sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan Law dan aktivis terpinggir yang lain kerana melanggar undang-undang tersebut.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita