SG sumbang anggota badan prostetik sebagai sebahagian daripada bantuan untuk Gaza
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyumbang 100 set anggota badan prostetik kepada inisiatif Jordan yang membantu rakyat Palestin yang anggota badannya terpaksa dipotong akibat konflik Gaza.
Sumbangan bernilai kira-kira S$250,000 itu adalah sebahagian daripada bantuan kemanusiaan Singapura kepada Gaza, menurut MOH dalam kenyataan media pada Rabu (12 Nov).
"Sumbangan itu terdiri daripada 100 set huraian prostetik lengkap, termasuk komponen anggota badan dan sistem soket untuk pesakit kudung, termasuk orang dewasa dan kanak-kanak," menurut MOH.
Kementerian itu menambah bahawa pemilihan komponen prostetik dibuat berdasarkan rundingan dengan pakar dari Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan rakan sejawatan Jordan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, menyaksikan majlis penyerahan simbolik untuk anggota badan prostetik itu pada Selasa di Amman, Jordan, bersama Menteri Kesihatan Jordan, Dr Ibrahim Al-Budour.
Dr Faishal berada di Jordan sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya ke Arab Saudi dan Jordan yang berakhir semalam (11 Nov).
Beliau berkongsi perkembangan terkini menerusi rakaman video yang dimuatnaik di Facebooknya.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan Singapura itu, Dr Faishal berkata: "Bekalan prostetik yang disediakan Singapura hari ini akan memenuhi sebahagian keperluan mereka. Singapura berharap untuk bekerja rapat dengan Jordan bagi menyediakan lebih banyak sokongan perubatan."
Sebuah pasukan penilaian keperluan yang terdiri daripada tujuh kakitangan MOH juga dihantar ke Jordan untuk meneroka lebih lanjut bidang sokongan perubatan.
Ini turut dikongsi dalam satu hantaran yang dimuatnaik Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Facebook.
Penghantaran pasukan penilaian keperluan dibuat susulan kepada penghantaran pasukan perubatan khas seramai tiga orang yang berjaya ke Hospital Institut Nasser di Kaherah, Mesir pada September 2025 untuk menyediakan jagaan perubatan kepada rakyat Palestin yang dirawat di Mesir, kata MOH.
"Sumbangan produk prostetik ini adalah bantuan terkini yang menunjukkan komitmen berterusan Singapura untuk menyediakan bantuan jagaan kesihatan yang bermakna semasa krisis kemanusiaan, sambil memperkukuh hubungan penjagaan kesihatan dua hala dengan negara rakan kongsi," menurut MOH.
Sejauh ini, Singapura telah menyumbang 10 pusingan penghantaran bantuan kemanusiaan bernilai lebih S$23 juta.
Ia merangkumi bekalan makanan, perubatan serta barangan keperluan asas bagi para mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.