SG tidak akan biarkan masa depan pekerjaan, mata pencarian rakyat ditentukan secara kebetulan dalam peralihan AI: Tan See Leng
Di tengah-tengah gangguan yang disebabkan oleh kecerdasan buatan (AI), Singapura tidak akan membiarkan masa depan rakyatnya dari segi pekerjaan dan mata pencarian ditentukan secara kebetulan, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Rabu (6 Mei).
Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berucap semasa perbahasan parlimen berhubung peralihan AI dengan “pertumbuhan tanpa pengangguran” pada 6 Mei 2026. (Gambar: Mediacorp)
Sebaliknya, negara ini akan membentuk satu transformasi yang inklusif, berpandangan jauh dan “berteraskan tindakan nyata”, kata Dr Tan di parlimen.
Dr Tan berkata demikian semasa menjawab usulan berhubung peralihan AI dengan “pertumbuhan tanpa pengangguran”, yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng. Lebih 20 Anggota Parlimen (AP) membahaskan usulan tersebut selama dua hari.
Dr Tan berkata beliau menyokong usulan tersebut, yang menggesa parlimen untuk mengiktiraf kuasa transformatif AI; menekankan keperluan untuk memastikan pertumbuhan berasaskan AI berteraskan keadilan, daya tahan dan peluang untuk semua; memperkasa pekerja serta perniagaan untuk merebut peluang baharu bersama; serta mengesahkan kemajuan ekonomi yang inklusif.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan, tiada penunjuk berlakunya penggantian pekerjaan secara meluas akibat AI, dan bukti awal menunjukkan teknologi itu saling melengkapi, bukan menggantikan tenaga kerja di Singapura.
Menurut tinjauannya pada awal 2026, 6.2 peratus syarikat sudah mengurangkan jumlah pekerja ekoran penggunaan AI, manakala 8.5 peratus syarikat mengurangkan aktiviti pengambilan pekerjanya disebabkan oleh AI.
Dr Tan berkata Singapura pernah mengharungi gangguan besar pada masa lalu - termasuk Krisis Kewangan Asia, SARS dan COVID-19 - kerana pekerja, perniagaan dan pemerintah bekerjasama.
“Di banyak negara, AI menjadi seperti aktiviti tarik tali – pekerja di satu pihak, perniagaan di pihak lain. Kemajuan dipertikaikan, kepercayaan terjejas. Singapura tidak perlu melalui haluan tersebut,” kata Dr Tan.
Dr Tan mengakui kebimbangan bahawa AI boleh menghakis kemahiran dan pengalaman pekerja serta mengambil alih pekerjaan.
Walaupun sesetengah pekerjaan akan lenyap, AI juga mewujudkan peluang baharu, kata beliau.
AI juga mampu membolehkan bentuk-bentuk kerja fleksibel dan kerja-kerja lebih ringkas oleh pasukan kecil atau “solopreneur”, dan Dr Tan berkata satu kumpulan kerja tiga pihak berhubung pekerjaan warga emas akan meneroka cara untuk memperluas model kerja fleksibel.
Pemerintah juga akan mengkaji cadangan NTUC untuk menaikkan had pendapatan bagi Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture untuk memberi sokongan lebih baik kepada para individu dengan pendapatan lebih tinggi, kata menteri itu.
Skim tersebut menyediakan bantuan kewangan sementara sehingga S$6,000 serta sokongan pencarian kerja kepada mereka yang kehilangan pekerjaan secara tidak sukarela, dan kini mempunyai had gaji sebanyak S$5,000.
MENINGKATKAN KEMAHIRAN AI
Menjawab kebimbangan yang dibangkitkan para AP berhubung ketidaksamaan akibat AI, Dr Tan berkata keadilan, daya tahan dan peluang yang dikongsi dalam pertumbuhan berasaskan AI tidak akan berlaku secara semula jadi, kerana penggunaan teknologi itu tidak sekata merentas sektor, segmen pekerja dan saiz perniagaan.
“Tanpa usaha yang disengajakan, manfaat AI boleh dinikmati segelintir pihak manakala yang lain ketinggalan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Majlis Pekerjaan Tiga Pihak yang baharu akan memberi perhatian khusus kepada para pelajar dan pekerja muda yang bimbang tentang kesan AI terhadap pekerjaan peringkat permulaan, kata Dr Tan.
Beliau juga menarik perhatian bahawa institusi pengajian tinggi sedang mempertingkatkan kurikulum mereka seiring dengan perkembangan AI serta menawarkan kursus AI terpilih kepada alumni pada kadar diskaun.
Program kerja-belajar SkillsFuture juga membolehkan siswazah menggabungkan pembelajaran di bilik darjah dengan latihan di tempat kerja untuk membina kemahiran dan pengalaman yang dihargai majikan, kata beliau.
Dr Tan turut menekankan usaha lebih luas untuk mempersiapkan para pekerja menghadapi peralihan AI.
Akhir sekali, Dr Tan menyentuh cadangan NTUC untuk mewajibkan majikan bagi memaklumkan pihak berkuasa lebih awal berhubung pemberhentian pekerja, supaya gerakan buruh dapat memberikan sokongan proaktif kepada para pekerja yang terjejas.
Ketika ini, syarikat-syarikat dengan sekurang-kurangnya 10 pekerja perlu memaklumkan MOM mengenai sebarang pemberhentian dalam tempoh lima hari bekerja selepas pekerja dimaklumkan.
Denda pentadbiran sebanyak S$1,000 boleh dikenakan jika majikan gagal berbuat demikian.
Menjelang akhir ucapannya, Dr Tan memberi jaminan kepada para pekerja, siswazah baharu dan perniagaan bahawa pemerintah akan terus menyokong mereka dalam mengharungi peralihan AI.
“Kepada para pekerja yang tertanya-tanya di mana kedudukan anda, sentiasa ada tempat untuk anda. Pengalaman anda, pertimbangan anda lebih penting daripada sebelumnya, dan komitmen anda kepada negara ini, sokongan anda selama bertahun-tahun, selama beberapa dekad - kami amat menghargainya.
“Kepada siswazah muda, idea dan semangat anda lebih penting daripada sebelumnya. Semangat ingin tahu anda ... lebih penting daripada sebelumnya, dan kami menyokong anda.
“Bagi semua perniagaan, jika anda tidak pasti atau tidak tahu di mana untuk bermula, anda tidak perlu melakukannya secara bersendirian. Kami akan berjalan seiring dengan anda,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.