Skip to main content

Singapura

SG sokong ketetapan Majlis Keselamatan PBB gesa perang dihenti seketika, wujudkan koridor kemanusiaan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Nov 2023 09:52AM Dikemas Kini : 18 Nov 2023 12:07AM
SINGAPURA: Singapura menyokong ketetapan 2712 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menggesa perang dihentikan seketika dan segera mewujudkan koridor kemanusiaan tanpa syarat di Gaza.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang dikeluarkan hari ini (17 Nov) berhubung keadaan di Gaza.

"Kami terus berasa amat prihatin terhadap keadaan kemanusiaan yang memburuk di Gaza. Setiap usaha mesti dijalankan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan segera, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang terjejas di seluruh Gaza," menurut MFA dalam kenyataan medianya.

MFA menambah, Singapura menekankan gesaannya agar orang awam yang menjadi tebusan di Gaza dibebaskan segera dan secara selamat.

"Singapura amat menyesali kesan operasi tentera Israel ke atas hospital Al Shifa. Kami sangat menggesa Israel supaya melakukan apa sahaja untuk melindungi semua orang awam dan kemudahan perubatan di Gaza.

"Kami menggesa semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Prasarana awam, termasuk hospital dan sekolah-sekolah, harus dilindungi. Hamas tidak harus menggunakan premis-premis tersebut bagi tujuan ketenteraan atau menggunakan orang awam sebagai perisai manusia," tegas MFA.

Kementerian itu menambah, Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan tambahan dan menyokong penduduk Palestin.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita