Skip to main content

Singapura

SG tambah bekalan rumah privet; jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SG tambah bekalan rumah privet; jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun

Gambar fail kondominium privet. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Singapura meningkatkan bekalan rumah privet dalam Senarai Yang Disahkan di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) buat separuh kedua tahun ini kepada 5,160 unit, naik dari 4,090 unit pada enam bulan pertama tahun ini.
Jumlah keseluruhan sebanyak 9,250 unit bagi 2023 adalah yang tertinggi dalam masa 10 tahun. Ia juga hampir 50 peratus lebih tinggi berbanding bekalan pada 2022, dan kira-kira 2.5 kali lebih tinggi berbanding 2021.

GLS pada separuh kedua 2023 merangkumi lapan tapak dalam Senarai Yang Disahkan dan sembilan tapak dalam Senarai Simpanan, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam kenyataan media pada Rabu (21 Jun).

Kesemua lapan tapak dalam Senarai Yang Disahkan adalah tapak bagi rumah privet, termasuk satu tapak bagi sebuah Kondominium Eksekutif (EC). Secara keseluruhan, ia mempunyai keluasan lantai kasar 4,900 meter persegi bagi ruang komersil. Tapak-tapak yang baru diperkenalkan terletak di Orchard Boulevard, Upper Thomson Road dan Zion Road.

Penambahan terbaru itu akan membawa jumlah keseluruhan bekalan rumah privet, termasuk EC, kepada kira-kira 63,500 unit dan akan "memenuhi permintaan yang kukuh," tambah URA.

Perangkaan tersebut merangkumi 50,200 unit dengan kelulusan perancangan, 13,300 unit dari tapak GLS dan tapak-tapak Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok atau "en bloc" yang belum diberi kelulusan perancangan.

Sekitar 40,400 unit akan siap dibina antara 2023 dan 2025, iaitu lebih seganda unit yang dibina dari 2020 hingga 2022.

Ia membentuk sebahagian daripada jumlah bekalan iaitu sekitar 100,00 unit perumahan awam dan privet yang akan siap dibina antara 2023 dengan 2025.

SENARAI SIMPANAN

Dirancang dan diumumkan setiap enam bulan, Program GLS meluluskan tanah pemerintah bagi pembangunan privet.

Tanah dalam Senarai Yang Disahkan dilancarkan untuk dijual pada tarikh-tarikh yang sudah ditetapkan lebih awal, dengan kebanyakan bidang tanah dijual melalui tender.

Tanah dalam Senarai Simpanan sebaliknya tidak diluluskan untuk diberikan tender serta-merta, namun dibuka bagi permohonan. Tender bagi tapak dalam Senarai Simpanan akan dibuka apabila seorang pemaju menawarkan harga minimum yang diterima pemerintah.

Kesemua sembilan Senarai Simpanan bagi separuh pertama tahun 2023 akan dibawa ke Program GLS pada separuh kedua 2023, menurut URA.

Ia merangkumi enam tapak rumah privet, satu tapak komersil, satu tapak putih dan satu tapak hotel. Ia mempunyai tambahan 3,430 unit rumah privet - termasuk 855 unit EC - dengan keluasan lantai kasar 93,350 meter persegi bagi ruang komersil dan 530 bilik hotel.

"Pemerintah akan terus memantau keadaan pasaran ekonomi dan hartanah dengan teliti serta menentukan bekalan bagi Program GLS pada masa hadapan, dengan sewajarnya, untuk membantu memenuhi permintaan dan menggalak kestabilan pasaran," tambah URA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita