SG teroka kerjasama baharu jangkau Bandar Eko Tianjin
Mesyuarat antara pemimpin China dengan Singapura. (Gambar fail: Chee Hong Tat/Facebook)
SINGAPURA: Singapura sedang meningkatkan kerjasamanya dengan bandar Tianjin di China dan sedang meneroka peluang baharu menjangkau Bandar Eko Tianjin yang kini menempatkan lebih 200,000 penduduk.
Bidang-bidang tumpuan utama termasuk pembangunan pelabuhan, perkhidmatan dan pengilangan serta sokongan untuk perusahaan.
Satu program pertukaran untuk para pegawai Tianjin dilancarkan bulan ini.
Ini selepas Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat menggulungkan lawatan rasminya yang pertama ke China.
Satu perjanjian penting yang akan dimeterai pada hujung tahun ini akan menyokong perusahaan dari kedua-dua negara serta sektor hijau dan rendah karbon.
Lawatan Encik Chee juga menyaksikan perkongsian baharu antara para pemain industri pelancongan seperti Taman di Persisiran dan Singapore Flyer, serta perjanjian baharu yang dimeterai oleh institusi penyelidikan.
Encik Chee berkata sedang Singapura mengharungi aturan dunia yang kian berubah, ia adalah penting untuk mencari rakan kongsi yang sehaluan.
Beliau menambah hubungan perdagangan yang terjalin sekian lama dengan China membolehkan kerjasama diperluas lagi.
"China sebenarnya sudah mencapai kemajuan yang besar saban tahun. Jika anda melihat huraian tenaga boleh diperbaharui, huraian cekap tenaga, bahan binaan, robotik dalam persekitaran binaan, penggunaan AI, dron, mereka mengecapi kemajuan yang besar dalam kebanyakan bidang ini.
"Jadi ia mewujudkan banyak peluang baharu kepada syarikat-syarikat kami untuk bekerjasama dengan mereka, dan ia juga menawarkan negara-negara di rantau ini peluang untuk memanfaatkan sebahagian daripada huraian perbandaran mereka (ke arah perbandaran dan menuju ke masa depan yang lebih hijau)," kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.