SG, Thailand meterai MOU perkukuh kerjasama pembangunan sektor sosial
Singapura dan Thailand memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) pada Rabu (2 Sep) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan sektor sosial.
Perdana Menteri Lawrence Wong bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul semasa Mesyuarat Rahat Pemimpin pada 2 Sep 2026. (Gambar: MDDI)
Perjanjian itu ditandatangani Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand Nikorn Soemklang.
Di bawah MOU tersebut, kerjasama akan dijalankan dalam lima bidang, termasuk pertukaran kakitangan antara institusi berkaitan serta perkongsian pengetahuan dan penyelidikan mengenai dasar dan program kebajikan sosial.
Ia turut merangkumi lawatan ke institusi khidmat sosial serta usaha bersama membina keupayaan menerusi bengkel dan latihan.
Kedua-dua negara juga boleh bekerjasama dalam bidang lain yang dipersetujui bersama berkaitan wanita, keluarga serta kebajikan dan pembangunan sosial.
Bercakap dalam sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata kesalinghubungan yang ingin diperkukuh kedua-dua negara bergantung pada hubungan antara rakyat mereka.
"Kami akan terus menggalakkan hubungan lebih erat antara rakyat, termasuk dalam kalangan penjawat awam dan penyelidik," kata PM Wong.
Menurutnya, MOU itu juga membolehkan kedua-dua negara belajar daripada pengalaman masing-masing dan mencari penyelesaian baharu bersama.
RAHAT PEMIMPIN PERTAMA DALAM LEBIH SEDEKAD
Perjanjian itu dimeterai semasa Rahat Pemimpin Singapura-Thailand di Bangkok pada Rabu (2 Sep), yang pertama melibatkan PM Wong dan Encik Anutin.
Ia juga menandakan pemulihan semula wadah tersebut selepas terhenti lebih sedekad. Rahat Pemimpin sebelumnya diadakan di Singapura pada 2015.
PM Wong berkata beliau gembira kedua-dua negara menghidupkan semula wadah itu, yang membolehkan mereka menilai hubungan dua hala, membincangkan isu berkepentingan bersama dan menentukan hala tuju seterusnya.
Beliau menyifatkan hubungan dua hala sebagai berada dalam "keadaan yang sangat baik", disokong tahap kepercayaan dan hubungan erat antara pemimpin serta ikatan institusi yang kukuh.
Dalam pemukiman itu, kedua-dua pemimpin meneliti kemajuan dalam bidang yang dipersetujui untuk diperdalamkan semasa lawatan Encik Anutin ke Singapura pada November lalu.
Ia termasuk keselamatan makanan dan tenaga, ekonomi digital serta usaha menangani jenayah rentas negara.
Menurut PM Wong, perbincangan tertumpu kepada usaha menterjemahkan keutamaan bersama itu kepada "projek konkrit".
Dalam soal keselamatan makanan, PM Wong berkata Singapura dan Thailand sedang berusaha memperkukuh rantaian bekalan makanan dengan menggalakkan kerjasama lebih erat antara pengeluar dan pedagang makanan.
Pada November, kedua-dua negara memuktamadkan perjanjian perdagangan beras yang bertujuan memperkukuh keselamatan makanan Singapura sambil memperluas peluang eksport bagi petani Thailand.
Kerjasama lebih erat itu akan memanfaatkan kekuatan Thailand sebagai pengeluar makanan utama dan peranan Singapura sebagai hab logistik dan perdagangan.
Kedua-dua negara juga sedang berusaha meningkatkan daya tahan tenaga menerusi inisiatif seperti Grid Tenaga ASEAN dan kerjasama dalam kredit karbon.
Teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI), turut dibincangkan.
PM Wong berkata kedua-dua negara melabur dalam AI dan sedang meneroka cara untuk menggunakan teknologi itu secara lebih meluas dalam ekonomi masing-masing.
Beliau mengenal pasti sektor perkilangan, penjagaan kesihatan dan pelancongan sebagai bidang yang boleh menyaksikan kerjasama dalam penggunaan praktikal AI.
Kedua-dua pihak juga boleh berkongsi pengalaman mengenai penggunaan AI secara selamat dan bertanggungjawab sambil menggalakkan inovasi dan penerimaannya.
PERKUKUH KETERHUBUNGAN
Singapura dan Thailand turut membincangkan usaha memperkukuh keterhubungan fizikal dan digital.
PM Wong berkata Singapura boleh menjadi "rakan semula jadi" dalam rancangan Thailand untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan logistik serantau, termasuk dengan memanfaatkan keupayaan syarikat Singapura seperti pengendali pelabuhan PSA.
Dalam keterhubungan digital, Singapura dan Thailand menjadi perintis hubungan PromptPay-PayNow pada 2021, yang merupakan hubungan pertama di dunia antara dua sistem pembayaran masa nyata nasional.
Menurut PM Wong, langkah seterusnya adalah menghubungkan lebih banyak negara menerusi rangka kerja pelbagai hala bersama.
Kedua-dua pihak juga akan mengenal pasti peluang baharu bagi syarikat untuk bekerjasama dalam teknologi kewangan dan ekonomi digital yang lebih luas.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa.
PM Wong menyifatkan Singapura dan Thailand sebagai rakan sehaluan yang berkongsi kepentingan dalam sebuah "ASEAN yang kukuh dan bersatu".
Singapura akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2027, disusuli Thailand pada 2028.
Menurut PM Wong, jawatan pengerusi silih berganti itu menyediakan "peluang unik" bagi kedua-dua negara bekerjasama dalam inisiatif yang memerlukan usaha berterusan selama beberapa tahun.
Beliau dan Encik Anutin bersetuju supaya pasukan masing-masing membangunkan agenda berbilang tahun bagi memastikan kesinambungan dan momentum daripada satu tempoh jawatan pengerusi ASEAN kepada yang seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.