SG tidak akan berdiam diri sekalipun jalin hubungan ketenteraan dengan Israel: Dr Balakrishnan
Singapura tidak boleh terus berdiam diri, sekalipun Israel memainkan "peranan yang tidak ternilai" terhadap pertahanan Singapura, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Isnin (22 Sep).
Ketua Pembangkang Pritam Singh (kiri) dan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berucap di Parlimen pada 22 September 2025. (Gambar: CNA)
This audio is generated by an AI tool.
Menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Pritam Singh, Dr Balakrishnan mengakui sumbangan Israel pada tahun-tahun awal Singapura dan peranannya yang berterusan terhadap pertahanan Singapura. Tetapi ini tidak bermakna Singapura tidak boleh menyampaikan pendiriannya kepada Israel", kata Dr Balakrishnan.
"Apabila anda mempunyai perkongsian yang sama rata dan saling menghormati, sekalipun anda berbeza pendapat, anda mesti bersiap sedia untuk menyuarakannya, secara terbuka, secara terus terang dan membina," kata Dr Balakrishnan selanjutnya.
Sekalipun enggan memperincikan butiran operasi hubungan pertahanan Singapura dengan Israel, Dr Balakrishnan menambah: "Tetapi saya memberi anda jaminan bahawa kita tidak akan berdiam diri."
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh bertanya sama ada pemerintah telah menilai sama ada hubungan rapat dengan Israel, "terutamanya dalam bidang ketenteraan", akan terus menjadi kepentingan Singapura.
"Adakah pemerintah sudah menilai sama ada Singapura secara relatifnya terlalu melabur dalam hubungan Israel-Singapura dan adakah belum masanya untuk mempelbagaikan kepentingan negara kita?" tanya Encik Pritam.
Encik Pritam juga menarik perhatian kepada pengumuman Dr Balakrishnan mengenai sekatan, dan bertanya sama ada ini akan memberi kesan kepada hubungan ketenteraan Singapura dengan Israel.
Pada Isnin (22 Sep), Dr Balakrishnan berkata bahawa Singapura akan menimbang semula pendiriannya untuk mengiktiraf negara Palestin jika keadaan di Gaza terus bertambah teruk, atau jika Israel mengambil langkah selanjutnya untuk menolak huraian dua negara.
"Kami akan mengiktiraf Negara Palestin apabila ia mempunyai pemerintah yang berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud bersama dan secara mutlak menolak pengganasan," kata Dr Balakrishnan dalam Kenyataan Menteri yang disampaikan di Parlimen pada Isnin (22 Sep).
Ini selepas Britain, Kanada, Australia dan Portugal mengiktiraf Palestin, yang mencetuskan kemarahan Israel.
Negara-negara lain, termasuk Perancis, dijangka melakukan perkara yang sama semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.
Dr Balakrishnan juga berkata pada Isnin bahawa Singapura akan mengenakan sekatan yang bersasar ke atas pemimpin kumpulan peneroka berhaluan kanan yang radikal atau pertubuhan yang bertanggungjawab atas tindakan ganas terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat. Butirannya akan diumumkan kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.