Skip to main content

Singapura

SG tidak akan memihak dalam mana-mana persaingan geopolitik, tegas Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:
SG tidak akan memihak dalam mana-mana persaingan geopolitik, tegas Chan Chun Sing

Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing berucap di sesi pleno Dialog Shangri-La IISS pada 1 Jun 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 01 Jun 2025 04:44PM Dikemas Kini : 01 Jun 2025 09:50PM
SINGAPURA: Jika Singapura perlu memilih pihak, ia akan memilih dari segi prinsip yang memperjuangkan satu aturan ekonomi dan keselamatan global yang bersepadu, berasaskan undang-undang dan kedaulatan, kata Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing pada Ahad (1 Jun).

Dengan ini, "negara-negara, tidak kira besar atau kecil, ada peluang yang adil untuk bersaing dan menambah baik kehidupan rakyat mereka melalui perdagangan dan bukan peperangan", kata Encik Chan semasa sesi pleno keenam dan terakhir Dialog Shangri-La, iaitu sidang puncak pertahanan utama Asia.

Dua lagi menteri pertahanan - Billy Joseph dari Papua New Guinea dan Pal Jonson dari Sweden - juga terlibat dalam sesi berkenaan, yang bertajuk "Mempertingkatkan kerjasama keselamatan Demi Kestabilan Asia-Pasifik".

Dalam ucapannya, Encik Chan menyifatkan usaha Asia Tenggara mendampingi Amerika Syarikat, China dan negara-negara lain sebagai "keperluan geostrategik".

"Bagi Singapura, kami percaya bahawa dengan memilih sesuatu pihak, tidak kira atas dasar isu atau konteks, ia boleh menyebabkan satu pihak menjadi tidak relevan; dan jika satu pihak dianggap tidak relevan, pastinya akan ada keperluan untuk menyebelahi salah satu pihak," kata Encik Chan, yang menghadiri Dialog Shangri-La pertamanya sebagai menteri pertahanan.

Beliau menambah: "Jika kita perlu memilih pihak, mudah-mudahan kita memilih dari segi prinsip - prinsip yang menegakkan aturan global di mana kita tidak bertindak melulu, di mana pihak yang berkuasa bertindak sesuka hati sementara pihak yang lemah terpaksa menderita."

Semua pemerintah mempunyai keupayaan dan tanggungjawab untuk menegakkan aturan ekonomi dan keselamatan global demi "kebaikan bersama".

Oleh itu, Singapura komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang sehaluan, dan menerusi "jaringan dua hala, berkumpulan, berbilang hala demi kebaikan bersama," kata Encik Chan.


MERUBAH SEJARAH

Semasa sesi pleno itu (1 Jun), Encik Chan ditanya sama ada memilih dari segi prinsip bererti tidak memilih sebarang pihak.

Menjawab pertanyaan tersebut, beliau berkata Singapura tidak menetapkan kedudukannya berdasarkan siapa pemain utama dalam sesuatu isu. "Sebaliknya, kami mengkaji setiap situasi dengan teliti sebelum memutuskan apakah prinsip yang dipertaruhkan."

Beliau menukil perang di Ukraine sebagai contoh, sambil berkata bahawa konflik itu melibatkan tahap kepentingan yang berbeza.

Ada yang bimbang kerana peperangan itu mengganggu rantaian bekalan global dan keterjaminan ekonomi, manakala bagi sesetengah pihak, isu terasnya ialah kedaulatan.

"Ini semua adalah kebimbangan yang sah. Tetapi jika saya boleh mencadangkan, urutan tertinggi kebimbangan bagi kita semua adalah prinsip bagaimana kita menjalankan hubungan antarabangsa," kata Encik Chan.

“Jika satu negara, sama ada besar atau kecil, boleh menceroboh negara lain atas dasar mereka mahu membetulkan kesilapan sejarah, maka saya fikir kita hidup dalam dunia yang sangat berbahaya.

"Dan pastinya untuk Singapura, kerana kita baru merdeka sejak 60 tahun lalu," kata menteri pertahanan itu.


Sekiranya percubaan untuk menulis semula sejarah ini berlaku, ia akan meninggalkan "ruang yang sangat kecil" untuk negara-negara kecil menjadi seperti yang mereka mahu, tambahnya.

Singapura berpegang pada prinsip-prinsip yang menyumbang kepada dan menyokong penakatan serta kejayaannya, dan apabila menilai isu-isu tertentu, ia akan menelitinya dengan "sangat berhati-hati" dari sudut ini, kata Encik Chan.

Beliau menarik perhatian bahawa Singapura ada kalanya mengambil pendirian yang tidak sejajar dengan kuasa-kuasa besar: "Ya, sudah tentu begitu."

"Pernah berlaku dalam sejarah di mana kuasa-kuasa besar menceroboh negara lain, negara yang lebih kecil, dan kami membantahnya," kata Encik Chan.

"Ada juga contoh di mana peraturan mengenai kebebasan pelayaran dilanggar, dan kami telah membantahnya."

Beliau juga berkata bahawa ada yang bertanya tentang rasa khuatir akan dihukum oleh kuasa-kuasa besar kerana tidak menyokong pendirian mereka.

"Sudah tentu, ada risiko. Tetapi ada risiko yang lebih besar apabila prinsip berkenaan tidak dipertahankan oleh negara, tidak kira besar mahupun kecil, kita hidup di dunia yang lebih berbahaya."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita