Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG tidak mungkin jadi sasaran tarif langsung Amerika, kata Dr Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:
SG tidak mungkin jadi sasaran tarif langsung Amerika, kata Dr Balakrishnan

Kapal kargo kelihatan berlabuh di terminal pelabuhan Pasir Panjang. (Gambar: Roslan RAHMAN / AFP)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 08:03PM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 08:22PM
SINGAPURA: Amerika Syarikat tidak mungkin akan mengenakan tarif langsung ke atas barangan dari Singapura, tetapi Singapura masih akan merasakan kesan tidak langsung daripada tarif tersebut, kata Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan di Parlimen pada Selasa (4 Feb) mengenai kesan tarif Amerika ke atas Kanada, Mexico dan China.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif tersebut pada Sabtu lalu, tetapi pada Isnin (3 Feb) bersetuju untuk menangguhnya selama 30 hari untuk Kanada dan Mexico sebagai pertukaran untuk konsesi mengenai penguatkuasaan sempadan dan jenayah. Sementara itu, China telah bertindak balas dengan mengenakan tarif 10 peratus hingga 15 peratus ke atas beberapa barangan Amerika. Ia akan berkuat kuasa pada 10 Feb.

Memandang ke hadapan, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa tarif baharu itu adalah satu realiti yang perlu dihadapi.

"Saya akan mengambil sedikit risiko dan mengatakan bahawa saya tidak menjangkakan kami berada dalam senarai negara yang terjejas daripada tarif langsung itu kerana ... Amerika Syarikat mempunyai lebihan imbangan perdagangan dengan kita," kata Dr Balakrishnan.

Lebihan perdagangan bermakna jumlah barangan dan perkhidmatan yang diimport Singapura dari Amerika melebihi jumlah barangan dan perkhidmatan yang dieksport Singapura ke Amerika.

Tetapi Singapura masih akan terjejas oleh tarif ke atas negara lain yang menjejaskan rantaian bekalan global dan perdagangan dunia kerana ekonomi kita kecil dan terbuka, dengan perdagangan membentuk lebih daripada tiga kali ganda Hasil Dalam Negeri Kasar Singapura, kata Dr Balakrishnan.

HUBUNGAN AMERIKA-SINGAPURA

Dr Balakrishnan berkata Singapura dan Amerika menikmati perkongsian substantif, pelbagai aspek dan sejak sekian lama dipupuk, malah sejak 60 tahun lalu merentasi kedua-dua pentadbiran Demokcat dan Republican.

Semasa penggal mantan Presiden Joe Biden, Singapura dan Amerika menjalin kerjasama dalam bidang-bidang seperti angkasa lepas, teknologi kritikal dan baharu serta tenaga nuklear.

Tahun lalu, Singapura dan Amerika turut meraikan 20 tahun perjanjian perdagangan bebas.

"Amerika ialah rakan dagang utama kami dalam perkhidmatan, rakan dagang kedua terbesar kami dalam barangan, dan pelabur asing terbesar kami," kata Dr Balakrishnan, sambil menambah bahawa Singapura adalah pelabur Asia ketiga terbesar di Amerika.

Beliau berkata Singapura bekerjasama dengan baik dengan Presiden Trump semasa penggal pertamanya dan berharap dapat bekerjasama dengannya untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan