Skip to main content

Singapura

SG tingkatkan tahap keselamatan susuli konflik Israel-Iran: Shanmugam

Singapura meningkatkan tahap keselamatannya berikutan konflik Israel-Iran, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Sabtu (28 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jun 2025 06:46AM Dikemas Kini : 29 Jun 2025 09:02PM
SINGAPURA: Singapura meningkatkan tahap keselamatannya berikutan konflik Israel-Iran, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Sabtu (28 Jun).

Bercakap kepada Lianhe Zaobao di luar acara kemasyarakatan di Chong Pang, beliau berkata walaupun terdapat gencatan senjata, "kita tidak tahu dengan tepat apa yang akan berlaku selepas ini".

"Berikutan (situasi) di sana, anda boleh menjangkakan bahawa orang di rantau ini, atau malah yang lain, daripada pertubuhan pelampau, mungkin mahu menyampaikan mesej terhadap aset Israel, Amerika, atau Barat yang lain, dan juga mungkin terdapat serangan daripada pelampau kanan terhadap aset Muslim," tambahnya.

Singapura meningkatkan tahap keselamatannya selepas serangan Israel ke atas Iran serta serangan balas yang menyusul, dengan polis dan agensi lain meningkatkan rondaan dan pemeriksaan, kata Encik Shanmugam.

"Singapura, seperti yang saya pernah katakan berkali-kali, jika kita diserang, anda akan mendapat liputan utama antarabangsa.

"Jadi di kedua-dua pihak – pelampau kanan, menyerang Muslim, atau wakil negara Muslim termasuk Iran, adalah satu kemungkinan; dan begitu juga, anda boleh mengalami serangan terhadap aset Barat – Amerika, Eropah, Israel."

Beliau berkata Singapura sedang menjalankan usaha berdasarkan pelbagai senario kerana anda "tidak boleh benar-benar pasti".

Keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dan pemerintah cuba meningkatkan kesedaran melalui program SGSecure, tambah menteri tersebut.

"Kita telah mencuba selama bertahun-tahun, ia naik dan turun – kerana ia selamat, orang meninggalkan barang mereka merata-rata," kata Encik Shanmugam.

"Saya telah meminta agensi keselamatan untuk mencuba apa yang saya panggil 'ujian tidak berjadual' dan tinggalkan barang di tempat awam, lihat berapa ramai orang sebenarnya menyedarinya; menyedarinya bermaksud mereka perasan dan memaklumkan kepada agensi. Saya fikir keputusan menunjukkan bahawa kesedaran tidak begitu tinggi."

Apabila ditanya sama ada terdapat "lebih banyak aktiviti mencurigakan atau aktiviti pelampau" yang dikesan, Encik Shanmugam berkata: "Belum ada yang kami kesan di sini. Tetapi mereka hanya perlu berjaya sekali sahaja."

THAILAND HARAMKAN SEMULA GANJA

Encik Shanmugam juga bercakap mengenai langkah Thailand untuk mengharamkan semula ganja.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Thailand mengeluarkan arahan melarang penjualan ganja bagi kegunaan rekreasi dan mewajibkan sebarang pembelian runcit untuk memerlukan preskripsi doktor.

Singapura sedang memantau kemungkinan aliran keluar ke negara ini, kata Encik Shanmugam.

"Hubungan antara dadah dan jenayah, dan pengganasan, juga perlu diberi perhatian. Banyak isu berbeza. Kita cuba mengekalkan keterbukaan dan keterhubungan kita, dan persekitaran mesra perniagaan kita.

"Agensi keselamatan kita telah meneliti isu ini dan meningkatkan postur. Masih terlalu awal untuk mengatakan apa yang akan berlaku, tetapi kita perlu lebih berhati-hati," tambahnya.

Apabila Thailand tidak lagi menjadikan ganja satu kesalahan jenayah beberapa tahun lalu, beliau berkata ada pihak yang "lebih liberal" yang bertanya bila Singapura akan berubah.

Pemerintah Singapura tidak membuat keputusan mengenai perkara sedemikian berdasarkan apa yang dilakukan negara lain, tambah beliau.

"Kita meneliti secara mendalam, kita melihat kepada sains, kita melihat kepada kesan sosial, dan kesan sebenar dan kita mentadbir pemerintah Singapura serta dasar-dasarnya demi kepentingan terbaik rakyat Singapura.

"Saya benar-benar yakin, Kabinet benar-benar yakin bahawa dasar yang betul adalah untuk bertegas terhadap dadah, dan anda boleh lihat, mereka yang meminta kelonggaran, sengaja menutup mata terhadap apa yang sedang berlaku di seluruh dunia dan kemudaratan yang amat besar," kata menteri tersebut.

Beliau merujuk kepada satu insiden di lapangan terbang Mosko di mana seorang lelaki, yang dilaporkan berada dibawah pengaruh dadah, mengangkat seorang kanak-kanak berusia 18 bulan dan menghempasnya ke lantai. Kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal.

Bagi negara yang tidak menjadikan ganja sebagai kesalahan jenayah, termasuk Thailand sebelum ini, terdapat "kanak-kanak kecil yang khayal (kerana dadah)", katanya.

"Mengapa kita mahukannya? Dan 85 peratus daripada rakyat kita menyokong pendirian tegas yang kita ambil – kekalkannya sebagai jenayah, tiada penggubalan undang-undang untuk tidak menjadikannya kesalahan jenayah, malah mereka juga menyokong hukumannya," tambah beliau.

Pemerintah Singapura tidak boleh "berbolak-balik" mengenai undang-undangnya, kata beliau.

"Negara yang berbeza mempunyai dasar masing-masing. Kita bekerja demi kepentingan terbaik rakyat Singapura, dan ia adalah dasar yang betul untuk mengekalkannya sebagai jenayah, tidak melonggarkan pendirian kita, dan itu kekal sebagai dasar yang betul."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita