Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG tambah bekalan perumahan privet; peruntuk tapak penjualan Daerah Tasik Jurong bagi kegunaan bercampur

Anggaran Waktu Membaca:
SG tambah bekalan perumahan privet; peruntuk tapak penjualan Daerah Tasik Jurong bagi kegunaan bercampur

Daerah Tasik Jurong. (Gambar: URA)

SINGAPURA: Singapura menambah bekalan tanah bagi perumahan privet dalam Senarai yang Disahkan di bawah Program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) kepada 4,090 unit bagi separuh pertama tahun 2023.

Senarai yang Disahkan itu turut merangkumi tapak serba guna di Daerah Tasik Jurong seluas 6.8 hektar - atau saiz seluas hampir 10 padang bola sepak - dan tiga bidang tanah yang menghubungkan pusat pertukaran MRT Jurong East dan sebuah stesen Laluan Rentas Pulau (CRL) yang akan datang.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengeluarkan Senarai yang Disahkan itu pada Khamis (8 Dis). Ia merangkumi lima tapak kediaman privet, termasuk satu tapak Kondominium Eksekutif (EC) yang akan menampung 700 unit.

URA menyatakan bahawa bekalan perumahan privet dalam Senarai yang Disahkan itu, ditambah secara beransur-ansur sepanjang dua tahun lalu untuk "memenuhi permintaan kukuh daripada para pembeli rumah".

Menurut URA, Pemerintah memutuskan untuk menambah lebih lanjut bekalan perumahan privet dalam Senarai yang Disahkan sedang permintaan bagi perumahan privet kekal kukuh.

Daripada sekitar 65,000 unit dalam bekalan perumahan privet yang akan disediakan secara keseluruhannya, 33,600 unit akan selesai dibina dalam jangka dua tahun mendatang, berbanding 11,500 unit yang disiapkan sejak 2021.

RANCANGAN BAGI TASIK JURONG

Champions Way, Media Circle, Marina Gardens Crescent dan Daerah Tasik Jurong adalah tapak-tapak baru yang disertakan ke dalam Senarai yang Disahkan itu.

Tapak Daerah Tasik Jurong dijangka dilancarkan pada Jun 2023. Ia akan memenuhi permintaan pasaran bagi ruang pejabat dan perumahan privet dalam jangka masa sederhana, menurut URA.

Agensi itu menyatakan tapak baru tersebut akan dibangunkan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Ia berpotensi menyediakan kira-kira 1,760 unit kediaman privet, 150,000 meter persegi ruang pejabat serta kawasan lantai kasar seluas 75,000 meter persegi bagi penggunaan runcit, hotel mahupun masyarakat.

Rancangan bagi pembangunan Daerah Tasik Jurong, yang dibayangkan sebagai daerah perniagaan terbesar di Singapura yang terletak di luar pusat bandar, diumumkan sebelum ini pada tahun 2019.

Daerah tersebut juga menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih bagi pembangunan baru sekitar tahun 2045.

Menurut URA, menjelang 2028, sebuah stesen Laluan Daerah Jurong yang baru serta Hab Pengangkutan Bersepadu - yang merangkumi pejabat, ruang masyarakat dan prasarana runcit - akan dibina bersebelahan dengan stesen pertukaran MRT Jurong East.

SENARAI SIMPANAN

Dirancang dan diumumkan setiap enam bulan, Program-GLS meluluskan tanah pemerintah bagi pembangunan privet.

Tanah dalam Senarai yang Disahkan dilancarkan bagi pejualan pada tarikh-tarikh yang sudah ditentukan lebih awal, dengan kebanyakan bidang tanah dijual melalui tender.

Sementara itu, tanah dalam Senarai Simpanan tidak dibuka serta-merta untuk tender. Sebaliknya, ia disediakan bagi permohonan. Tender bagi tapak dalam Senarai Simpanan akan dibuka apabila seorang pemaju menawarkan harga minimum yang diterima pemerintah.

Di dalam Senarai Simpanan bagi separuh pertama 2023, terdapat sembilan tapak, yang boleh menampung lagi 3,625 unit perumahan privet (termasuk 855 unit EC), ruang komersil dengan kawasan lantai kasar seluas 93,350 meter persegi dan 530 bilik hotel.

Tapak komersil dengan pajakan jangka pendek selama 30 tahun yang baru di Punggol Walk juga dimasukkan ke dalam Senarai Simpanan, "sebagai sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk menyokong usaha memencarkan perniagaan dan aktiviti di luar pusat bandar serta memenuhi permintaan bagi ruang bekerja berdekatan dengan rumah", menurut URA.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan