Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG tarik balik sekatan terhadap East Asia Forum selepas rencana tulisan pensyarah NUS diturunkan

Anggaran Waktu Membaca:
SG tarik balik sekatan terhadap East Asia Forum selepas rencana tulisan pensyarah NUS diturunkan

Tangkapan skrin logo East Asia Forum.

SINGAPURA: Sekatan ke atas akses ke laman web East Asia Forum yang berpangkalan di Australia ditarik balik selepas ia pada mulanya dikenakan arahan pembetulan pada 13 Sep oleh Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA).

Para penyedia perkhidmatan Internet di Singapura diarahkan supaya menyekat akses ke laman tersebut pada 16 September, setelah ia gagal mematuhi perintah itu, yang memerlukan ia menerbitkan notis pembetulan di bahagian atas rencana itu dan halaman utama lamannya.

Ia sebaliknya memuat naik satu pautan kepada kenyataan pemerintah di hujung bahagian komen rencana itu, di bahagian bawah laman tersebut.

Dalam kenyataan media pada Jumaat (22 Sep), Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) menyatakan bahawa laman tersebut telah memohon agar arahan pembetulan tersebut dibatalkan dua hari lebih awal.

Arahan pembetulan dikeluarkan terhadap East Asia Forum berhubung rencana bertajuk 'A spate of scandals strikes Singapore', yang ditulis oleh Dr Ying-Kit Chan dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), rencana itu, yang diterbitkan pada 18 Ogos, mengandungi kenyataan palsu mengenai perkara-perkara yang mempertikaikan kebebasan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan pendekatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menangani hubungan sulit dalam kalangan Anggota Parlimen.

"East Asia Forum menjelaskan bahawa rencana itu ... sudah diturunkan dari semua laman penerbitan yang terkait dengan EAF atas permintaan penulisnya," dedah MCI, sambil menambah bahawa Dr Chan turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara tersebut.
Dr Chan memberitahu Mediacorp pada 18 September bahawa beliau "memohon maaf dengan setulus hati" atas kesilapan, perkara-perkara yang tidak dimasukkan dalam rencana berkenaan dan kenyataan palsu yang dibuat dalam artikelnya, yang ditulis atas kehendaknya sendiri tanpa pengetahuan NUS, dan sudah menurunkan rencana tersebut daripada laman web East Asia Forum.

Dalam kiriman emel yang dihantar kepada para kakitangannya, Presiden NUS Tan Eng Chye mengingatkan mereka tentang kedudukan universiti tersebut sebagai sebuah universiti global terkemuka yang dipercayai dan diyakini oleh orang ramai.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan