Skip to main content

Singapura

SG tetap berdaya tahan meski mungkin hilang kelebihan daya saing susuli tarif 15% Amerika

Tarif menyeluruh baharu Amerika Syarikat sebanyak 15 peratus ke atas import mungkin mengurangkan kelebihan Singapura berbanding negara-negara serantau, namun penganalisis berkata pada Isnin (23 Feb) bahawa negara ini masih berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi perubahan tersebut.
Anggaran Waktu Membaca:
SG tetap berdaya tahan meski mungkin hilang kelebihan daya saing susuli tarif 15% Amerika
Daya saing eksport Singapura boleh terjejas akibat tarif baharu 15 peratus Amerika Syarikat, menurut seorang penganalisis. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
SINGAPURA: Tarif menyeluruh baharu Amerika Syarikat sebanyak 15 peratus ke atas import mungkin mengurangkan kelebihan Singapura berbanding negara-negara serantau, namun penganalisis berkata pada Isnin (23 Feb) bahawa negara ini masih berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi perubahan tersebut.

“Memandangkan tarif dikenakan secara meluas, Singapura kehilangan sedikit kelebihan dari segi daya saingnya kerana medan persaingan kini berada pada tahap yang sama iaitu 15 peratus,” kata Cik Raisah Rasid, pakar strategi pasaran global di JPMorgan Asset Management.

Encik Barnabas Gan, ketua ekonomi di RHB, turut berkongsi pandangan yang sama dan berkata bahawa “medan persaingan yang disamaratakan” itu boleh menghakis sebahagian daripada daya saing eksport Singapura.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan kadar tarif baharu itu pada hujung minggu lalu, namun butiran berhubung pelaksanaannya masih belum didedahkan.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Ahad berkata Singapura sedang mendapatkan penjelasan daripada Washington berhubung tarif tersebut, dan kadar 15 peratus itu berkemungkinan dikenakan ke atas Singapura.
Sebelum ini, Singapura tertakluk kepada cukai asas sebanyak 10 peratus, manakala beberapa negara lain dikenakan tarif balasan yang lebih tinggi.

Walaupun kadar tersebut meningkat, beban tarif efektif Singapura kekal paling rendah di rantau ini dengan jurang yang ketara, menurut ahli ekonomi Maybank Securities Brian Lee.

Beliau berkata Singapura berkemungkinan menyaksikan peningkatan 1.8 mata peratusan dalam tarif Amerika Syarikat kepada sekitar 6.9 peratus secara efektif.

“Kadar tarif efektif ini kekal paling rendah dalam kalangan ASEAN dengan jurang yang besar,” kata beliau, sambil menambah bahawa pengecualian daripada tarif balasan tahun lalu masih berkuat kuasa.

“Singapura kekal sebagai negara ASEAN dengan bahagian terbesar barangan yang dikecualikan (seperti semikonduktor, elektronik dan farmaseutikal).

"Barangan-barangan yang dikecualikan merangkumi lebih 60 peratus penghantaran Singapura ke Amerika Syarikat,” tambah beliau.

KELEBIHAN SINGAPURA

Kelebihan daya saing Singapura “melangkaui pengiraan asas perbezaan kadar tarif”, kata Encik Edward Lee, ketua ekonomi di Standard Chartered.

“Daya saing merangkumi banyak aspek lain seperti kestabilan institusi, kredibiliti dan kestabilan dasar, keupayaan kewangan yang kukuh, keterhubungan, produktivitidaya penghasilan dan kepakaran,” kata beliau.

Semakan Strategi Ekonomi (ESR) bertujuan meningkatkan lagi kelebihan komparatif Singapura supaya negara ini menjadi lebih kukuh dalam sektor-sektor baharu dan berkembang, tambahnya.

“Ini akan membantu dalam meningkatkan daya tahan ekonomi kita,” kata beliau.

Encik Gan dari RHB turut menekankan bahawa Singapura mempunyai keupayaan teknikal yang kukuh dalam kejuruteraan ketepatan, komponen aeroangkasa, farmaseutikal dan segmen pengilangan bernilai tinggi lain.

Kelebihan-kelebihan ini “terus membezakan (Singapura)”, kata beliau.

Kelebihan tersebut “diperkukuhkan lagi” oleh reputasi Singapura sebagai rakan dagang yang diyakini, tambah beliau.

PENAMPAN FISKAL

Singapura juga mempunyai rizab kewangan yang boleh dimanfaatkan jika perlu, kata penganalisis.

Encik Lee dari Maybank berkata lebihan fiskal bagi tahun kewangan 2025 adalah lebih tinggi daripada jangkaan dan boleh digunakan sekiranya diperlukan.

“Singapura mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan langkah sokongan tambahan bagi meredakan kesan ekonomi,” kata beliau.

Pertumbuhan ekonomi yang kukuh juga dijangka pada tahun ini, kata Encik Heng Koon How, ketua strategi pasaran di UOB.

“Kita mempunyai peruntukan belanjawan yang besar dan banyak fleksibiliti,” kata beliau kepada CNA938.

Jika perusahaan kecil dan sederhana (SME) atau pengeksport memerlukan bantuan, atau sekiranya pekerja memerlukan sokongan, Singapura mampu menyediakannya, kata beliau.

KESAN TERHADAP PASARAN

Pada Isnin, Indeks Straits Times, iaitu penanda aras Singapura, ditutup 0.47 peratus lebih tinggi.

Encik Thilan Wickramasinghe, ketua penyelidikan di Maybank Securities Singapore, berkata ia masih terlalu awal untuk menilai kesan keseluruhan tarif terhadap Singapura.

“Kami rasa pasaran sedang menunggu penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan tarif baharu itu dan implikasinya terhadap perjanjian perdagangan sedia ada,” kata beliau.

Namun Encik Wickramasinghe bersikap optimis dan menyatakan bahawa pasaran Singapura secara keseluruhan meraih manfaat daripada ketidaktentuan geopolitik global.

“Ia menawarkan premium dalam bentuk kepastian dari segi kestabilan dasar, fiskal dan politik,” kata beliau, sambil menambah bahawa Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini turut memberi sokongan tambahan kepada daya tahan pasaran.

Singapura berdaya tahan dan bersifat defensif, kata Jeremy Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tiger Fund Management.

“Dalam tempoh yang tidak menentu, banyak modal mengalir ke Singapura. Terdapat banyak cip biru, terdapat banyak (dividen) yang memberi keyakinan kepada pelabur dalam keadaan yang tidak menentu seperti ini,” kata beliau kepada program Asia First CNA.

Cik Raisah Rasid dari JP Morgan Asset Management pula berkata pelabur perlu memberi tumpuan kepada trend-trend mampan seperti pembungkusan semikonduktor canggih, aplikasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta tenaga hijau.

Ini boleh menjadi pemangkin bagi saham-saham berkaitan semikonduktor dan telekomunikasi, kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita