SG tarik balik biskut H&H Tiramisu Twist dijual di Daiso, kandung bahan alahan tidak diisytihar
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (2 Nov) menyatakan ia sudah mengarahkan Daiso Singapura supaya menarik balik penjualan biskut H&H Tiramisu Twist dari Malaysia. Ini kerana produk makanan itu dikesan mengandungi bahan alahan yang tidak diisytiharkan.
Agensi tersebut dimaklumkan Daiso Singapura bahawa biskut yang diimport itu mengandungi bahan alahan - telur, kacang hazel dan badam - yang tidak diisytiharkan pada label bungkusan makanan dalam bahasa Inggeris.
Sebagai langkah berjaga-jaga, SFA mengarahkan pengimport produk itu, Daiso Singapura supaya menarik balik produk tersebut.
Agensi tersebut juga menyatakan Daiso Singapura secara sukarela sudah menarik balik produk tersebut sebelum itu dan semuanya sudah selesai dilakukan.
Produk terjejas itu mempunyai tarikh luput Jun 2023 dan Julai 2023.
Di bawah Peraturan Makanan Singapura, makanan dan bahan yang boleh menyebabkan reaksi berlebihan mesti diisytiharkan pada label bungkusan makanan.
Bahan alahan dalam makanan boleh menyebabkan tindak balas teruk pada individu-individu yang alah terhadapnya, menurut SFA.
Sesiapa yang sudahpun membeli produk terjejas dan alah kepada telur, kacang hazel atau badam dinasihatkan tidak mengambil produk tersebut, tekan SFA.
Mereka yang sudahpun makan produk itu dan prihatin tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan, tambah agensi tersebut.
Pengguna juga boleh menghubungi kedai di mana mereka membeli produk itu jika ada sebarang pertanyaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.