SG sifatkan serangan udara Israel di Doha sebagai ‘pelanggaran terang-terangan’ ke atas kedaulatan Qatar
Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada Rabu (10 Sep) menyifatkan serangan Israel ke atas Doha sebagai satu “tindakan keterlaluan dan berbahaya” yang melanggar kedaulatan Qatar.
Petikan layar daripada rakaman AFPTV menunjukkan asap tebal berikutan letupan di ibu negara Qatar, Doha, pada 9 September 2025. (Gambar: AFPTV/Jacqueline Penney)
“Serangan udara Israel di Doha pada 9 September 2025 merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar,” kata jurucakap MFA.
“Ini adalah tindakan keterlaluan dan berbahaya yang menjejas rundingan gencatan senjata serta pembebasan tebusan di Gaza, selain menjejas usaha berterusan Qatar untuk mencapai persetujuan tersebut.
"Singapura berdiri teguh bersama Qatar.”
Israel pada Selasa melancarkan serangan ke atas pemimpin Hamas di ibu negara Qatar, sekali gus meluaskan tindakan ketenteraannya yang setakat ini merentasi Timur Tengah ke negara Teluk Arab di mana Hamas sudah lama menempatkan pangkalan politiknya.
Qatar mengecam serangan itu sebagai bersifat “pengecut”, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Qatar merupakan rakan keselamatan Amerika Syarikat dan menjadi tuan rumah kepada Pangkalan Udara al-Udeid, kemudahan tentera Amerika Syarikat terbesar di Timur Tengah. Negara itu juga bertindak sebagai pengantara bersama Mesir dalam rundingan antara Israel dan Hamas bagi gencatan senjata di Gaza, yang kini dilihat semakin sukar untuk dicapai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.