SG timbang implikasi lebih luas sebelum berusaha kurangkan tarif Amerika: Gan Kim Yong
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata keutamaan segera pemerintah adalah membantu perniagaan dan pekerja menyesuaikan diri dengan tarif baharu Amerika Syarikat. (Gambar: CNA/YouTube)
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata pemerintah akan terus berunding dengan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), namun sebarang tindakan perlu dipertimbangkan dengan teliti.
Encik Gan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Anggota Parlimen mengenai sama ada Singapura boleh merundingkan kadar tarif lebih rendah dengan Amerika.
Amerika mengenakan tarif antara 10 peratus dengan 12.5 peratus ke atas 60 ekonomi yang termasuk dalam siasatannya berhubung buruh paksa.
Singapura dikenakan kadar tertinggi 12.5 peratus kerana tidak mempunyai undang-undang yang melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa atau Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Amerika yang mengandungi komitmen untuk memperkenalkan larangan sedemikian.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), berkata sekitar satu pertiga eksport domestik Singapura ke Amerika terjejas oleh tarif baharu itu.
Eksport tersebut bernilai sekitar S$9.5 bilion setahun dan termasuk alat optik serta produk kimia.
Namun, tarif tersebut tidak dikenakan ke atas tenaga dan produk tenaga serta beberapa produk elektronik dan aeroangkasa.
Produk yang sudah dikenakan tarif atau siasatan berasingan Amerika, seperti produk farmaseutikal dan semikonduktor, turut dikecualikan.
Berbanding tarif Amerika sebanyak 10 peratus sebelum ini yang tamat bulan lalu, langkah baharu tersebut dijangka meningkatkan kadar tarif efektif keseluruhan Singapura sebanyak 0.7 mata peratusan.
SG TIADA KAITAN DENGAN PERDAGANGAN BARANGAN HASIL BURUH PAKSA
Encik Gan berkata Singapura sudah berhubung secara aktif dengan USTR di peringkat politik dan pegawai sepanjang siasatan dijalankan.
Ini termasuk semasa lawatannya ke Washington pada April lalu.
"Kami menjelaskan bahawa tiada bukti Singapura terlibat dalam perdagangan barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dasar Singapura tidak membebankan perdagangan Amerika, sambil merujuk kepada lebihan perdagangan yang dinikmati Amerika dengan Singapura.
Menurut laman USTR, Amerika mencatat lebihan perdagangan barangan sebanyak US$3.6 bilion (S$4.6 bilion) dengan Singapura pada 2025.
Bagi perdagangan perkhidmatan, Amerika mencatat lebihan US$25.1 bilion (S$32.2 bilion) pada 2024.
KOS PEMATUHAN BOLEH MENINGKAT
Encik Gan berkata sebagai hab perdagangan utama, sebarang larangan import yang dikenakan Singapura boleh membawa implikasi besar.
Perdagangan barangan dan perkhidmatan Singapura bernilai sekitar S$2.5 trilion setahun, termasuk S$1.4 trilion dalam perdagangan barangan.
Menurutnya, perniagaan mungkin berdepan kos pematuhan yang tinggi bagi menjalankan usaha wajar terhadap rantaian bekalan, menyediakan dokumentasi dan menjalani siasatan.
Ini khususnya apabila pengeluaran dilakukan di luar Singapura dan di luar bidang kuasa negara.
Langkah sedemikian juga boleh menjejas hubungan perdagangan Singapura dengan rakan-rakan lain.
Singapura turut perlu menilai dengan teliti perkara yang mungkin terkandung dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Amerika.
Berdasarkan perjanjian yang dimeterai Amerika dengan ekonomi lain, ia mungkin melibatkan komitmen selain larangan import, termasuk kawalan eksport atau sekatan berkaitan negara lain.
"Implikasi lebih luas ini perlu dinilai dengan teliti sebelum Singapura memutuskan sebarang tindakan," kata Encik Gan.
"Keutamaan segera kami adalah membantu perniagaan dan pekerja menyesuaikan diri."
BANTU PERNIAGAAN, PEKERJA SESUAIKAN DIRI
Pemerintah sedang berhubung dengan masyarakat perniagaan untuk memahami keprihatinan mereka dan membantu majikan serta pekerja menyesuaikan diri dengan tarif baharu.
Perbincangan akan diteruskan menerusi Pasukan Bertindak bagi Ketahanan Ekonomi Singapura (SERT).
Antara bantuan sedia ada ialah Geran Penyesuaian Perniagaan yang dilancarkan pada Oktober 2025 bagi membantu perusahaan yang layak memperkukuh operasi dan daya tahan rantaian bekalan.
Pemerintah turut meningkatkan tahap maksimum sokongan geran daripada 50 peratus kepada 70 peratus bagi skim berkaitan pengantarabangsaan,termasuk Geran Bantuan Kesediaan Pasaran.
Bagi membantu perniagaan menangani kos dan ketidaktentuan lebih tinggi, pemerintah baru-baru ini memperkenalkan geran tunai sekali sahaja S$500 bagi setiap pekerja Singapura di perusahaan kecil dan sederhana (SME), sehingga S$2,500 bagi setiap syarikat.
Bagi pekerja pula, pemerintah dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) memperluas khidmat kerjaya.
Kementerian Tenaga Manusia juga melancarkan Program Latihan Industri Siswazah bagi membantu graduan baharu meraih pengalaman berkaitan industri dan beralih kepada pekerjaan sepenuh masa.
Encik Gan berkata pemerintah akan terus bekerjasama dengan perniagaan dan pekerja serta menyediakan sokongan bersasar jika diperlukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.