Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG teroka guna teknologi banteras laman web penipuan, aktiviti siber berniat jahat

Dengan percambahan pesat laman web yang digunakan untuk penipuan dan aktiviti siber berniat jahat yang lain, pemerintah sedang menimbangkan bagaimana untuk memanfaatkan teknologi bagi membanteras jenayah tersebut dengan lebih pantas, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Selasa (4 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
SG teroka guna teknologi banteras laman web penipuan, aktiviti siber berniat jahat

Pemerintah sedang mempertimbangkan penggunaan teknologi bagi memerangi penipuan dan aktiviti siber yang berniat jahat. (Gambar: Shutterstock)

Diterbitkan : 04 Mar 2025 02:46PM Dikemas Kini : 04 Mar 2025 02:49PM
SINGAPURA: Dengan percambahan pesat laman web yang digunakan untuk penipuan dan aktiviti siber berniat jahat yang lain, pemerintah sedang menimbangkan bagaimana untuk memanfaatkan teknologi bagi membanteras jenayah tersebut dengan lebih pantas, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Selasa (4 Mac).

"Kami akan terus menyemak undang-undang kami, untuk memastikan ia berupaya menangani jenayah tradisional yang dilakukan di ruang siber, dan mengukuhkan rangka kerja kawal selia kami, untuk memanfaatkan teknologi yang lebih baik untuk memerangi jenayah siber," tambahnya, sambil membentangkan rancangan perbelanjaan kementeriannya untuk tahun ini.

Cik Teo, yang juga Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital berkata di Parlimen bahawa landskap ancaman sedemikian semakin rumit.

"Penjenayah mengeksploitasi teknologi, khususnya, kecerdasan buatan (AI), untuk melakukan jenayah yang lebih canggih dan untuk menipu lebih ramai mangsa," katanya.

Sistem Analisis Penipuan dan Sistem Campur Tangan Taktikal (SATIS), yang dibangunkan bersama oleh GovTech, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF), ialah contoh sedia ada tentang cara laman penipuan diburu dan dibanteras menggunakan AI dan pembelajaran mesin.

Dalam ucapan berasingan pada Selasa (4 Mac), Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling mendedahkan bahawa SATIS akan diperluaskan untuk membanteras pengupaya penipuan yang lain seperti saluran pembayaran dan nombor telefon bimbit.

Cik Teo berkata Home Team telah memanfaatkan teknologi dalam bidang kerjanya, terutama dalam menggunakan AI untuk memerangi jenayah yang dijana oleh AI.

Gerakan AInya telah dilancarkan pada tahun lalu oleh HTX, iaitu agensi sains dan teknologi Home Team, untuk membangunkan keupayaan AI baharu bagi pelbagai agensinya.

HTX akan menggajikan dan melatih 300 orang untuk tenaga kerja AI menjelang akhir tahun ini, katanya lagi. Beberapa penyelesaian AInya telahpun dilancarkan.

Sebagai contoh, alat pemeriksaan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menggunakan AI untuk menilai kemungkinan berlaku pelanggaran keselamatan kebakaran di premis komersial dan perindustrian, menggunakan data seperti laporan pemeriksaan lalu.

Alat itu akan beroperasi sepenuhnya di semua unit barisan hadapan pada bulan depan, kata Cik Teo.

Home Team juga memanfaatkan huraian bijak untuk mengesan ancaman lebih awal, kata Cik Teo.

Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), misalnya, sedang menguji penggunaan sensor bijak di wad dan sel perubatannya, untuk memantau banduan secara online.

Sedang SPS menangani kumpulan banduan lebih tua yang semakin bertambah, sistem baharu itu membolehkan para pegawai bertindak balas dengan lebih pantas terhadap insiden-insiden seperti terjatuh dan degupan jantung yang tidak normal dalam kalangan banduan.

MERASMIKAN TADBIR URUS AI

Rangka kerja tadbir urus yang betul untuk penggunaan AI dalam Home Team juga telah dirasmikan dan dilaksanakan.

Ia terdiri daripada prinsip untuk membimbing pelaksanaan projek AI dan memastikan pematuhan undang-undang Singapura.

"Kami juga akan menyediakan perlindungan, termasuk memastikan terdapat tahap campur tangan manusia yang sesuai untuk bertindak sebagai benteng terakhir pemeriksaan dan memastikan akauntabiliti," katanya.

Selain daripada keupayaan teknologi, para pegawai Home Team perlu dilatih dengan baik untuk menggunakannya, kata Cik Teo.

Sebagai sebahagian daripada Gerakan AI Home Team, HTX sedang membangunkan pelan hala tuju latihan AI untuk membolehkan semua pegawai menggunakan peralatan AI dengan berkesan.

SPF juga telah melaksanakan rangka kerja kecekapan untuk menyediakan para pegawainya dengan kemahiran untuk menangani jenayah siber yang semakin berleluasa.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan