SG tegaskan tiada kompromi terhadap buruh paksa dalam rantaian bekalan
Singapura memberitahu Amerika Syarikat bahawa ia tidak membenarkan penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan.
Kren di terminal pelabuhan Pulau Brani di Singapura pada 25 Feb 2025. (Foto: AFP/Roslan Rahman)
Singapura juga mempunyai rangka kerja menyeluruh untuk mengambil tindakan terhadap amalan haram tersebut di dalam negaranya, sebagai maklum balas kepada dua siasatan perdagangan oleh pihak Amerika Syarikat.
Dalam hujahan bertulis pada Rabu (15 Apr), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) memberi respons kepada siasatan berasingan oleh Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) - satu mengenai dakwaan lebihan kapasiti struktur dalam sektor pembuatan dan satu lagi terhadap keberkesanan langkah-langkah Singapura dalam mencegah import barang yang dihasilkan oleh buruh paksa.
MTI menggariskan kekuatan dan keseimbangan hubungan ekonomi Singapura dengan Washington.
"Amerika Syarikat menikmati lebihan perdagangan konsisten dengan Singapura sepanjang tempoh lebih 20 tahun," menurut MTI, sambil menyifatkan perdagangan dua hala itu sebagai saling menguntungkan dan dipacu pasaran.
UNDANG-UNDANG TERHADAP BURUH KASAR
Singapura merupakan dalam kalangan 60 ekonomi, termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Amerika Syarikat yang dinamakan dalam siasatan USTR berhubung sama ada mereka mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah import barang yang dihasilkan oleh buruh paksa.
Dalam hujahan bertulis, MTI menyatakan Singapura mengambil "pendirian tegas" terhadap buruh paksa dan mempunyai rangka kerja penguatkuasaan dan perundangan menyeluruh bagi menangani amalan sedemikian secara domestik.
Buruh paksa adalah satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan, manakala Akta Pencegahan Pemerdagangan Manusia mentakrifnya sebagai satu bentuk eksploitasi dan memperuntukkan hukuman terhadap pesalah.
Agensi-agensi pemerintah relevan seperti Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) menyiasat aduan yang mendakwa berlaku pelanggaran undang-undang dalam negeri, menurut MTI.
Para pekerja juga boleh melaporkan sebarang kes penderaan disyaki melalui talian hotline MOM, pertubuhan bukan pemerintah atau kepada polis.
Singapura juga menekankan model perikatan tiga pihak negara ini, yang melibatkan pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja, sebagai tunggak utama perlindungan buruh.
Rangka kerja itu memastikan para pekerja dimaklumkan mengenai hak mereka, para majikan dipertanggungjawabkan dan standard buruh dikekalkan, menurut MTI.
TIADA BUKTI KAITAN KEPADA RANTAIAN BEKALAN BURUH PAKSA
Singapura menyatakan ia tidak maklum mengenai sebarang barang yang dihasilkan oleh buruh paksa yang dieksport dari Singapura ke Amerika Syarikat.
Ia menyatakan bahawa ia tidak pernah disenaraikan dalam Senarai Barangan yang Dihasilkan oleh Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat sejak laporan itu pertama kali diterbitkan pada 2009.
Selain itu, tiada sebarang kejadian di mana Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan pada penghantaran dari Singapura.
"Malah, Singapura bekerjasama dengan Amerika Syarikat apabila terdapat tuduhan khusus dan boleh dipercayai berkaitan dengan buruh paksa dalam rantaian bekalan yang berpotensi melanggar undang-undang Amerika Syarikat, dan di mana tindakan kerjasama sedemikian adalah sejajar dengan undang-undang tempatan Singapura dan tanggungjawab antarabangsa yang relevan," menurut MTI.
CABARAN KAWAL RANTAIAN BEKALAN GLOBAL
Singapura menyatakan menangani buruh paksa adalah satu isu rumit, rentas negara yang tidak boleh dihuraikan melalui sekatan import pada negara-negara individu.
Langkah-langkah sedemikian boleh menyebabkan barangan disalurkan ke pasaran lain daripada menghapuskan amalan buruh paksa, menurut MTI.
“Selain peraturan domestik yang teguh dan penguatkuasaan terhadap buruh paksa di dalam sempadan kita, kerja kita setakat ini menunjukkan bahawa terdapat batasan yang dihadapi oleh banyak negara, termasuk Singapura,” menurut MTI.
Ini termasuk ketiadaan sebuah rangka kerja kawal selia global atau senarai barangan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa yang dihasilkan dengan buruh paksa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.