SG tidak terjejas dengan langkah Saudi larang kanak-kanak bawah 12 tahun tunai haji
SINGAPURA: Bakal jemaah haji negara ini tidak terjejas oleh peraturan baharu kerajaan Arab Saudi yang melarang kanak-kanak berumur bawah 12 tahun menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, larangan tersebut bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko bahaya akibat kesesakan luar biasa yang berlaku setiap tahun sepanjang musim haji.
TIADA BAKAL JEMAAH SG DI BAWAH USIA 12 TAHUN
Dalam satu jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp, jurucakap MUIS menyatakan, "Tiada individu di bawah umur 12 tahun dalam kalangan jemaah yang telah menerima tawaran kami untuk Haj tahun ini."
Agensi pelancongan Haji (GSA) yang ditemui berkata bahawa mereka memahami rasional di sebalik langkah tersebut, terutama dengan kesesakan luar biasa dan cuaca panas yang semakin meningkat saban tahun.
"Untuk Hahnemann Travel tahun ini, Alhamdulillah semuanya atas 12 tahun, jadi dengan itu, Alhamdulillah, berita ini tidak begitu menjejas GSA kami," kata Pengurus Hahnemann Travel & Tours, Ustaz Muhammad Ahmad kepada wartawan, Nazirah Jamzuri.

Beliau menambah bahawa pihaknya memahami keputusan Arab Saudi untuk mengehadkan kehadiran kanak-kanak demi keselamatan mereka.
"Sudah pasti kita memahami kenapa kerajaan Arab Saudi membuat keputusan ini kerana kita sudah melihat keadaan tahun lalu. Dengan jumlah jemaah melebihi dua juta orang, langkah ini diambil untuk menjaga keadaan dan memastikan kanak-kanak tidak mudah jatuh sakit," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau turut mengutarakan pandangan bahawa usaha kawalan orang ramai boleh ditingkatkan bagi menguruskan kesesakan dengan lebih baik.
"Sebaliknya, jika ini adalah faktor utama, ramai juga boleh bertanya mengapa kerajaan Arab Saudi tidak memastikan situasi atau 'crowd control' diperbaiki di sana," tambahnya.
LANGKAH POSITIF DEMI KESELAMATAN

Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai keputusan yang dibuat demi keselamatan kanak-kanak.
"Kita dapat melihat kebaikannya. Tempoh haji sangat padat, menyebabkan jumlah jemaah yang datang sangat ramai. Dalam keadaan seperti ini, keselamatan kanak-kanak mungkin terjejas," jelas Ustazah Juyda.
Beliau turut menekankan faktor cuaca yang semakin panas sebagai satu lagi sebab larangan ini wajar dipertimbangkan.
"Seperti yang kita ketahui, cuaca di Arab Saudi kebelakangan ini. Tahun ini dan tahun lepas, terlalu panas. Jadi ada baiknya larangan ini kerana kasihan sekiranya kanak-kanak dibenarkan pergi dalam keadaan yang sesak, panas, dan ibadah haji itu sendiri memerlukan kecergasan tinggi," tambahnya.
Menurutnya, fokus utama mereka adalah kepada jemaah yang sudah baligh, berakal, dan berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji, selaras dengan tuntutan rukun Islam kelima.
"Sejauh ini, tidak ada pun satu pakej yang dibenarkan ataupun diluluskan yang perlu kepada harga kanak-kanak kerana kami memang akur dan mengetahui secara amnya bahawa kanak-kanak tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka bersama untuk menunaikan haji pada masa hadapan.
"Pihak MUIS hanya membenarkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun untuk berdaftar bersama ibu bapa mereka, tetapi pendaftaran ini tidak semestinya memastikan bahawa mereka akan mendapat kuota tersebut," jelasnya.
Menurutnya, ibu bapa masih boleh mendaftarkan anak-anak mereka lebih awal kerana tempoh menunggu untuk mendapatkan kuota haji agak panjang.
"Jadi sebenarnya, kami mengalu-alukan jika ibu bapa ingin mendaftarkan anak-anak mereka sekarang. Tempoh menunggu boleh mengambil masa 10 hingga 12 tahun. Jadi, apabila tiba masanya nanti, anak-anak yang didaftarkan sejak kecil itu sudah pun mencapai usia dewasa dan kuota tersebut akan sah untuk mereka," tambahnya.
KEUTAMAAN KEPADA JEMAAH KALI PERTAMA DITERIMA BAIK GSA

Kementerian tersebut juga mengumumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama pada musim Haji 2025, satu langkah yang diterima baik oleh syarikat agensi pelancongan Haji (GSA).
Ustaz Muhammad Ahmad, Pengurus Hahnemann Travel & Tours menyifatkannya sebagai wajar untuk memastikan mereka yang belum melaksanakan rukun Islam kelima dapat menunaikan haji.
"Kami sangat-sangat menerima berita ini kerana ia adalah utama untuk mereka yang pertama kali melakukan ibadat haji untuk memenuhkan rukun kelima Islam. Jadi, Alhamdulillah, dengan peraturan ini, ia dapat memastikan orang yang belum melunaskan ibadah haji dapat lakukan ibadah haji," katanya.
Ustazah Juyda turut mengalu-alukan pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang tepat.
"Ibadah haji ini merupakan tuntutan agama kita. Maka tuntutan ini adalah merupakan rukun Islam yang kelima. Maka sebaik-baiknya bagi mereka yang mampu dan bagi mereka yang sudah mendapatkan tempat untuk menunaikan ibadah haji, sebaik-baiknya adalah mereka yang pertama kali kerana ini merupakan kewajipan mereka.
"Saya tidak mengatakan bahawasanya untuk mereka yang sudah dua atau tiga kali pergi haji tidak perlu pergi haji, tetapi keutamaan harus diberikan kepada mereka yang pertama kali kerana keutamaan ini merupakan wajib bagi orang tersebut. Jadi, saya memang mengalu-alukan keutamaan seperti ini diadakan," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.