SG siasat jurulatih bola keranjang, didakwa ambil rasuah dapatkan pelajar tempat di sekolah pilihan
Lesen jurulatih itu sudah dibatalkan sejak April dan dia tidak lagi bekerja di mana-mana sekolah MOE.

SINGAPURA: Seorang jurulatih bola keranjang sedang disiasat oleh pihak berkuasa kerana didakwa menerima bayaran untuk mendapatkan tempat bagi pelajar ke sekolah menengah di bawah skim Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA).
Menjawab soalan Mediacorp, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan lesen jurulatih itu sudah dibatalkan sejak April dan dia tidak lagi bekerja di mana-mana sekolah MOE.
Jurulatih harus berdaftar dengan MOE untuk bekerja di sekolah.
Menurut lembaga berkanun Sport Singapore, kenggotaannya dalam Daftar Jurulatih Nasional juga telah digantung.
Ketika dihubungi Mediacorp, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyatakan disebabkan isu kerahsiaan, ia tidak dapat mengesahkan atau memberikan maklumat lanjut sama ada jurulatih itu sedang disiasat.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily pada Rabu (24 Jul), jurulatih itu didakwa mengenakan bayaran S$45,000 hingga S$50,000 kepada ibu bapa untuk memastikan anak mereka dapat masuk ke sekolah pilihan mereka.
Laporan tersebut adalah berdasarkan maklumat daripada orang awam, yang hanya dikenal pasti sebagai Encik Tan.
Encik Tan memberitahu Shin Min bahawa dia merakam perbualannya bersama jurulatih itu di telefon, di mana jurulatih tersebut mendakwa mempunyai lebih 10 tahun pengalaman untuk memastikan pelajar dapat masuk ke sekolah pilihan mereka.
Melalui program DSA, pelajar Darjah 6 boleh masuk terus ke sekolah menengah tertentu berdasarkan bakat mereka dalam sukan, aktiviti kokurikulum dan bidang akademik khusus.
MOE menyatakan meskipun setiap sekolah mempunyai proses pemilihan DSA tersendiri, ia perlu mematuhi garis panduan kementerian tersebut.
Ini termasuk menegakkan "prinsip ketelusan, tidak berpihak, inklusif dan tumpuan pada pelajar".
Menurut MOE, sebagai sebahagian daripada proses itu, sekolah diminta untuk membentuk panel pemilihan, diketuai pasukan kepimpinan sekolah, untuk menilai pemohon.
"Kakitangan bukan dari sekolah dilibatkan dalam proses pemilihan, termasuk jurulatih, boleh memainkan peranan untuk memberi cadangan, namun tidak ada kata putus," kata seorang jurucakap MOE.
"Jurulatih diperlukan untuk mengisytiharkan sebarang potensi konflik kepentingan, jika ada."
MOE menambah bahawa ia akan terus memastikan proses pemilihan DSA adalah adil dan terbuka kepada semua pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.