Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG tidak boleh biarkan negara lain tentukan tindakannya, tegas Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di tengah-tengah keadaan global yang semakin tidak menentu dan mencabar berbanding mana-mana tempoh sejak kemerdekaannya, Singapura perlu terus yakin bahawa banyak negara besar akan berurusan dengan rantau ini untuk mencapai keseimbangan kuasa, tegas Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.

Namun sebagai sebuah negara kecil, Singapura juga mesti mengutamakan kepentingannya dan tidak membiarkan negara-negara lain - baik kecil mahupun besar, walau rapat sekalipun - menentukan apa yang patut dilakukan oleh negara ini, tambah beliau.

"Dasar-dasar kita, sama ada dasar luar negara mahupun dasar dalam negeri, mestilah kita sendiri yang membuat keputusan. Bukan orang lain."

Semasa menyampaikan ucapannya di Majlis Jamuan Tahun Baru Cina anjuran Hokkien Huay Kuan pada Ahad (5 Feb), Encik Shanmugam turut menggariskan pendekatan Singapura untuk terus bertakat dalam persekitaran antarabangsa yang "rumit dan sulit" merangkumi pencerobohan Rusia di Ukraine; ancaman konflik China- Amerika Syarikat (AS) di Asia Pasifik; dan dasar fahaman perlindungan yang meluas.

Banyak daripada cabaran-cabaran yang rumit dan sulit ini timbul pada 2022 dan keadaan tahun ini juga tidak begitu baik, kata beliau, sambil merujuk kepada konflik terkini AS-China di mana pentadbiran Presiden Joe Biden menembak jatuh apa yang dianggap oleh Beijing setakat sebuah "kapal udara".

"Kita baru melihat bagaimana sebuah belon - yang pihak China menganggapnya sebagai sebuah belon cuaca, sedangkan pihak AS pula menyifatkannya sebagai belon perisikan, yang ditembak jatuh oleh AS dan dengan itu mengeruhkan semula hubungan AS dan China.

Konfrontasi antara kedua-dua negara itu boleh menimbulkan kesan global yang 'sangat memudaratkan', sama juga seperti kesan "dahsyat dan tidak dapat diramalkan" seandainya Rusia menggunakan senjata yang lebih berbahaya, kata Encik Shanmugam.

Perdagangan, juga, dijadikan sebagai "senjata", tambah beliau.

"Semakin banyak negara kini mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan syarikat-syarikat mereka daripada mengalami kerugian. Siapa yang mahu menanggung rugi? Negara-negara kecil, seperti Singapura, yang membentuk sebahagian daripada rantaian bekalan. Kita yang akan menanggung padahnya jika ia berterusan."

Dari sudut geopolitik pula, Singapura berpendapat bahawa adalah lebih selamat untuk sebuah negara kecil mempunyai ramai pemain di rantau ini dan bukan hanya satu kuasa dominan, kata Encik Shanmugam.

"Sesetengah negara besar di rantau ini menyatakan hanya negara-negara Asia saja yang sepatutnya terlibat di Asia," katanya.

“Kita adalah sebuah negara kecil, pandangan kita berbeza. Negara-negara besar mungkin tidak menyukai pandangan kita, tetapi kita berharap agar kita semua boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.”
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan