Skip to main content

Singapura

SG sifatkan penafian bantuan di Gaza sebagai pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa

Singapura pada Khamis (24 Jul) mengeluarkan kenyataan paling tegas setakat ini berhubung situasi di Gaza, dengan menyatakan bahawa kebuluran besar-besaran akibat penafian bantuan merupakan satu pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
SG sifatkan penafian bantuan di Gaza sebagai pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa

Rakyat Palestin menunggu untuk menerima makanan daripada dapur amal di Bandar Gaza, pada 24 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Khamis Al-Rifi)

SINGAPURA: Singapura pada Khamis (24 Jul) mengeluarkan kenyataan paling tegas setakat ini berhubung situasi di Gaza, dengan menyatakan bahawa kebuluran besar-besaran akibat penafian bantuan merupakan satu pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyifatkan kesan tindak balas ketenteraan berterusan Israel sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan menggesa agar satu gencatan senjata segera dilaksanakan.

“Penderitaan berpanjangan yang dialami orang awam yang tidak bersalah di Gaza akibat reaksi ketenteraan Israel yang berlebihan terhadap serangan pengganas Hamas sejak 7 Oktober 2023 adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan. Israel mesti mematuhi kewajipan antarabangsanya dari segi kemanusiaan,” kata jurucakap MFA.

“Penafian bantuan kemanusiaan menyebabkan kebuluran besar-besaran dan kekurangan yang teruk dari segi perkhidmatan perubatan asas. Laporan mengenai individu yang ditembak ketika mendapatkan makanan dalam keadaan terdesak adalah amat mengejutkan,” tambah jurucakap itu.

“Ini merupakan satu pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Semua orang awam mesti dilindungi, khususnya mereka yang sedang mengakses bantuan kemanusiaan, tegas jurucakap berkenaan.

“Pemindahan secara paksa yang berkekalan juga adalah satu lagi pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Singapura turut menggesa pemerintah Israel agar segera menarik balik semua sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan dan membenarkan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) meneruskan operasinya.

Singapura juga mengulangi gesaannya agar Hamas membebaskan semua baki tebusan dengan segera dan tanpa syarat.

Kenyataan pada Khamis itu merupakan kali pertama Singapura secara jelas menyifatkan situasi di Gaza sebagai satu pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum ini berkata pada Mei bahawa dengan menyekat bantuan ke Gaza, tindakan Israel “berkemungkinan adalah satu pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa".

“Tindak balas Israel melampaui batas dan tindakannya mencetuskan bencana kemanusiaan yang dahsyat. Malah, sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan sama sekali tidak boleh diterima,” kata Encik Wong pada 30 Mei.

Dalam kenyataan pada Khamis, Singapura turut mengulangi pendiriannya selama ini, yang menyokong huraian dua negara, sambil menyatakan bahawa ia adalah “satu-satunya jalan yang wajar” bagi rakyat Israel dan Palestin hidup bersama “dalam keadaan aman, selamat dan bermaruah”.

“Jika keadaan sekarang berterusan, ia hanya akan menyukarkan lagi usaha untuk mencapai matlamat ini, dan akan menyebabkan rakyat Israel dan Palestin terperangkap dalam kitaran kebencian dan keganasan yang tiada penghujungnya,” kata jurucakap MFA.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita