Skip to main content

Singapura

SG tolak dakwaan lebihan dagangan dengan Amerika; MTI mohon penjelasan

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) pada Khamis (12 Mac) menyatakan negara ini mengalami defisit perdagangan dengan Amerika Syarikat, dan bukan lebihan perdagangan, selepas Washington melancarkan siasatan perdagangan terhadap lebihan kapasiti perindustrian dalam kalangan 16 rakan dagang utamanya.
Anggaran Waktu Membaca:
SG tolak dakwaan lebihan dagangan dengan Amerika; MTI mohon penjelasan
Sebuah kapal kontena meninggalkan terminal pelabuhan Pulau Brani di Singapura pada 27 Februari 2026. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Diterbitkan : 13 Mar 2026 11:09AM
SINGAPURA: Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) pada Khamis (12 Mac) menyatakan negara ini mengalami defisit perdagangan dengan Amerika Syarikat, dan bukan lebihan perdagangan, selepas Washington melancarkan siasatan perdagangan terhadap lebihan kapasiti perindustrian dalam kalangan 16 rakan dagang utamanya.

Singapura, bersama Taiwan, Vietnam, Thailand dan Malaysia, merupakan antara 16 ekonomi yang dinamakan dalam siasatan yang dilancarkan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer berkata pada Rabu bahawa siasatan terhadap amalan perdagangan tidak adil “Seksyen 301” itu boleh membawa kepada penguatkuasaan tarif baharu terhadap China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, Korea Selatan dan Mexico menjelang musim panas ini.

MTI menyatakan dalam satu kenyataan: “Dalam Notis Daftar Persekutuan Pejabat USTR, Singapura disebut sebagai mempunyai lebihan perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat bagi kedua-dua barangan dan perkhidmatan berjumlah AS$27 bilion (S$34.54 bilion) pada 2024.

“Sebaliknya, menurut data Biro Analisis Ekonomi Amerika Syarikat, Singapura mengalami defisit perdagangan dua hala bagi barangan sebanyak AS$1.7 bilion (S$2.17 bilion) dan defisit perdagangan perkhidmatan sebanyak AS$25.1 bilion (S$32.11 bilion) dengan Amerika Syarikat pada 2024, menjadikan jumlah defisit perdagangan dengan Amerika Syarikat sekitar AS$27 bilion (S$34.54 bilion).”

Menurut MTI, notis itu juga mencadangkan bahawa Singapura “terus mengembangkan kapasiti pengilangan meskipun berlaku penurunan pada kadar penghunian perindustrian".

“Hakikatnya, kadar penghunian ruang perindustrian Singapura adalah sangat baik pada sekitar 90 peratus dan kekal konsisten pada tahap itu. Tanah merupakan sumber yang terhad di Singapura dan jumlah tanah yang diperuntukkan bagi kegunaan perindustrian berkurangan dari semasa ke semasa disebabkan oleh keperluan penggunaan tanah lain,” tambah kementerian itu.

MTI menyatakan bahawa ia telah memberikan maklumat tersebut kepada USTR.

Ia juga akan berhubung dengan rakan sejawatannya di Amerika Syarikat untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai data perdagangan dan siasatan Seksyen 301 itu.

“Kami akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila ia tersedia,” menurut MTI.

Encik Greer sebelum ini memberitahu para wartawan bahawa siasatan itu akan “memberi tumpuan kepada ekonomi-ekonomi yang mempunyai bukti menunjukkan lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran dalam pelbagai sektor pengilangan, seperti melalui lebihan perdagangan berterusan yang besar atau kapasiti yang kurang digunakan atau tidak digunakan”.

USTR menyatakan dalam notis rasminya bahawa Singapura mempunyai lebihan kapasiti global dalam bidang semikonduktor walaupun mencatatkan defisit perdagangan dengan Amerika Syarikat, manakala Norway mempunyai lebihan kapasiti berdasarkan bukti eksport besar bahan api dan makanan laut.

Menurut data Biro Banci Amerika Syarikat yang dipetik MTI pada Februari, Amerika Syarikat mencatatkan lebihan perdagangan barangan sebanyak AS$3.6 bilion (S$4.61 bilion) dengan Singapura pada 2025, lebih tinggi berbanding lebihan AS$1.9 bilion (S$2.43 bilion) pada 2024.

Washington sedang berusaha untuk meningkatkan semula tekanan tarif selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan sebahagian besar program tarif Presiden Donald Trump bulan lalu. Encik Trump mengumumkan kadar tarif global sebanyak 10 peratus, yang kemudiannya dinaikkan kepada 15 peratus menyusuli keputusan mahkamah tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata bulan lalu bahawa Singapura berkemungkinan tertakluk kepada tarif baharu Amerika Syarikat sebanyak 15 peratus itu.

Ekonomi Singapura dijangka berkembang antara dua peratus hingga empat peratus tahun ini, meningkat berbanding ramalan sebelumnya antara satu peratus hingga tiga peratus.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita