Skip to main content

Singapura

SG tawar hantar pasukan perubatan, makanan bantu penduduk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Nov 2023 07:54PM Dikemas Kini : 12 Nov 2023 10:09PM
SINGAPURA: Bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, Singapura menawarkan untuk menghantar sebuah pasukan perubatan.

Singapura juga berhasrat untuk menghantar bekalan perubatan yang diperlukan.

Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Maliki Osman memberi kemas kini tersebut semasa menggulung lawatan beliau ke Kaherah bagi menyerahkan sumbangan rakyat Singapura.

Selepas sebulan konflik Israel-Hamas tercetus, belum ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ia akan segera berakhir.

Agensi bantuan kemanusiaan seperti Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan bagi jangka panjang.

Yang menjadi keprihatinan, sejauh mana kiriman bantuan dapat segera masuk ke Gaza.

"Sudah mempunyai tanda-tanda pemulihan kerana pada permulaan mereka mengatakan hanya sepuluh trak yang dapat dihantar ke Gaza sehari tapi hari ini telah meningkat kepada 100 trak sehari. Tetapi mereka katakan, keperluan di Gaza memerlukan dalam jangka 200 trak setiap hari untuk menghantar barangan-barangan tersebut," jelas Dr Maliki.

Singapura sedia menghulurkan bantuan, contohnya dengan menyerahkan S$2 juta dalam bentuk tunai serta bekalan bantuan bernilai lebih S$400,000.

Dr Maliki yang turut menyaksikan penyerahan bantuan tersebut menambah, Singapura berhasrat untuk melakukan lebih dari itu.

"Mereka ingin bantuan dari Singapura untuk mendapatkan sumbangan ubat-ubatan dan kami dengan segera akan memikirkan bagaimana kita boleh mendapatkan sumber-sumber daripada Singapura, dari Asia Tenggara supaya dapat dibawa ke Mesir. Lapangan terbang kota Arish adalah di mana barang-barangan dapat dihantar berdekatan dengan (Lintasan) Rafah. Kami akan berusaha dengan mereka dan mereka sudah bersedia untuk menerima apa jua penerbangan barangan yang dapat dihantar dari Singapura ke Arish supaya perjalanan darat tidak perlu sejauh daripada Kaherah ke Rafah," kata Dr Maliki.

Agensi bantuan Mesir juga berkongsi dengan Dr Maliki tentang beberapa keperluan lain penduduk Gaza, contohnya seperti bahan makanan selain daripada makanan dalam tin.

Maka itu, Singapura juga sedang berusaha untuk menerbangkan makanan segar dan sedang mendekati pelbagai badan amal dan syarikat Singapura, serta pemerintah Mesir.

Semasa di Kaherah, Dr Maliki sempat meneroka peluang-peluang kerjasama ekonomi di rantau tersebut.

Misalnya, potensi kerjasama yang meluas bagi kedua-dua negara dalam sektor maritim serta bidang pendidikan.

Semasa bertemu Mufti Negara Mesir, Dr Maliki sempat bertukar-tukar pandangan tentang cara terbaik bagi umat Islam bereaksi mengenai konflik tersebut.

Menurut Dr Maliki, Mufti Negara Mesir mengalu-alukan apa yang telah dilakukan oleh rakyat Singapura.

"Beliau mengatakan, kita sebagai umat Islam, kita perlu terus berdoa, solat hajat, meminta bantuan pada Allah SWT supaya mereka dapat memberi laluan yang lebih mudah kepada huraian tersebut. Beliau juga mengatakan bahawa keprihatinan beliau adalah supaya keadaan ini tidak membawa kepada isu-isu radikalisme, atau pandangan ekstremisme untuk terus meningkat," tambah Dr Maliki, semasa mengulas mengenai pertemuannya dengan Mufti tersebut.

Dr Maliki turut menegaskan pendirian Singapura mengenai huraian dua negara sebagai langkah terbaik untuk menamatkan konflik tersebut.
Sumber : CNA/IA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita