Skip to main content

Singapura

SG timbang undangan Amerika sertai Lembaga Keamanan

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Jan 2026 11:53AM Dikemas Kini : 26 Jan 2026 04:30PM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura sudah menerima undangan Amerika Syarikat untuk menyertai "Lembaga Keamanan" Presiden Donald Trump dan sedang menilainya buat masa ini.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (20 Jan).

Menurut draf piagam bagi "Lembaga Keamanan" tersebut, pemerintah Amerika Syarikat meminta pelbagai pemimpin dunia, termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney, untuk menganggotai lembaga itu. Ia akan dipengerusikan oleh Encik Trump.

Negara anggota - yang diwakili oleh ketua negara masing-masing - dibenarkan menyertai lembaga tersebut selama tiga tahun, manakala kerusi tetap hanya akan diberikan kepada sesebuah negara selepas membuat sumbangan sebanyak AS$1 bilion (S$1.3 bilion).
Lembaga tersebut akan "mengadakan mesyuarat pengundian sekurang-kurangnya setiap tahun", dan "setiap negara anggota mempunyai satu undi". Walaupun semua keputusan memerlukan majoriti undi daripada anggota yang hadir, ia juga "tertakluk kepada kelulusan pengerusi (Trump), yang juga boleh memberikan undi pemutus jika gagal mencapai kata sepakat".

Ahli lembaga dari pihak Amerika Syarikat akan merangkumi Setiausaha Negara Marco Rubio, Utusan Khas Steve Witkoff dan menantu Encik Trump, Jared Kushner.

Pada asalnya, lembaga itu dirangka untuk memantau pembinaan semula Gaza, tetapi piagamnya tidak mengehadkan peranannya kepada wilayah Palestin yang diduduki itu sahaja. Ia bertujuan mempromosikan kestabilan dan keamanan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat konflik.

REAKSI ANTARABANGSA

Reaksi awal daripada sekutu-sekutu utama seperti Perancis dan Kanada dilihat hambar. Menteri Luar Perancis berkata negaranya tidak boleh menerima undangan itu kerana ia melangkaui skop Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kanada pula menyatakan bahawa ia tidak akan membuat sumbangan untuk menjadi ahli. Sebaliknya, Raja Maghribi sudah menerima undangan Encik Trump untuk menjadi ahli pengasas, manakala Jerman sedang meneliti sumbangan yang boleh diberikan tanpa merasa bimbang lembaga itu akan menggugat peranan PBB.

Seorang profesor ehwal antarabangsa memberitahu AFP bahawa tawaran keahlian tetap dengan bayaran AS$1 bilion menunjukkan Encik Trump cuba mengubahnya menjadi satu alternatif kepada Majlis Keselamatan PBB, di mana Encik Trump seorang sahaja yang memegang kuasa veto.

SINGAPURA "TIDAK MEMOHON"

Pada Oktober 2025, Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menyatakan bahawa Singapura tidak memohon untuk menjadi sebahagian daripada "Lembaga Keamanan".
Beliau menekankan bahawa pendekatan Singapura sentiasa "lebih bertindak, kurang berkata-kata" dan bersedia membantu secara membina tanpa perlu meminta tempat dalam mana-mana lembaga. Beliau menambah bahawa Singapura akan terus mempertingkatkan kerjasama yang sudah terjalin sejak sekian lama dengan Penguasa Palestin.

Menurut Dr Balakrishnan, pendekatan Singapura yang "lebih tenang, berhemah, di balik tabir dan menghormati pihak lain" adalah lebih sesuai bagi negara ini dalam menangani isu-isu antarabangsa yang sensitif.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita