SG tarik balik 3 keju dari Perancis kerana mungkin dicemari bakteria
Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan arahan untuk menarik balik tiga jenis keju dari Perancis kerana kemungkinan risiko berlaku pencemaran listeria.
Setakat 14 Ogos 2025, tiga keju dari Perancis ditarik balik oleh SFA kerana mungkin dicemari bakteria listeria. (Gambar: SFA)
Ketiga-tiga produk itu adalah Vieux Porche Camembert De Caractere (diimport oleh Classic Fine Foods), Royal Faucon Camembert De Caractere (dibawa masuk oleh Culina) dan Vieux Porche Buchette (diimport oleh Classic Fine Foods dan Indoguna).
Listeria adalah bakteria bawaan makanan yang boleh menyebabkan keracunan makanan, dengan simptom seperti demam, sakit otot, rasa mual dan cirit birit.
Ia menimbulkan risiko yang lebih tinggi untuk bayi baru lahir, warga emas, wanita hamil dan golongan individu dengan daya imun yang lemah.
Arahan penarikan balik produk itu di Singapura menyusuli keputusan di Perancis untuk menarik balik beberapa jenis keju camembert, brie dan beberapa keju lembut yang lain selepas dua orang maut akibat jangkitan listeriosis dan beberapa lagi orang jatuh sakit.
Kementerian kesihatan Perancis menyatakan pada Rabu (31 Ogos) ia menemui kemungkinan kaitan antara kes-kes listeriosis itu dengan mereka yang memakan produk firma tenusu Chavegrand.
Chavegrand menghasilkan keju bagi beberapa rangkaian pasar raya Perancis.
Sesetengah produk itu dijual di luar negara di bawah beberapa jenama.
Ketiga-tiga produk yang ditarik balik oleh SFA tersenarai dalam laman Chavegrand.
PRODUK-PRODUK DITARIK BALIK
SFA pertama kali mengumumkan langkah menarik balik Vieux Porche Buchette pada Rabu, yang menjejas semua kumpulan keju berkenaan dengan tarikh luput sehingga 20 Ogos 2025.
Arahan itu diperluaskan pada Khamis untuk meliputi Vieux Porche Camembert De Caractere (dengan tarikh luput sehingga 30 Ogos 2025) dan Royal Faucon Camembert De Caractere (dengan tarikh luput sebelum 17 Ogos).
"Para pelanggan yang membeli produk-produk terjejas dinasihatkan supaya tidak memakannya," menurut SFA.
"Mereka yang makan produk-produk itu dan bimbang mengenai kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Para pengguna boleh menghubungi tempat di mana mereka membeli produk itu jika ada sebarang pertanyaan."
SFA menyatakan keju-keju lembut, termasuk yang sudah matang, berisiko tinggi dicemari oleh listeria.
Makanan lain yang mempunyai risiko pencemaran yang tinggi termasuk produk tenusu yang belum melalui proses pasteurisasi, produk daging yang disimpan dalam peti sejuk, ikan salai serta daging dan sosej siap untuk dimakan.
Chavegrand menyatakan bahagian kilang di mana keju-keju itu disyaki dihasilkan sudah ditutup.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.