Skip to main content

Singapura

SG sokong ketetapan untuk Palestin jadi anggota penuh PBB

Anggaran Waktu Membaca:
 SG sokong ketetapan untuk Palestin jadi anggota penuh PBB

(Gambar: PBB)

Diterbitkan : 11 May 2024 12:28AM
SINGAPURA: Singapura pada Jumaat (10 Mei) mengundi untuk menyokong ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam sokongannya untuk Palestin menjadi anggota penuh badan antarabangsa itu.

Perhimpunan Agung PBB meluluskan draf ketetapan dengan 143 anggota menyokong, sembilan menentang dan 29 berkecuali.

Dalam kenyataan pada Jumaat (10 Mei), Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata Singapura memilih untuk melakukan demikan "selepas mempertimbangkan isu tersebut dengan serius dan teliti".

Draf ketetapan itu, diperkenalkan oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang menyatakan "Negara Palestin layak mendapat keanggotan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menurut Perkara 4 Piagam (PBB) dan oleh itu harus diterima masuk".

Ia juga menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk "mempertimbangkan isu tersebut dengan teliti".

Dr Balakrishnan berkata bahawa undi Singapura konsisten dengan sokongannya bagi huraian dua negara "dengan rakyat Israel dan Palestin hidup bersama dengan aman dan selamat" serta "ketetapan Majlis Keselamatan PBB yang relevan" berkait konflik Israel-Palestin.

Undi itu juga menunjukkan "keinginan Singapura untuk menyaksikan kedua-dua pihak menyambung rundingan secara bersemuka dengan niat yang baik," tambahnya.

Menyifatkan serangan "keji" oleh Hamas pada 7 Oktober dan tindak balas tentera Israel sebagai "keterlaluan", Dr Balakrishnan menekankan bahawa permintaan untuk mempertimbangkan keanggotaan Palestin sudah tiba pada "saat yang amat sukar".

Sekalipun demikian, beliau berkata status quo tidak lagi mencukupi dan "usaha memulakan kembali usaha diplomatik" diperlukan.

"Sebaiknya, keanggotaan PBB Palestin sepatutnya dipertimbangkan semasa gencatan senjata, apabila semua tebusan dibebaskan, dan rakyat Israel dan Palestin kembali ke meja rundingan," katanya.

"Namun sejujurnya, kita berada terlalu jauh daripada keadaan itu sehingga Singapura dan banyak negara lain terpaksa menimbangkan bagaimana undi kami hari ini dapat membentangkan asas untuk menamatkan permusuhan, yang diharapkan dapat membawa kepada keamanan yang kekal. Atau sekurang-kurangnya, rundingan dapat disambung semula untuk membincangkan bagaimana untuk mencapai hasrat tersebut."

"Satu-satunya huraian yang berkesan, meskipun ia sukar disebabkan amarah, kekecewaan, kemarahan dan ketidakpercayaan daripada kedua-dua pihak, adalah untuk menghidupkan semula usaha ke arah huraian dua negara."

Meskpun menyokong ketetapan itu, Singapura tidak akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan Palestin yang menafikan hak Israel untuk wujud, kata Dr Balakrishnan.

“Saya akan mengulangi bahawa keganasan tidak mempunyai tempat dalam mana-mana proses yang membawa kepada huraian politik yang stabil dan aman,” katanya.

“Kumpulan-kumpulan, termasuk Hamas, yang terus menafikan kewujudan Israel atau enggan meninggalkan keganasan tidak mempunyai tempat di Palestin pada masa depan.

"Oleh itu, Singapura tidak akan bekerjasama dengan mana-mana kumpulan Palestin termasuk Hamas, yang menafikan hak Israel untuk wujud atau meninggalkan pengganasan."

Dr Balakrishnan mengakhiri kenyataannya dengan menggesa supaya rakyat Israel dan Palestin mengambil "langkah berani, yang diperlukan (untuk) kembali ke meja rundingan".

“Sebagai rakan Israel dan Palestin, kami menggesa kedua-dua pihak mengelak keganasan, menolak keganasan dan menyambung semula rundingan ke arah huraian dua negara dengan bantuan dan sokongan masyarakat antarabangsa,” katanya.

"Semua rakyat Singapura mengharapkan keamanan untuk rakan-rakan kita di Israel dan Palestin."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita