SG tandatangani rangka kerja baharu IAEA 5 tahun, perkukuh keupayaan nuklear
Singapura menandatangani rangka kerja kerjasama selama lima tahun dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi tempoh 2026 hingga 2031 untuk memperkukuh keupayaan nuklearnya, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Jumaat (24 Apr).
Perjanjian itu, yang dikenali sebagai Rangka Kerja Program Negara, merupakan edisi keempat dan dibina berasaskan “kerjasama teknikal selama berdekad-dekad” sejak Singapura menjadi negara anggota IAEA pada 1967.
Ia berfungsi sebagai panduan bagi kerjasama teknikal jangka sederhana antara Singapura dengan IAEA.
Dibangunkan oleh NEA menerusi rundingan bersama badan pemantau nuklear global itu serta pihak berkepentingan merentas agensi pemerintah dan sektor berkaitan, rangka kerja tersebut mengenal pasti “bidang keutamaan” di mana pemindahan teknologi nuklear dan sumber akan menyokong matlamat pembangunan negara.
Enam “bidang keutamaan” disenaraikan dalam rangka kerja terkini itu, iaitu:
- Keselamatan nuklear dan radiasi serta sekuriti nuklear
- Alam sekitar
- Keselamatan makanan
- Kesihatan manusia
- Tenaga
- Aplikasi industri
NEA menyatakan rangka kerja itu bertujuan meningkatkan keupayaan Singapura untuk menilai teknologi tenaga baharu, memperkukuh pemantauan radiasi alam sekitar, menambah baik radiokimia makanan dan ujian keselamatan, serta memajukan pengimejan nuklear dan terapi barah.
“Rangka kerja ini memperkukuh usaha Singapura membina keupayaan dalam keselamatan nuklear sedang ia menilai potensi penggunaan tenaga nuklear, selain mengambil kira minat yang semakin meningkat di rantau ini terhadap tenaga tersebut,” menurut NEA.
Tambahnya, rangka kerja itu juga berteraskan usaha program kerjasama teknikal sebelum ini, sekali gus membantu Singapura memanfaatkan sains dan teknologi nuklear bagi pembangunan negara sambil menyumbang kepada usaha pembangunan kapasiti serantau.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Encik Jaya Ratnam, wakil tetap Singapura ke IAEA, dan Encik Hua Liu, Timbalan Ketua Pengarah IAEA merangkap ketua jabatan kerjasama teknikalnya.
Pada Isnin, NEA mengumumkan bahawa satu program latihan baharu akan dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan nuklear dan pemahaman kawal selia Singapura.
Agensi itu menyatakan program berkenaan akan dibangunkan di bawah perjanjian yang dimeterainya dengan Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika Syarikat (NRC) berhubung pembangunan kemahiran kawal selia nuklear.
Program latihan tersebut disasarkan kepada NEA serta bahagian keselamatan nuklearnya yang baru ditubuhkan.
NEA sebelum ini mengumumkan pada Mac bahawa Makmal Radiokimia Kebangsaan sudah ditetapkan sebagai pusat kerjasama IAEA bagi tempoh 2026 hingga 2030. Makmal itu akan menerajui pembangunan keupayaan pemantauan radiologi dan tindak balas kecemasan di peringkat serantau.
Agensi itu turut menyatakan bahawa ia akan melaksanakan tiga kajian berhubung keselamatan nuklear dan kesan alam sekitar melibatkan kemudahan tenaga untuk meneliti piawaian keselamatan antarabangsa serta rangka kerja kawal selia.
Dalam ucapan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata pemerintah akan mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear di Singapura serta mengambil langkah lanjut untuk membina keupayaan dalam bidang tersebut secara sistematik.
Keupayaan itu diperlukan bagi keselamatan nuklear, yang akan menjadi “semakin penting” memandangkan minat yang semakin meningkat terhadap tenaga nuklear di rantau ini, kata Encik Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.