Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG sudah sumbang S$17 juta kepada bantuan kemanusiaan untuk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Sep 2024 07:19PM Dikemas Kini : 04 Sep 2024 11:41PM
SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyerahkan cek simbolik bernilai lebih S$1.1 juta kepada Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu (4 Ogos).

Ia merupakan baki derma yang dikumpul oleh RLAF di Singapura semasa kempen Rayuan Ramadan untuk Gaza Mac lalu di semua 70 masjid setempat.

Demikian dikongsi oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menerusi catatan Facebook beliau pada Rabu.

Encik Masagos menyaksikan penyampaian cek simbolik yang kedua itu di Amman, Jordan.

Beliau berada di Amman sebagai sebahagian daripada rangka lawatannya ke Timur Tengah minggu ini.
Jumlah sumbangan Singapura bagi bantuan kemanusiaan untuk Gaza setakat ini ialah S$17 juta, dedah Encik Masagos.

"Ramai yang telah menyumbang dengan murah hati kepada usaha bantuan kemanusiaan yang disasarkan untuk kanak-kanak, wanita dan keluarga di Gaza yang terjejas oleh krisis kemanusiaan ini," tulis Encik Masagos, sambil menambah UNICEF sudah memberi jaminan bahawa derma akan disalurkan ke ruang-ruang selamat untuk kanak-kanak mencari bantuan, serta akses kepada pendidikan mereka yang terhenti sejak krisis bermula.

"Kepada rakyat Singapura, saya amat berterima kasih atas sokongan padu anda untuk usaha murni ini," tambah beliau.

Di majlis itu, UNICEF berkongsi dengan lebih mendalam usaha bantuan kemanusiaan mereka di lapangan dan keadaan di Gaza.

Encik Masagos berkata Jordan memainkan peranan penting di tengah-tengah ketegangan di rantau ini.

"Pada Mac 2024, Jordan merupakan rakan kongsi Singapura dalam penyampaian bantuan kemanusiaan ketiga Singapura, di mana RSAF menjalankan operasi menggugurkan bantuan dari Jordan, bersama-sama dengan Tentera Udara Diraja Jordan," kata Encik Masagos.

Bantuan tersebut merangkumi pelbagai bantuan seperti penyediaan bekalan perubatan, bantuan makanan, barangan sanitasi dan bantuan lain untuk meringankan penderitaan masyarakat yang terjejas.

"Saya berterima kasih kepada Pemerintah Jordan kerana menyokong usaha Singapura untuk memudahkan penyampaian bantuan untuk sampai ke Gaza.

"Usaha bersama ini menekankan komitmen bersama kita untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin dan rakyat Gaza yang terjejas oleh krisis kemanusiaan yang berterusan ini."

Encik Masagos menambah, Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan Timur Tengah untuk menyumbang bekalan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menekankan pentingnya untuk bantuan-bantuan sampai kepada mereka yang sangat memerlukan.

Sementara itu, RLAF akan melancarkan satu lagi kempen pengumpulan dana untuk Gaza tidak lama lagi dan Encik Masagos menyokong usaha murni itu serta mengalu-alukan sokongan kuat serta berterusan masyarakat.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan