SG tidak akan benarkan ucapan kebencian terhadap mana-mana kumpulan, tegas Shanmugam susuli serangan Pantai Bondi
Seorang lelaki memberi penghormatan di Bondi Pavilion kepada mangsa insiden tembakan di Pantai Bondi di Sydney, Australia pada 15 Dis 2025. (Gambar: Reuters/Hollie Adams)
"Bukan terhadap orang Islam, bukan terhadap orang Yahudi, bukan terhadap orang Kristian, bukan terhadap orang Hindu, bukan terhadap mana-mana kumpulan agama atau kaum.
"Kami juga tidak membenarkan sebarang ucapan berbaur kebencian terhadap mana-mana masyarakat yang ditakrifkan oleh sesuatu ciri, contohnya kumpulan yang mengambil pendekatan berbeza terhadap isu LGBT," kata Encik Shanmugam dalam satu catatan Facebook.
Encik Shanmugam menarik perhatian kepada insiden tembakan "dahsyat" di Pantai Bondi di Australia yang menyasarkan masyarakat Yahudi.
15 orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, manakala kira-kira 40 orang dibawa ke hospital.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan serangan tembakan beramai-ramai itu sebagai "satu perbuatan jahat semata-mata, satu perbuatan anti Yahudi, satu perbuatan keganasan di tanah air kita".
Penyerang terbabit menyasarkan satu perayaan tahunan yang menarik kehadiran lebih 1,000 orang ke pantai itu sebagai meraikan permulaan Hanukkah.
"Sudah dikatakan bahawa serangan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan mendadak dalam kejadian anti Yahudi di Australia," tulis Encik Shanmugam dalam catatannya, sambil menarik perhatian bahawa Majlis Eksekutif Yahudi Australia menyatakan dalam satu laporan yang diterbitkan pada awal bulan ini bahawa kejadian anti Yahudi kekal pada "tahap sangat tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini".
"Saya tidak tahu punca dan sebab sebenar serangan di Australia itu.
"Tetapi dalam kebanyakan kejadian lain, ucapan kebencian seringkali merupakan satu punca asas - ia mewujudkan persekitaran yang lebih terdedah kepada keganasan.
"Dan oleh itu kita mengambil pendirian di Singapura, bahawa kita tidak akan membenarkan ucapan kebencian (dan kelakuan lain) yang menyasarkan mana-mana kumpulan," katanya.
Encik Shanmugam yang juga menteri ehwal dalam negeri, berkata Singapura menguatkuasakan undang-undang tegas terhadap ucapan kebencian dan kelakuan yang menghasut keganasan atau kebencian.
“Sejarah menunjukkan kepada kita - melalui banyak insiden yang dikaitkan dengan kaum dan agama - bahawa ucapan kebencian mempunyai akibat yang nyata dan serius.
"Ucapan kebencian memburuk-burukkan satu kumpulan. Ia menunjukkan bahawa kumpulan yang dikenal pasti adalah punca masalah. Ia memperlekehkan kemanusiaan kumpulan itu, hingga akhirnya menjadikan keganasan terhadap mereka satu tindakan wajar," katanya.
Encik Shanmugam juga berkata beliau mengadakan dialog dengan masyarakat Yahudi pada bulan lalu di mana beliau berkata undang-undang dan norma Singapura mencerminkan "prinsip yang sangat mudah".
"Semua orang, tidak kira kaum atau agama, harus diberi layanan secara adil. Mereka harus dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka secara bebas. Mereka harus dilindungi daripada diskriminasi, gangguan dan keganasan.
"Semua rakyat Singapura dan semua masyarakat di Singapura, tidak kira apa pun perasaan kita terhadap Palestin atau Israel, harus berasa selamat dan dihormati di sini.
"Dan kami menyokong pendekatan kami dengan undang-undang kawalan senjata yang tegas dan hukuman pencegahan. Sebagai contoh, mereka yang melakukan pembunuhan akan berdepan hukuman mati," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.